Categories
SELANGOR

Ilham Kapal Layar Menang Pertandingan Rekabentuk Jambatan Ketiga Klang

 

pemenang jambatan 01

SHAH ALAM 7 MAC : Rekabentuk senibina bercirikan kapal layar dan keris membawa tuah kepada syarikat Vast Consultants Sdn Bhd apabila menang tempat pertama pertandingan rekabentuk Jambatan Ketiga Klang hari ini.

Konsep rekabentuk yang unik itu bakal menjadi ikon dan mercu tanda bandar Klang menepati pilihan juri seterusnya menewaskan sembilan lagi firma perunding kejuruteraan awam tempatan lain yang turut bertanding.

Pengarahnya, Rosely Abdul Latif berkata, rekabentuk jambatan ini pada asalnya diilhamkan melalui kabel dan bentuk kapal layar ‘penisi’ yang terkenal dan diterjemahkan ke dalam tiga elemen dimensi strukturnya.

“Saya mengambil masa selama dua minggu bagi merangka idea pembinaan jambatan ini dengan mengambil kira Klang sebagai sebuah bandar diraja dan beberapa aspek lain seperti elemen keris dan kapal layar ini,” katanya.

pemenang jambatan 02Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding kejuruteraan awam yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Menurut Abdul Khalid, jambatan sepanjang 500 meter ini akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dengan menggunakan peruntukan yang disediakan melalui wang rizab simpanan negeri berjumlah RM300 juta.

“Selepas ini, akan di tender, bulan Jun (2013) baru boleh dan akan mengambil masa dua hingga ke tiga tahun untuk di siapkan,” katanya dalam sidang media di majlis itu.

Baru-baru ini, Abdul Khalid telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ketiga tersebut di Jalan Tepi Sungai, Klang.

Sebelum ini, pembinaan jambatan tersebut telah dijanjikan Kerajaan Umno-BN pada tahun 2008 namun tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah Jambatan itu telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Arkitek Jururancang (Malaysia) Menang RM 50,000 Pertandingan Rekabentuk SUK II

SHAH ALAM, 20 SEPT : Rekabentuk senibina moden kontemporari membawa tuah kepada sebuah firma perunding arkitek, apabila ia meraih tempat pertama dalam pertandingan rekabentuk Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) II kelmarin.

Komponen utama pembangunan rekabentuk ciptaan Arkitek Jururancang (Malaysia) Sdn Bhd menjadi pilihan juri dan menewaskan tujuh lagi firma perunding arkitek tempatan lain yang turut bertanding.

Model SUK II syarikat itu mempunyai menara pejabat, blok podium, blok tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan moden yang lain.

Pengarahnya, Muhammad Ali Jamaluddin berkata, seluruh ahli pasukan di bawahnya memberikan pelbagai idea kreatif dan inovatif untuk digabungkan menjadi rekabentuk senibina yang mampu menjadi ikon kepada negeri ini.

“Rekabentuk bangunan Pejabat SUK II berkeluasan hampir 10 ekar ini perlu dilakukan dengan teliti supaya ianya mampu menjadi suatu binaan unik dan berteknologi tinggi yang terdapat di Selangor di masa hadapan,” katanya.

Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tempat kedua dimenangi oleh SeniBahri Arkitek Sdn Bhd yang menerima RM 30,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Veritas Architect Sdn Bhd yang membawa pulang RM 25,000.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding arkitek tempatan yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata, pertandingan ini juga bertujuan mendapatkan satu rekabentuk yang dapat menempatkan kesemua jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

“Rekabentuk pejabat ini juga turut mengambil kira unjuran pertambahan kakitangan sehingga 2040 yang mampu memuatkan sehingga 6,000 pekerja supaya masalah kekurangan ruang pejabat pada masa kini dapat diatasi,” kata Abdul Khalid di dalam majlis penyampaian hadiah kelmarin.

Menurutnya, konsep rekabentuk yang sempurna akan menyebabkan pentadbiran lebih tersusun kerana ia akan memudahkan orang awam untuk berurusan di sini.

“Orang awam yang nak datang tak sesat dan ia menepati konsep mesra rakyat dan ini yang kita utamakan,” katanya lagi.

Walaupun cadangan pembinaan bangunan berjumlah RM 500 juta ini masih diperingkat awal Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah awal untuk sesuatu pembangunan di masa hadapan.

“Kerajaan Negeri masih memerlukan komen daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat berkaitan hal ini,” katanya.