Categories
SELANGOR

MPAJ tutup beberapa jalan pada hari penamaan calon

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup beberapa laluan sempena hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 28 April ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, penutupan jalan terlibat membabitkan dua kawasan Parlimen di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu iaitu di Parlimen Ampang dan Parlimen Pandan.

“Bagi tempat penamaan calon P99 Ampang di Dewan Dato’ Ahmad Razali, antara jalan-jalan terlibat adalah Jalan Besar Ampang di kedua-dua arah.

“Orang awam boleh menggunakan laluan Kampung Melayu Ampang, Taman Resmi Jaya Bukit Indah dan Taman Kosas sebagai laluan alternatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di Menara MPAJ, pagi ini.

Sementara itu katanya, bagi kawasan tempat penamaan calon di P100 Pandan yang akan dibuat di Dewan Pandan Indah, jalan ditutup adalah di Jalan Susur Pandan Indah berhadapan dengan Dewan Pandan Indah.

“Pengguna trafik boleh menggunakan laluan alternatif melalui jalan Kencana dan Jalan Utama Pandan Indah,” katanya.

Penutupan jalan-jalan terlibat bermula dari jam 6:00 pagi hingga 1:00 tengah hari.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mengelakkan melalui jalan berkenaan dan disaran mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.

Categories
SELANGOR

MPAJ: Elak sepanduk provokasi parti politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengingatkan parti-parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) supaya tidak memasang sepanduk atau plakad berunsur provokasi terhadap pihak tertentu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, parti politik hanya dibenarkan memasang bendera parti masing-masing sahaja sehingga proses penamaan calon dibuat.

“Parti politik tidak dibenarkan memasang sepanduk, kain rentang bersifat provokasi atau gambar calon-calon mereka sebelum proses penamaan calon dibuat.

“Untuk tempoh ini, kami hanya membenarkan pemasangan bendera dibuat di kawasan pentadbiran MPAJ mengikut syarat dan piawaian keselamatan perbandaran.

“Sekiranya ada parti melanggar ketetapan ini, sepanduk mereka akan diturunkan dan selepas penamaan calon barulah pemasangan sepanduk (tidak berunsur provokasi) dibenarkan dipasang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara MPAJ, pagi ini.

Untuk rekod, tempoh penamaan calon dibuat pada 28 April ini.

Dalam perkembangan sama Abdul Hamid berkata, setakat ini lebih 1,000 sepanduk diturunkan selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.

“Antara sepanduk yang telah diturunkan adalah di Taman Kosas dan Keramat.

“Kami berharap agar parti politik bertanding mematuhi peraturan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ raih RM3.3 juta pendapatan tambahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mencatatkan perolehan lebihan pendapatan RM3.3 juta bagi tempoh sehingga suku pertama tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, peningkatan itu didorong hasil pertumbuhan positif pembangunan pesat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Kami percaya, perkembangan positif ini dapat dikekalkan, selepas proses pengauditan dan penyata pendapatan bersih diperolehi nanti,” katanya pada Mesyuarat Penuh di Menara MPAJ, pagi ini.

MPAJ mensasarkan pendapatan PBT itu menerusi perolehan kutipan cukai dan bukan cukai sepanjang tahun.

Selain itu, hasil kutipan pendapatan dibuat menerusi caj-caj perkhidmatan perbandaran, kompaun dan perlesenan.

Abdul Hamid berkata, hasil perolehan pendapatan digunakan bagi tujuan peningkatan fasiliti dan kemudahan awam komuniti.

“Orang ramai diseru menyelesaikan sebarang kompaun atau urusan lain demi kelangsungan dan manfaat komuniti di perbandaran ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

63 kawasan terjejas, MPAJ kenal pasti punca kejadian paip pecah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Bekalan air di 63 kawasan perumahan di sepanjang Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ulu Klang ke Ampang terjejas ekoran masalah paip pecah berhampiran Dataran Ukay, pagi ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk lanjutan proses baikpulih secepat mungkin.

“Bekalan dijangka akan dibuka selepas kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya, namun menurut SYABAS, kita tidak dimaklumkan jangka waktu pembaikan ini.

“Namun, punca paip pecah masih tidak dikenalpasti lagi, tapi di kawasan punca terdapat projek Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

“Jadi kita sedang kenalpasti sekiranya kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu (menjadi punca) dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada kontraktor projek berkenaan,” katanya.

Dilaporkan, kesesakan teruk hampir lima kilometer di laluan berkenaan ekoran kejadian paip pecah jam 5 pagi tadi.

Ia turut menyebabkan lorong kiri laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, laluan berkenaan masih dipenuhi air dan kebanyakan pengguna terpasa meredah laluan berair.

Bagaimanapun MPAJ memaklumkan, paip utama sudah ditutup sejak awal pagi ini, dan keadaan trafik mula beransur lancar sehingga jam 12 petang tadi.

Categories
SELANGOR

Berjaya bina stadium, dorong MPAJ bentuk pasukan bola

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30: Kejayaan pembangunan Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk aktif dalam bidang pembangunan sukan tempatan.

Komitmen itu dinyatakan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain yang optimis dapat memebentuk pasukan bola sepak MPAJ pertama di bawah pentadbirannya.

“Ada stadium baru dan tidak mustahil kita boleh mewujudkan pasukan bola sepak sendiri untuk bertanding di peringkat tertinggi

“Kita akan menilai keupayaan menyediakan pasukan bola sepak MPAJ kerana ia memerlukan kos sangat tinggi.

“Tajaan daripada syarikat atau individu yang mahu bekerjasama dengan MPAJ sangat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, pagi ini.

Untuk rekod, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara PBT tempatan yang memiliki kelab pasukan bola sepak terbaik di bawah MPPJ Selangor (MPPJ FC).

Kelab itu pernah meraih pelbagai kejayaan dan mecipta legasi terbaik apabila dinobatkan sebagai kelab pertama memenangi Piala Malaysia pada 2003.

Pasukan itu diberi gelaran ‘The Black Widows’atau ‘Gergasi Biru Selangor’ dan pernah beraksi di Liga Super.

Sementara itu, MPAJ kini sudah memiliki stadium tempatan pertama di kawasan pentadbirannya dengan pembinaan Stadium MPAJ dengan nilai pembangunan RM23 juta.

Stadium berkenaan turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas faktor kesesuaiannya untuk dijadikan gelanggang kejohanan profesional.

Categories
SELANGOR

5,000 dijangka hadir meriahkan pembukaan Stadium MPAJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Seramai 5,000 warga Ampang dijangka bakal memeriahkan Majlis Pembukaan Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), 8 April ini.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi menarik lebih ramai penduduk setempat hadir memeriahkan majlis perasmiannya.

“Antara aktiviti menarik adalah kayuhan santai melibatkan penyertaan penduduk tempatan dan cabutan bertuah yang menawarkan 200 hadiah menarik.

“Turut diadakan aktiviti zumba, silat, memanah, aktiviti jalan kaki 10,000 langkah dengan jarak laluan anggaran antara tiga hingga lima kilometer,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, pagi ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan turut padang merasmikan pelancaran pembukaan stadium milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Sementara itu, majlis pelancaran stadium yang menelan belanja RM23 juta itu akan diadakan di Pandan Perdana.

Pembinaan stadium berkeluasan 5.87 ekar bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan terbaik disediakan MPAJ.

Abdul Hamid berkata, stadium yang mampu memuatkan 5,000 penonton pada satu masa itu dilengkapi padang bola sintetik berkeluasan 8,670m2.

Ia turut menerima sijil pengiktirafan badan induk bola sepak, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas faktor kesesuaiannya untuk dijadikan gelanggan kejohanan profesional.

Categories
SELANGOR

Cukai Taksiran: MPAJ raih RM46.06 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meraih pendapatan RM46.06 juta hasil perolehan kutipan Cukai Taksiran bagi tempoh suku pertama, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, 120,786 bil diedarkan kepada komuniti dengan pengecualian cukai melibatkan 51,287 unit milikan tanah dan premis bangunan dengan nilai RM9.87 juta.

“Pemilik premis rumah kediaman, bangunan perniagaan, bangunan industri dan kawasan tanah lapang di dalam kawasan MPAJ diseru membuat pembayaran Cukai Taksiran tanpa penangguhan.

“Orang ramai digalakkan membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan online iaitu Penggunaan Icomm bagi mengelakkan isu kesesakan kaunter dan tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan pemilik premis bangunan menyelesaikan tunggakan Cukai Taksiran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 151 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sementara itu, MPAJ kini giat melaksanakan Operasi Kutipan Cukai Taksiran menerusi penghantaran Notis E dan Waran Februari 2018 kepada pemilik yang masih gagal menyelesaikan tunggakan.

“Penghantaran notis dilaksanakan di kawasan berikut iaitu di Menara Mutiara, Menara Indah, Menara Impian, Menara Kayangan dan Pangsapuri Bukit,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil 3/2018 di Menara MPAJ, pagi ini.

Mesyuarat turut memfokuskan permasalahan komuniti bandar dan inisiatif berterusan MPAJ membangunkan fasiliti dan kebajikan masyarakat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Setelah 48 Tahun, Penduduk Kampung Berembang Akhirnya Dapat Rumah Baru

AMPANG, 19 JULAI: Perasaan gembira dan sebak terpapar di wajah lebih 640 penduduk kampung apabila mereka menerima kunci kediaman pangsapuri baru mereka hari ini daripada Kerajaan Selangor.

Mereka seperti Wan Kamariah Che Man, 80, seorang peneroka asal Kampung Berembang yang duduk di kampung itu sejak 1964.

Beliau berasa syukur dan memuji tindakan prihatin kerajaan negeri dalam memastikan hak mereka untuk memilik kediaman akhirnya ditunaikan.

Beliau mengakui, perubahan pemerintahan kerajaan daripada Umno-BN ke Pakatan Rakyat mampu membantu golongan yang berpendapatan rendah.

“Ini yang kami perjuangkan selama ini. Alhamdulillah akhirnya terlaksana. Selama ini kami minta bantuan kepada Umno, tetapi tidak ada apa yang kami dapat.

Terima kasih kepada Yb Iskandar dan Azmin Ali kerana bersusah payah mendapatkan hak kami untuk mendiami rumah tetap,” katanya apabila menerima kuncinya untuk unit pangsapuri Berembang Indah.

Majlis penyerahan kunci dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dan Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad Omar, Ketua Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datin Paduka Alinah Ahmad dan Pegawai Daerah Gombak, Zaharin Mohd Saad.

Perasaan gembira ini turut dikongsi Emi Daud, 80 yang lega penantiannya untuk mendapat rumah sendiri berakhir.

 

Beliau yang telah menetap di rumah setinggan hampir 30 tahun lalu tidak sabar untuk mendiami rumah baru menjelang bulan Ramadhan dan Aidilfitri.

Chua Chin Chai, 56 yang telah menetap di Kampung Berembang selama lebih 20 tahun turut berkongsi kegembiraan bersama keluarga apabila mereka bakal menduduki rumah baru dalam masa terdekat ini.

“Saya banyak gembira. Sudah dekat 9 tahun lebih tunggu rumah ini, akhirnya dapat. Rasa senang hati,” luah beliau dengan nada gembira.

Projek Pangsapuri Berembang Indah dimulakan pada 2005 namun gagal disiapkan ekoran beberapa masalah teknikal.

Pada tahun 2008, kerajaan negeri mengarahkan pemaju supaya menyiapkan projek ini dengan kemudahan tersusun dan terancang.

Pangsapuri ini dilengkapi dengan 7 buah lif, 385 petak meletakkan kenderaan, surau, ruang kedai, tandas awam, dewan orang ramai dan gelanggang serbaguna. Ia dibangunkan oleh Syarikat Perspektif Masa Sdn Bhd (PMSB).

Pangsapuri ini merupakan penempatan semula bagi 649 keluarga penduduk Kampung Berembang yang terjejeas dengan projek pembangunan di kawasan itu.

Setiap keluarga mendapat pangsapuri tersebut pada harga RM 35,000.

Dalam majlis sama, Abdul Khalid meminta penjelasan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pemaju ekoran kelewatan pemberian sijil layak menduduki bangunan (CF) kepada penduduk.

Menurut Timbalan Yang diPertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain, kelewatan ini disebabkan pembinaan pam pembentungan oleh pihak pemaju yang tidak mengikut pelan asal seperti yang dipersetujui oleh Indah Water konsortium (IWK).

Namun, perkara ini berjaya diselesaikan apabila pemaju memberikan jaminan kepada Abdul Khalid dan penduduk akan menyelenggara pam tersebut selama 5 tahun.

Saya minta penduduk rumah pangsa ini tidak dikenakan apa-apa bayaran tambahan untuk menguruskan pam ini selama 5 tahun. Kalau (pam) tidak boleh guna, kita boleh minta mereka (pemaju) tukar,” kata Abdul Khalid.

Tegas Abdul Khalid, beliau berharap masalah CF ini akan diselesaikan dalam tempoh seminggu selain meminta PNSB memantau perkembangan pangsapuri dalam tempoh enam bulan.

Beliau turut meminta penduduk menubuhkan jawatankuasa pengurusan bertindak bagi memastikan kemudahan pangsapuri dapat dijaga sebaiknya.