Categories
SELANGOR

Rani: ‘Beri Khalid peluang, bukan parti sendiri tekan dari dalam’

SHAH ALAM, 3 JUL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman menempelak sikap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang melahirkan hasrat supaya Tan Sri Khalid Ibrahim berundur sebagai menteri besar sejak akhir-akhir ini ekoran tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Abdul Rani berkata, Abdul Khalid perlu diberi peluang memulihkan kepincangan dalam pentadbiran negeri dan pakatan pembangkang di negeri itu.

.“Beri peluang kepada Abdul Khalid laksanakan perancangannya untuk kebaikan semua. Bukannya parti sendiri menekan dari dalam.

“Cuma Abdul Khalid kena ingat bahawa dia naik pentas atas nama parti,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

 

Abdul Rani yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, kekalahan Abdul Khalid dalam pemilihan parti bukan menjadi alasan meminta bekas tokoh korporat itu berundur, sekali gus menganggap ketewasan itu sebagai normal dan tidak perlu wujud pertikaian.

dr rani osman pic 1“Lagipun, bukan beliau sahaja pimpinan yang tewas di peringkat cabang, ramai lagi yang tewas dan tidak menjadi masalah pun,” katanya.

Abdul Rani berkata, isu pertukaran menteri besar dan calon gantian belum pernah dibangkit serta dibincangkan dalam PR.

“Ini kerana suara yang mahukan MB ditukar bukan konsensus majoriti rakan PR dan ada kalangan rakan PR sendiri tidak mahu posisi MB ditukar,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bersedia Pertahan Selangor

suk pakatan selangor

SHAH ALAN 3 APR : Pakatan Rakyat (PR) bersedia mempertahankan Selangor dari dirampas Umno-BN dalam pilihanraya ke-13 kerana sudah bersedia sejak sekian lama untuk pilihanraya pada bila-bila masa.

Parti komponen Pakatan juga menjangkakan bahawa pilihanraya kali ini adalah paling sengit di dalam sejarah dan penuh dengan cabaran seperti daftar pemilih yang meragukan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, semua bahagian akan digerakkan PKR mulia hari ini bagi memastikan segala persiapan bagi menghadapi pilihanraya berjalan lancar.

“Di peringkat pentadbiran Selangor, kita sudah sedia sepenuhnya untuk pastikan kemenangan pada 2008 diulangi dengan beberapa pertambahan kerusi seperti di Permatang, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang serta membantu menambah bilangan kerusi Parlimen di Selangor seperti Sepang, Pandan dan Hulu Selangor.

“Dari sudut persediaan, kita sudah mengaktifkan secara berperingkat. Pimpinan negeri sudah mengarahkan seluruh jawatankuasa daerah mengundi di setiap Parlimen dan Dun membuka bilik gerakan 24 jam untuk buat persediaan untuk menghadapi penamaan dan hari pengundian yang dipercayai hujung bulan atau awal bulan depan,” beliau berkata kepada TVSelangor hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PAS lebih daripada yakin bahawa gagasan itu akan dapat mempertahankan Selangor dan mendapat mandat baru dalam pilihanraya kali ini.

“Kita sudah bersedia lama sejak tahun lalu. Memang pilihanraya ini dinantikan. Esok akan ada mesyuarat dengan Menteri Besar dan perbincangan akan diadakan,” katanya.

Adun Meru itu menjelaskan sememangnya pilihanraya kali ini dijangka paling sengit dan mencabar kerana pelbagai isu hangat berlaku di Selangor seperti daftar pemilih meragukan dengan dakwaan penglibatan warga asing.

“Kita banyak buat laporan polis dan juga kepada SPR. Ini termasuk juga yang dinyatakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengenai apa yang dilaporkan berlaku di kawasannya,” katanya.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Di Landasan Tepat Mentadbir Putrajaya

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 03

SHAH ALAM, 10 MAC: Kecemerlangan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Selangor selepas ‘Tsunami Politik’ tahun 2008 jelas membuktikan gabungan ini berada di landasan tepat dalam membawa anjakan perubahan baru di Putrajaya.

Keadaan ini disokong dengan pencapaian konsisten kedudukan ekonomi terutama di Selangor sehingga mampu meningkatkan simpanan tunai sehingga RM2.6 bilion.

Dengan nada gembira, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara berkenaan di hadapan hampir 5,000 rakyat Selangor termasuk Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menyatakan, pentadbiran dalam lima tahun mengalami perubahan. Kita bukan sahaja memberikan kebajikan, tetapi membangun dengan pengumpulan dana.

“Rizab Selangor dalam keadaan baik dari RM400 juta pada tahun 2007, menjadi RM2.6 bilion sekarang.

“PR sudah bersedia ke Putrajaya. Kita telah buktikan kita punyai pengalaman.

“Rakyat tidak rugi memilih PR,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh rakyat sempena malam kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Kerajaan Selangor.

Menurut Abdul Khalid, meskipun Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM821 juta utuk program kebajikan rakyat, ketelusan yang diamalkan dalam pentadbiran menjadi kunci kejayaan meningkatkan hasil simpanan negeri untuk kesejahteraan seluruh warga Selangor.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membelanjakan RM300 juta daripada rizab berkenaan untuk pembinaan Jambatan ke-3 Klang bagi menambah keselesaan warga Klang seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menghargai kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan barisan Exco Selangor, Adun dan Ahli Parlimen yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan hal ehwal rakyat Selangor terbela.

Sambutan ulangtahun ini turut dihadiri Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan Kebangkitan Rakyat, Selangor Mobilasi 300,000 Peserta

Himpunan Kebangkitan Rakyat 02

PETALING JAYA, 7 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan menggemblengkan 300,000 penyokong sebagai usaha untuk menghimpunkan sejuta rakyat di Kuala Lumpur pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini,

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PR Selangor sentiasa komited terhadap usaha menggembleng suara rakyat bagi menyatakan pendirian berhubung isu pentadbiran negara, ekonomi, alam sekitar dan pilihan raya.

Justeru katanya, himpunan yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka itu nanti merupakan wahana bagi rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Umno-BN.

“Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Selangor akan melakukan mobilasi rakyat untuk bersama-sama dalam himpunan ini yang bertunjangkan prinsip demokrasi, kebebasan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok dan Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Dr Rani turut menggesa agar peserta bergerak ke Kuala Lumpur sehari awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Sementara itu, Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor mengesahkan sehingga kini, tiada respon daripada polis mahupun pihak Stadium Merdeka berhubung kebenaran untuk mengadakan himpunan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, himpunan itu akan tetap dijalankan seperti yang dirancang di kawasan stadium walaupun tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Sebelum ini Perdana Menteri pernah beritahu sekiranya ingin mengadakan himpunan, kita boleh menggunakan stadium.

“Tetapi apabila kita sudah buat permohonan, tiada maklum balas yang diberi. Kita ingin lakukan secara aman, tetapi ia sering dijadikan provokasi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Penganjur mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : Beri Peluang Bekas Penagih Kembali Kepada Masyarakat

Rodziah Mic Kuning 01

SHAH ALAM 29 DIS : Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar tidak meminggirkan bekas-bekas penagih dadah atau mereka yang bergelar Orang Kena Pengawasan (OKP).

Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, golongan tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat membina jati diri untuk kembali bermasyarakat dan tidak ketinggalan dalam era pembangunan negeri mahupun negara.

Beliau menyampaikan amanat tersebut sewaktu ucapan perasmiannya di Seminar Pemantapan Sahsiah Diri Bekas Pengguna Dadah yang diadakan di Wisma PKPS di sini pagi tadi.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha agar semua pihak mendapat tempat dalam masyarakat, tanpa mendiskriminasikan golongan tertentu sekalipun golongan OKP.

“Mereka ini wajar diberikan peluang untuk membuktikan bahawa diri mereka sudah berubah dan bersedia untuk menyahut cabaran bersaing seperti orang lain dalam sektor pekerjaan dan sebagainya.

“Inilah cabaran paling besar golongan ini tetapi kita yakin, dengan adanya keazaman dan kerjasama semua pihak, perkara ini pasti dapat diatasi,” tegas Rodziah yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Seminar tersebut merupakan sebuah program motivasi anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan Pemadam, Pengasih dan pertubuhan Budi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bahagian Pemulihan Al-Riqas MAIS, Hafizatul Akmal Abd Jalil berkata pihaknya akan menambah peruntukan bantuan kepada golongan OKP pada tahun hadapan.

“Program bantuan sudah dimulakan Mac tahun ini dan sehingga kini kita telah peruntukan dana melebihi RM1 juta bagi membantu golongan ini dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Antara lain kita memberi bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang layak, bantuan pusat-pusat pemulihan selain turut membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” jelas Hafizatul lag.

Selain Rodziah dan Hafizatul, turut hadir ialah Pengerusi Pengasih Selangor, Che Pei Omar, Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Norfazli Ismail serta Adun Meru yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Seminar satu hari itu mensasarkan penyertaan 300 golongan OKP daripada semua daerah di Selangor dan terbuka kepada semua kaum.

Categories
NASIONAL

PAS Tak Keluarkan Arahan Kuasai Masjid dan Surau

SHAH ALAM 25 JUN : Pas Selangor tidak pernah keluarkan arahan untuk menjadikan masjid dan surau di seluruh Selangor sebagai tapak ceramah politik sepanjang Ramadan akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata dakwaan tersebut merupakan fitnah terhadap parti tersebut yang tidak mempunyai kuasa terhadap pentadbiran masjid dan surau.

Kuasa tersebut terletak di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Dr Rani, yang juga ADUN Meru.

“Dakwaan itu tidak betul. Sesiapa yang buat tohmahan itu, saya harap tolong beritahu siapa yang beritahu, kemukakan bukti.

“Kami dari Pas Selangor tidak pernah mengeluarkan arahan-arahan begitu melalui JAIS, MAIS atau sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelasnya, Pas turut tidak bersetuju jika terdapat ceramah-ceramah yang menyebut mengenai parti politik.

“Pada kita, masjid dan surau merupakan tempat yang neutral dan penting.

Kalau mahu bincang pasal politik itu tidak benar, jika ada mana-mana penceramah yang lebih kepada politik kita juga tidak galakkannya untuk menyampaikan ceramah begitu,” katanya.

Kelmarin, akhbar pro Umno-BN mendakwa Pas sedang merangka strategi bagi menguasai lebih 2,500 masjid dan surau di Selangor untuk dijadikan ‘tapak ceramah’ sepanjang Ramadan.

Akhbar tersebut juga mendakwa Pas mahukan tazkirah Ramadan disampaikan pemimpin Pas dan bukan pegawai agama bertauliah MAIS.

Pas juga didakwa campur tangan secara langsung dalam sesi pemilihan ahli jawatankuasa masjid dan surau terutama melibatkan jawatan nazir, imam I serta II, sekali gus menolak pilihan ahli kariah.

Mengulas lanjut perkara itu, Rani berkata semua pihak perlu berbalik semula kepada mesyuarat dan syarat-syarat yang ditetapkan Jais.

“Jais tidak pernah duduk dalam Pas, ia bukan dibawah kita. Isu itu tidak timbul kerana Jais sudah memberi penjelasan. Biasalah orang yang kalah mesti tidak puas hati,” kata Abdul Rani.

Categories
NASIONAL

Dr Rani: Sasaran Menang 8 Kawasan Baru Berdasarkan Fakta

SHAH ALAM 25 JUN : Sesuatu kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno-Bn biasanya tidak berdasarkan fakta dan realiti, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Perkara itu diperkatakan berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang meminta Pas Selangor tidak mengeluarkan kenyataan kosong hanya untuk meraih undi bagi PRU13.

Semalam, Noh turut berkata sasaran lapan kawasan baru Pas yang didakwa bakal membantu misi menawan 16 kerusi Dun hanyalah kenyataan kosong sahaja untuk tunjukkan Pas berjaya mengambil hati rakyat.

“Beliau (Noh) boleh cakap apa sahaja, dulu masa 2008 kata nak bagi pembangkang sifar untuk kerusi Dun, tetapi hakikatnya mereka jadi pembangkang.

“Mereka (Umno-BN) bila bercakap bukan atas fakta ataupun realiti. Jadi dia nak cakap apa pun dia boleh cakap tunggu saja PRU13 akan datang. Jika berani buatlah PRU13 sekarang, kenapa perlu tangguh-tangguh,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah kenyataan itu dapat diperkukuhkan dengan adanya pemimpin Umno-BN sendiri yang pernah mengatakan Umno-BN jangan mimpi untuk merampas Selangor dari tangan Pakatan Rakyat.

“Dr Mahathir sendiri kata ?Umno is rotten to the core?. Banyak lagi isu yang perlu dijawab oleh Umno-BN termasuk isu Scorpene. Kemudian nak cari calon untuk hadapi PRU ini sebab tiada calon yang berwibawa seperti calon dalam PAS, PKR dan DAP,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sembunyi Tarikh Pilihan Raya Rakyat Tidak Sabar ‘Kapankan’ Umno-BN

KUALA LANGAT 25 JUN : Umno-BN seharusnya gentar dengan perkembangan terkini di mana sokongan terhadap parti itu semakin berkurangan dengan rakyat menunjukkan tanda jelas inginkan perubahan dalam tampok pemerintahan negara.

Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, rakyat ketika ini sedar mereka tidak boleh lagi bergantung harap kepada Umno-BN yang selama mentadbir negara melakukan pelbagai salah laku dan penyelewengan termasuk rasuah.

Malah, perubahan positif dengan sokongan berpindah kepada Pakatan Rakyat (PR) sejak akhir-akhir ini jelas menghadirkan gerun kepada pucuk pimpinan negara yang terus merahsiakan tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Beliau berkata, amalan itu jauh berbeza di negara-negara lain di mana rakyat sudah mengetahui bila pilihan raya akan diadakan di negara mereka.

Malah tambahnya, rakyat tanpa mengira bangsa dan agama yang sudah mula bosan terhadap Umno-BN juga menunggu pilihan raya akan datang bagi menamatkan penguasaan mereka tidak terkecuali penyokongnya sendiri.

“Di Kuwait bila tarikh pilihan raya dah tau, di Kenya pilihan raya lagi dua tahun dah tau bila tapi di Malaysia tidak tahu bila pilihan rayanya.

“Doktore (doktor) YB, kapan (bila) pilihan raya…..Kenapa tanya?…..Sebab aku nak ‘kapankan’ (kebumikan) Umno ni,” katanya dalam ceramah umum Pengundi Hantu Di Rumah Anda di Teluk Panglima Garang di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dr Abdul Rani berkata, menyedari perkara itu pelbagai tohmahan dilakukan Umno-BN termasuk usaha pakatan pembangkang yang didakwa menggunakan rakyat menerusi perhimpunan Bersih 3.0 untuk menjatuhkan kerajaan.

Namun katanya, perkara itu gagal dibuktikan malah dipersoalkan masyarakat antarabangsa yang melihat insiden sebenar menerusi siaran media.

“Orang Mesir dan Arab Saudi tanya saya yang duduk ramai-ramai tu orang jahat atau baik, penjenayah atau apa. Kalau mereka penjenayah mestilah bawa senapang, kayu, bom atau yang lain. Ini tiada apa cuma bawa air mineral dan garam. Sebab itu bila di Parlimen ketika perkara ini ditanya, menteri sendiri tidak boleh jawab,” katanya.

Menurutnya, selepas perhimpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau anjuran PAS di Kedah yang begitu berjaya meraih sokongan rakyat, Umno-BN semakin mengelabah bagi menentukan tarikh pilihan raya.

Katanya, pemimpin Umno-BN sendiri mengakui perkara itu dan memberi reaksi negatif terhadap parti mereka.

“Saya pegang kata-kata Dr Khir Toyo dan Tun Dr Ling Leong Sik yang mengatakan jangan mimpi nak ambil balik Selangor. Dr Mahathir sendiri kata “Umno is rotten to the core”. Dah rosak, dah punah dan dah busuk,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Pas Tetap Dengan Pendirian “Perjuangkan Islam Dapat Pahala”

SHAH ALAM 28 MEI : Pemimpin Pas hari ini berkata bahawa parti itu tidak ada sebab untuk menarik balik pendiriannya bahawa sesiapa yang menyokong parti itu akan mendapat pahala.

Mereka berkata ini kerana PAS memperjuangkan Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas Ahmad Awang berkata badan itu telah memutuskan pendirian itu berdasarkan kaedah-kaedah syarak di dalam Al-Quran yang mengatakan sesiapa yang memperjuangkan Islam maka ganjaran pahala akan diberikan.

“Maka, jika dilihat dalam konteks negara Malaysia, kita boleh melaksanakan tugas itu melalui pilihanraya, jika mahu menyokong mestilah dengan cara mengundi.?

Manakala Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pendirian Pas selari dengan ketetapan hukum syarak.

?Jika kita menyokong perbuatan jahat kita turut akan mendapat dosa,” katanya apabila dihubungi TVSelangor.
Mereka mengulas kenyataan Pengerusi Jawantankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya di dalam satu laporan akhbar pro-Umno hari ini.

Fathul mengatakan PAS perlu menarik balik ‘fatwa’ mengatakan individu yang mengundi PAS akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam.

Akhbar pro-Umno tersebut juga mengeluarkan kenyataan dari seorang ulama Saudi Arabia yang menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah satu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Kenyataan itu dikeluarkan ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi.

Ahmad menambah, PAS tidak menjanjikan syurga kerana ianya hanya dijanjikan oleh Allah SWT.

“Kita cuma mengikut apa yang di dalam Al-Quran dan Hadis. Jika seseorang mendapat pahala, tidak mustahil dia akan mendapat ganjaran syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya.

Berkenaan kenyataan Sulaiman, Ahmad menyifatkan ulama tersebut seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Katanya, Sulaiman sepatutnya faham di Arab Saudi tidak sama dengan Malaysia kerana negara beliau mengharamkan parti politik dan pilihanraya.

“Jadi sesiapa ulama tidak kira dari negara mana sekali pun tidak boleh bercakap pasal politik Malaysia kerana setiap negara berbeza.

“Kita di Malaysia banyak parti politik yang memperjuangkan fahaman dan ideologi.

?Jadi beliau kena faham. Datang ke sini, tengok apa yang sebenarnya berlaku kerana beliau tidak berhak untuk mengeluarkan pendapat melainkan dia mengetahui.

?Ini menunjukkan kejahilan beliau,? katanya.

Selain itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman pula berkata jangan disebabkan terdesak dan menggelabah, Umno-BN terpaksa mencari orang lain untuk membantu mereka.

Katanya, PAS tidak akan bersengkokol dengan parti yang makan duit rakyat.

“Dari kecil lagi kita sudah diajar untuk memilih makanan yang halal, tetapi jika makanan itu dicuri ianya tetap haram.
“Begitu juga dengan pendirian PAS. Kita bukan menjanjikan syurga tetapi akan mendapat pahala jika menyokong perjuangan Islam. Itu sudah termaktub di dalam Al-Quran,” katanya.