Categories
NASIONAL

Pakatan Tidak Yakin Dengan Siasatan SPRM Terhadap Taib Mahmud

taibmahmud 01

SHAH ALAM 30 JUN : Pemimpin Pakatan Rakyat tidak yakin dengan pengumuman terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan agensi itu terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana dakwaan bahawa Abdul Taib dan keluarganya terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa telah dibuat daripada dahulu lagi dengan pelbagai pendedahan media dan laporan polis.

Terbaru adalah video yang dibuat NGO Global Witness pada Mac lalu yang memaparkan saudara Abdul Taib yang cuba menjual tanah di Sarawak kepada aktivis NGO itu yang menyamar sebagai pelabur asing.

Malangnya, Ketua Menteri itu berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan SPRM apabila agensi itu mahu memanggilnya untuk siasatan.

Setiausaha Publisiti, Anthony Loke Siew Fook berkata sehingga kini Abdul Taib tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Tidak ada keyakinan terhadap SPRM dalam siasatan ke atas Taib kecuali ada tindakan pendakwaan dilakukan,” katanya melalui Sistem pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas isu itu.

Akhbar TheStar hari ini melaporkan bahawa SPRM sedang meneliti 400 fail dan merakamkan kenyataan daripada lebih 20 individu berkaitan kes terhadap Abdul Taib.

SPRM di dalam satu kenyataan berkata agensi itu tidak pernah berhenti menyiasat Abdul Taib dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi siasatan itu.

Siasatan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan yang dibuat di dalam video Global Witness itu.

Sementara itu, Angkatan Muda PKR Sarawak mendesak SPRM supaya memanggil Abdul Taib bagi membuktikan agensi itu betul-betul serius di dalam siasatannya.

“Kita mahu dia dipanggil untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak mahu hanya fail-fail yang disiasat.

Beliau turut mempersoalkan ‘kesukaran’ untuk memanggil Abdul Taib tetapi begitu mudah memanggil orang lain jika hanya rakyat biasa.

“Apakah negara ini mempunyai dua undang-undang? Kalau kita lihat apabila kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu SPRM sudah panggil, tetapi Taib tidak.

“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih dan perbuatannya sebagai sandiwara. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 31052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

2. Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau berhak untuk menolak kempen mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Menurut beliau, rakyat Sarawak memberi mandat yang jelas kepada beliau dan kerajaan pimpinannya untuk terus memerintah Sarawak sehingga pilihanraya negeri seterusnya.

3. Mahkamah Rayuan pada semalam mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo atas tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam semasa menjadi penjawat awam, lapor portal Malaysiakini.

Categories
NASIONAL

Calon Pemuda PAS Komited Isytihar Harta

Pemuda PAS Komited Laksana Isytihar Harta 01

KUALA LUMPUR, 15 APRIL : Pemuda PAS hari ini mengumumkan pengisytiharan harta semua calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Majlis pengisytiharan ini dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini.

Menurut Mat Sabu ini adalah sebahagian daripada usaha meletakkan calon yang mempunyai integriti apabila menerima amanah kepimpinan kelak.

Tambahnya, keperluan untuk seseorang calon mengisytiharkan harta adalah perlu bagi rakyat mengetahui sejauhmana ketelusan seseorang pemimpin bagi mendapat kepercayaan rakyat.

“Supaya mereka yang diamanahkan itu mestilah kerajaan memberikan habuan yang sepadan untuk menjalankan tugas dan mereka tidak lagi terlibat dalam mengaut harta ketika menjalankan tugas.

“Kita perlu memulakan dan memperkuatkan usaha ini dan apa yang dilaksanakan Pemuda PAS adalah satu yang amat baik,” kata Mat Sabu

Katanya, usaha itu adalah untuk memastikan kes pemilikan harta seperti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mempunyai kekayaan yang luar biasa tidak berlaku apabila Pakatan Rakyat(PR) mentadbir Putrajaya nanti.

“Semoga pandangan orang ramai terhadap orang politik yang ingin melihat calon yang berintegriti dapat dilihat,” kata beliau.

Dalam sidang media itu Mat Sabu menerima borang pengistiharan harta daripada sembilan calon Pemuda PAS yang akan bertanding dalam PRU-13.

Manakala 11 calon Pemuda PAS akan berbuat demikian selepas pengistiharan rasmi calon yang akan dibuat dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Taib Ambil Balak, Anwar Juga Salah’

anwar pc close 01

SHAH ALAM 26 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau dalang video NGO antarabangsa Global Witness yang mendedahkan rasuah lesen balak Taib dan keluarganya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang mendakwa menjadi mangsa fitnah akhir-akhir ini kerana semua tokoh-tokoh berkuasa yang mengambil tanah, saham dan balak berpakat menggunakan media bagi menyerang beliau.

“Ini ‘standard’, semua masalah di Malaysia termasuk kekalahan Manchester United kepada Real Madrid juga salah saya kerana pengadilnya Turki,” sindirnya ketika diwawancara stesen Radio Free Malaysia (RFM) malam semalam.

Katanya, Taib perlu menjawab kebenaran di sebalik penyebaran video itu dan bukannya menggunakan media bagi menyerang beliau.

“Saya tidak terlibat, tetapi isunya bukan siapa yang terlibat (penyebaran video), liputan Global Witness itu ada kebenaran dan apakah mampu Tan Sri Taib atau Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak jawab,” katanya yang merupakan Ketua Umum PKR.

Baru-baru ini, Taib menuduh Anwar menjadi dalang kepada penyebaran video itu dan mendakwa Anwar tidak layak mentadbir negara kerana seringkali membawa pihak luar untuk campur tangan dalam perjalanan politik di negara ini.

Umno-BN turut menuduh Anwar sebagai agen Yahudi, US, Turki, India dan turut dikaitkan sebagai agen Sulu ketika peristiwa berdarah di Lahad Datu.

Di samping itu, Anwar menegaskan siasatan segera perlu dilakukan terhadap Taib dan keluarganya berikutan penyebaran video berkenaan.

“Apakah tidak benar, tanah dirampas, apakah tidak benar, beberapa tokoh besar termasuk keluarga menjadi maha kaya menggunakan kuasa, mengkhianati amanah.

“Ini soalan yang mesti dijawab, kalau benar bilion-bilion ringgit dan mana wang itu, siapa yang beri mandat kepada pemimpin negara mengambil tanah rakyat, tanah negeri menjadi hak milik keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, RFM merupakan usahasama stesen radio gelombang pendek Radio Free Sarawak (RFS) di frekuensi MW 1,359 kHz memulakan siarannya malam tadi dengan menyiarkan wawancara bersama Anwar dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Beri Permit : Najib Yakini Manifesto Pakatan Rakyat – BULETIN 13


Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 25032013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Rekod pelaburan negeri paling tinggi di Malaysia membuktikan sektor industri dan komersil yakin dengan halatuju pentadbiran Selangor.

2. Pemberian permit individu secara langsung kepada 1000 pemandu teksi semalam membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyakini Manifesto Pakatan Rakyat.

3. Masalah gangguan bekalan air di kawasan Klang seperti Meru, Kapar termasuk Kapar Indah dijangka akan selesai sepenuhnya pada 31 mac ini.

4. SPRM terus didesak supaya menyegerakan tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya berikutan pendedahan sebuah video yang mengaitkannya dengan rasuah pembalakan di Sarawak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib Mesti Respon Terhadap Siasatan Taib Mahmud

pc pas mac 19 2013 01

KUALA LUMPUR 19 MAC : Kerajaan Persekutuan Umno-BN perlu memberi penjelasan segera mengenai siasatan agensi antarabangsa terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang didakwa mengumpul dana berbilion ringgit di luar negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus memberi penjelasan kepada masyarakat umum.

“Pendedahan video siasatan agensi antarabangsa itu hanya mengukuhkan hujah kita selama ini tentang jumlah dan dana dikumpul Taib Mahmud.

“Kalau Najib pemimpin berwibawa, mustahil dia boleh diam, mesti bagi respon dan apa langkah akan diambil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar mengulas perkara itu selepas pendedahan video oleh sebuah NGO antarabangsa, Global Witness mengenai siasatan terhadap Taib Mahmud yang didakwa mengumpul sejumlah harta yang besar di luar negara.

Ketua Ahli Parlimen, Lim Kit Siang yang turut hadir berkata, apa yang berlaku memberi gambaran Ketua Menteri Sarawak lebih berkuasa dari Perdana Menteri.

“Dulu dia janji Ketua Menteri Sarawak yang baru tetapi tidak ditunaikan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Skandal Balak Terengganu, Rafizi Dedah Dokumen

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 01

PETALING JAYA, 12 MAC : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen pengurusan hasil balak di Terengganu di bawah Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said yang didakwa terpalit dengan skandal rasuah.

Menurutnya, modus operandi terhadap syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam tender mengeluarkan balak turut didedahkan, di mana kesemua syarikat terbabit dipaksa membeli syarikat RM2 dengan nilai RM2.5 juta.

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 04Malah katanya, sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu.

“Hari ini saya menampilkan bukti bayaran bagaimana syarikat yang menjadi mangsa terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penaman yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

“Malah, penyelewengan pengurusan balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi telah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sendiri.

“Namun, saya tidak mendapat apa-apa maklumbalas pun dari Datuk Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini, yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan oleh beliau sendiri,” katanya lagi dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.”

Dalam sidang media yang sama, Rafizi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menggugurkan pemimpin Umno-BN yang didakwa terlibat dengan rasuah daripada menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Rafizi berkata, sekiranya Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka beliau harus memberi komitmen menggugurkan calon yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah.

Dan bukan sekadar menghantar nama untuk disemak oleh (SPRM).

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 03Kenyataan Rafizi itu adalah merujuk kepada beberapa pimpinan tertinggi Umno-BN yang didakwa terpalit dengan tuduhan rasuah atau siasatan SPRM.

Antaranya, Datuk Seri Shahrizat Jalil (Ketua Wanita Umno), Datuk Seri Musa Aman (Ketua Menteri Sabah), Datuk Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Mohamad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan), Pehin Seri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Datuk Seri Ahmad Said (Menteri Besar Terengganu), Datuk Awang Adek Hussin (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Seri Shafiee Afdhal (Menteri Luar Bandar).

“Perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran Umno-BN di negeri-negeri yang dikuasainya bukanlah suatu perkara yang baru.

“Jika Umno-BN tidak bersedia menggugurkan pemimpin ini, terbukti bahawa parti itu tidak serius untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh menang (winnable) seperti yang disebut-sebut oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya.