Categories
BUDAYA RENCANA

Sakit jantung

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Hampir dua puluh tahun Jasuli tidak melihat rupa kampung halamannya, atau orang dari kampungnya sejak melarikan diri setelah dituduh bermukah dengan Kak Nab, isteri ketua kampung. Dia sendiri hampir lupa wajah Kak Nab atau lakinya yang menyuruh budak-budak jantan sana melanyaknya. Tiba-tiba hari ini, seorang lelaki bersama isterinya yang singgah di kedai menegurnya.

“Dee, kan?” kata lelaki itu dengan mata dikecilkan sedikit sebelum perlahan-lahan membesarkanya.

Jasuli menggeleng dan berkata kau tersilap orang ni. Dee memang dia. Dee adalah nama timangannya di kampung dulu. Raut mukanya serta-merta bertukar.

“Ah, aku tak silap. Tu, tahi lalat bawah bibir tu. Makin besar, tapi aku masih cam, Dee.”

Dia tidak boleh berkata apa selain tersengih tanda mengiakan. Entah berapa ratus kilometer jarak dari Ulu Tiram dengan Padang Besar, tapi hari ini jarak itu dikecilkan oleh satu sapaan.

“Duduklah, apa nak makan?” pelawa Jasuli selaku tuan gerai.

Pelanggan tidak ramai ketika itu. Dua orang tua berkopiah lusuh sedang rancak berbual. Seorang pemandu lori ralit menatal telefon sambil mengunyah roti canai dan seorang cikgu baru tiba, sedang membelek-belek tali pelitup wajahnya yang tercabut.

“Ya Rabbi, lama sungguh tak jumpa kau. Aku ingat kau dah mati. Amacam sekarang, sihat?”

Angguk. Jasuli mengesat meja dan melihat sekilas. Lelaki itu hanya hendak minum. Teh ais pekat dan kurang manis dua gelas. Jasuli melaung kepada pekerjanya di dapur. Kepalanya tiba-tiba memainkan beberapa potong ingatan lepas. Dia tidak cam siapa lelaki ini. Adakah salah seorang yang pernah memukulnya dulu?

“Dekat dua puluh tahun eh. Lama tu. Tapi, dunia ni memang kecik. Tak sangka berjumpa di sini, kan.”

Lelaki itu masih memandang Jasuli. Senyumannya lebar, menampakkan barisan gigi yang putih dan ada sebatang gigi tercabut. Siapa mamat ni, getus Jasuli. Dan mata isterinya pula tak lepas dari skrin telefon, ralit menonton siaran langsung Facebook.

“Ini Syafiq, ya?” Jasuli sekadar menebak. Kalau boleh dia tak mahu bercakap. Tapi tidak elok pula kalau dia mengunci mulut.

“Eh kau ni. Aku Kamil. Jiran selang dua buah rumah kau dulu. Ingat?”

“Kaaa… mil?”

Jasuli menggesek-gesek dagunya. Dia tidak ingat nama ini. Rupanya pun tak terakam langsung dalam kepala. Namun hatinya makin rasa tidak sedap. Tidak selesa. Rasa menyesal membuka gerai hari ini. Perjumpaan dengan seseorang dari kampungnya dulu adalah perkara terakhir dia mahukan dalam kehidupannya sekarang.

“Nampaknya kau dah lupa banyak benda pasal kampung kau. Eh duduklah dulu, kita sembang sikit.”

“Itulah, sebab dah berumur mungkin,” kata Jasuli sekadar tersengih. Sengihannya dibuat-buat.

Air teh dua gelas sampai. Jasuli menyeluruhi lelaki itu. Kamil? Dia cuba mengingat. Entah siapa. Kamil menghirup teh. Dia tak gunakan straw. Dia keluarkan straw dan letak di atas meja, kemudian mengusap rambutnya ke belakang. Isterinya meletakkan telefon sebentar, melihat Jasuli dan tanya, “Dee? Macam nama pelawak tu?”

Kamil gelak kecil. Dia angguk dan minum lagi teh. Jasuli tak senang duduk.

“Orang kampung panggil dia Dee sebab muka seiras. Cuba tengok betul-betul.”

Si isteri menurunkan sedikit kacamata, merenung dan berkata, “Eh, betullah bang.”

“Macam mana hidup sini, okey?”

“Okey je.”

“Siap berkedai lagi. Dah lama?”

Kenapa lelaki ini begitu mesra? Dia kawan aku kah dulu?

“Bolehlah, nak hidup lepas pencen ni.”

“Pencen? Awal betul pencen. Kau belum sampai lima puluh, kan?”

Sampai umur aku pun dia tahu? Tentu dia tahu juga hal malam itu. Malam ketika dia dijerkah, diserbu dan dilanyak sebelum dapat melarikan diri.

“Tak adalah. Aku kerja swasta sebelum ni. Berhenti awal. Dah puas kerja dengan orang.”

Dia terbiasa bercerita panjang, dan hampir saja melakukannya lagi di depan Kamil. Tapi dia terhenti di situ, tidak mahu lanjutkan apa-apa.

“Ooo… padanlah.”

Jeda. Masing-masing tidak bercakap apa. Kesenyapan itu dipecahkan oleh laungan pemandu lori yang hendak membayar minuman. Sebelum Jasuli sempat bangun, pekerjanya terlebih dahulu mendapatkan pemandu lori itu. Terlepas peluang, rungutnya.

“Kau ingat kan, Kak Nab?”

Tekaannya betul. Kisah silam ini pasti diungkit kembali. Apa hal? Aku sudah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Kenapa dibawa kembali kisah silam ini? Jasuli teragak-agak menjawab, “Tak… ingat.”

Kamil merenungnya dalam-dalam. Kepalanya direndah dan diserongkan sedikit lalu telunjuknya diluruskan. Dia berkata, “Kau biar betul. Lupa sungguh?”

Jasuli merasakan adalah satu pengkhianatan kepada sejarah diri jika dia menipu. Tetapi dengan jawapan dalam nada teragak-agak, dia mengisyaratkan bahawa dia tidaklah benar-benar lupa, cuma tidak pasti.

“Dia baru meninggal.”

“Bila?” laju dia bertanya.

“Dalam empat bulan dah.”

Angguk dan senyap.

“Aku masih ingat kejadian tu,” kata Kamil tanpa memandang. Tehnya sudah habis dan dia mengacau-ngacau ketulan ais dengan strawnya.

Mujur kali ini dua pakcik berkopiah minta tambah air. Jasuli cepat-cepat ke dapur. Dia membancuh dengan perlahan, mengacau susu dengan perlahan, semuanya untuk meredakan detak jantung yang kian kencang. Selepas menghantar minuman, Jasuli perasan Kamil sudah tiada. Di meja, sekeping not lima ringgit. Pada mulanya dia tidak mahu pedulikan lelaki itu tetapi mengubah fikiran dan bergegas mendapatkan Kamil yang sudah masuk ke dalam kereta.

“Kak Nab sakit apa?”

Kamil menurunkan tingkap, “Serangan jantung, Dee.”

Lama Jasuli terpaku depan kereta dan menunduk, meraih kembali kenangan.

“Aku pergi dulu ya,” kata Kamil.

Lamunan Jasuli terbubar. Dia mengangkat wajah dan bertanya, “Kejap, kau ingat tidak nama sebenar aku?”

Kamil tertegun, mengetap bibir, menggeleng perlahan sebelum berpaling kepada Jasuli dan membalas, “Tak… ingat.”

Categories
BUDAYA RENCANA

Ingatan sebagai teman daripada seorang pelupa

Oleh Abdullah Hussaini

Saya sering mengatakan kepada beberapa orang teman bahawa saya seorang pengingat. Saya tidak mudah lupa. Kadang, saya pura-pura lupa untuk memenangkan orang yang mengingatkan saya atau untuk memastikan perbicaraan dengannya berpanjangan. Naim Aziz terkejut apabila saya dapat menyebutkan hantaran Facebooknya yang rupa-rupanya sudah berusia empat tahun ketika saya mengulangnya baru-baru ini. Atau, Rasydan Fitri tergelak apabila saya meraih kembali ingatan tentang ciri tubuhnya dan suasana ketika ia berpindah masuk ke sekolah menengah dan sebilik dengan saya—20 tahun yang lalu. Ini saya fikir mempunyai kesan lanjutan lainnya, seperti, saya (atau mungkin juga anda) gemar mengulang cerita sama ada sengaja atau tidak sengaja, kerana ada nikmat dalam menyampaikan apa yang kita ingat dengan kukuh, baik perkara manis atau pahit.

Tetapi apabila direnung semula, saya sebenarnya pelupa. Mana mungkin kita ingat segala. Ungkapan “manusia adalah insan pelupa” terlalu kuat untuk disangkal. Saya dapati hal-hal yang berlaku atau apa yang saya rencanakan untuk dilunaskan dalam masa terdekat, begitu mudah dilupakan. Misalnya senarai barang untuk dibeli di pasaraya. Biasanya saya akan catat dalam kepala saja dan, betapa kerap terjadi, ketika sampai di pasaraya, saya akan terlupa separuh daripada senarai itu, atau lupa semua. Demikianlah juga yang terjadi kepada ilham-ilham yang datang dalam bentuk kata, sepotong ayat, atau gambaran. Apa saja. Kalau tak dicatat, hilanglah dalam masa yang cukup pantas. Saya senaraikan beberapa tajuk esei dan isi-isinya yang kerap berlegar dalam kepala, dan belum ditulis lagi. Saya tulis ini sebagai peringatan kepada diri.

Di mana kediaman Roslan Jomel

“Cuba satu hari, kau ikut Roslan Jomel senyap-senyap, sampai ke rumah dia. Tengok rumah dia, kan. Kau tulis pasal ni. Best jugak tuh.” Kata Hafiz Hamzah sewaktu mengeteh di Mahbob Damansara Damai. Saya boleh tulis panjang perihal Roslan Jomel, karya atau budi baiknya kepada saya. Tapi untuk mengendap sampai ke rumah beliau, ia pasti memerlukan masa, siasatan teliti dan pelaporan akhirnya haruslah panjang yang sedap. Cerita perihal Roslan muncul apabila Hafiz bercerita ketika dia mula-mula mencari bahan untuk jurnal Svara kendaliannya. Roslan yang tidak membalas kembali emel ulasan Hafiz terhadap cerpennya, telah menimbulkan penasaran dalam benak editor itu. Kebetulan, saya kerap juga bertemu dan meluang masa dengan Roslan. Tapi dalam kalangan penulis yang sentiasa bertemu dengannya pasti maklum—Roslan tidak pernah memberitahu di mana kediamannya atau pekerjaannya.

Jika anda membaca cerpen-cerpennya, mungkin anda akan meneka dengan kuat bahawa watak-watak dalam cerpen itu adalah Roslan sendiri. Lokman Hakim pernah tertanya-tanya tentang ini, dan beberapa penulis lain juga; di mana rumah Roslan? Beberapa orang teman meneka-neka, Roslan sebenarnya penulis skrip, Roslan sebenarnya ghost writer, Roslan menang 4D bernilai jutaan ringgit dan menjalani hidup sederhana, Roslan sebenarnya anak bilionair, Roslan ada rumah besar di Sarawak. Kamu mungkin akan berkata, buat apa nak sibuk-sibuk kehidupan peribadinya, tumpu pada karyanya sudahlah. Saya Cuma nak tengok koleksi topinya saja. Tapi apa yang paling saya ingat dari mulut Roslan sendiri adalah, rumahnya mempunyai puluhan ekor kucing dan dia pernah kerja sebagai buruh kasar.

Motosikal sebagai kuda

Penghujung tahun 2013, setengah jam sebelum saya menghenjut tuil penghidup motorsikal untuk pulang ke KL dari Pahang, pecah berita mengenai Siti Aishah yang menjadi hamba di London. Kemudian Hishamuddin Rais bercerita bahawa dia kenal wanita itu. Bulan Disember, penghujung tahun 2015, ketika motosikal saya tersenggut-senggut mendaki Lebuhraya Karak, cerita Siti Aishah bermain dalam fikiran, begitu kuat. Sepanjang perjalanan saya berhenti beberapa kali untuk merokok, menyejukkan enjin motosikal cabuk itu dan membayang-bayangkan satu cerita lengkap berilhamkan kisah Siti Aishah dan Hishamuddin Rais. Sampai di rumah, seperti dirasuk Ifrit, saya mula menulis, dan setiap hari siap satu bab sebanyak 2000 patah perkataan, selama sebulan. 30 bab selesai lalu dihantar ke penerbit. Pada pertengahan 2016, novel pertama saya terbit. Kini, ia sebuah novel yang saya mahu lupakan, semua, semuanya. Tapi ingatan terhadap proses dan jerih payah sepanjang menyiapkannya kekal menghangat.

Salib Clariessa cukup sajak

Saya berterus terang saja, saya sudah siapkan kata pengantar pendek untuk buku Clariessa yang akan saya terbitkan kelak. Mudah-mudahan ia terjadi. Dari kata pengantar itu saya sering terfikir, patutnya ia dikembangkan menjadi satu esei yang mengungkapkan kepenyairan Clariessa dengan lebih jelas. Selalu saya katakan, di Malaysia tak ada, – atau mungkin ada tapi cukup sedikit – penulis yang mampu menulis puisi Kristian dengan kemas dan dekat dengan latar tempatan. Karim kata ‘Ain. Tak. Saya bau Amerika dari puisinya. Kawan saya Fariq berkata, rahsia puisi Indonesia adalah Bible. Saya mendapatkan Alkitab dari Sarawak, tentu saja melalui Clariessa. Betullah, betapa puitis kitab itu hingga mengilhamkan kepada saya sejumlah sajak.

Wawancanda bersama tokan

Beberapa tahun hidup serumah dengan tokan, telah memberikan sejumlah pengalaman yang cukup berharga; sebagai pengajaran dan kenangan semata. Di satu kawasan rumah pangsa yang kumuh dan sendat, saya mengenal apa itu persahabatan, yang putih dalam hitam dan batas yang tak boleh dilangkahi. Saya ingin mengenang kenalan-kenalan yang telah pergi, kaca dan batu yang merosakkan kepala masyarakat dan tatanan pergaulan yang rencam dan rumit. Tak salah kalau kamu kata dadah musuh negara.

Kenapa kita ingat, kenapa kita lupa? Mungkin kita tak lupa sepenuhnya, Cuma ingatan itu terenap dek bermacam perubahan sekitar. Kalau ada sesuatu berkaitan ingatan yang telah saya lupakan itu muncul di depan, perkara silam akan kembali terpacu. Yang pasti, masih ada trauma silam yang kekal menghantui, ada penyesalan yang masih melukai dan cinta yang masih memedihkan. Semuanya segar dalam kepala ini. Sesekali saya akan menjerit dan terkejut tiba-tiba seperti direnjat elektrik. Sesekali saya mengigau dalam mimpi dan tidur ayam. Ingatan seperti mimpi-mimpi yang belum selesai. Adakah hanya tidur yang mampu menyudahkannya?

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Bekas pemburu menjerat udara

dia muncul dengan wajah pucat
menyerahkan kepadaku sebuah perangkap
bersama bacang sebagai umpan
“aku mahu seekor landak.”

apalah gunanya kini
pokok-pokok habis ditebang
hutan dan bukit licin digondol
suaraku menyalin kicau burung

dia tercengang, “dah lama aku nak rasa, buat ubat, buat badan kuat.”
cahaya sunti mengghairahi kulit kami
percikan suria menyelar ubun kepala

jam tiga, dan aku menolaknya
ke dalam pusaran habuk yang menggila
kutanggalkan baju seluar
kutinggalkan di sisi tunggul
lalu terjun ke sungai debu

seperti ini setiap hari
aku terjaga dan membunuh diri
hanya kau tak kesal-kesal
selalu terpacul dan basah meminta.

kaujebaklah udara kering ini.

 

Abdullah Hussaini

Categories
BUDAYA RENCANA

Ibu sekuntum luka (i)

aku terjaga dengan sajak di dada
timbunan bunga melitupi kepala
lopak darah bergenang di kaki

mak, aku teringatkan kau
pagi begini bau cekodok masin
dan teh kosong semerbak di tanah ingatan

bunga ini wanginya tajam terlalu
hanyir darah menusuk hidung
di antara keduanya, kenangan menikam

walau zat pengalaman bertambah
ingatanku belum cukup digaramkan cekodok masinmu

semakin sukar membaca kenyataan
semakin lapar menuliskan dirihal
tapi sajak ini tak mengenyangkan rindu

ambillah bunga dan darah ini
aku cuma nak ke dapur

 

Abdullah Hussaini

Categories
BUDAYA RENCANA

Hanya bunyi

malam buas di rumah kita
kaupadamkan cahaya uzur
kini aku menuju suaramu semata

kersikan-kersikan menukar diri—
mutiara air yang berguling di lantai
lenggokan debu yang berkisar di tilam
patukan bau yang pesat di jendela

andai aku lemah tak berdaya
andai aku gamam tak bermaya
bacakan padaku sebaris ayat:

“lidahmu akan terkulum mati
dihukum tuhan puisi”

kubakar sepotong damar
nyamuk terusir, kamar mewangi
benar, hidup ini perlukan mimpi

berapa banyak impian ditunaikan waktu,
berapa banyak waktu dilangsaikan mimpi,
kalau terbangun hanya duka berbaki?

malam datang mengetukku
hitam terbentang memelukmu
tubuhku retak, dua kali tumpas

Abdullah Hussaini

Categories
BUDAYA RENCANA

Yang Ditunggu

Oleh Abdullah Hussaini

MUKA dia macam Baifern Pimchanok. Itulah yang terbunga di mulut apabila melihat dia kali pertama di depanku. Dia tidak jauh, kira-kira tiga meter di hadapan sana, mengirai sedikit rambutnya ke belakang, membetulkan skirt panjangnya yang terbelah dan dengan berhati-hati melabuhkan punggung. Kemudian dia mencapai surat khabar yang hampir renyuk di atas meja kopi lalu menyelak ke halaman tengah. Apabila dia mengalihkan sedikit kepala, ada kemilau cahaya di hujung cuping telinganya. Subang – entah jenama apa, terpasang molek, padan dengan orangnya. Lama aku perhati sebelum dia meletakkan surat khabar itu dan keluar tanpa berpaling ke arah lain pun.

Dia memang macam Baifern Pimchanok. Atau entah-entah itu memang dia? Sebijik. Aku tahu Baifern sebab Aman selalu tonton drama Thailand. Jadi secara tak langsung aku terlayan sama. Aku ingat tajuknya, Bai Mai Ti Plaed Plew. Cerita tentang apa, tak ingat pula.Tapi ada adegan tangis-menangis, gaduh-gaduh dan tarik rambut. Baifern sangat cemerlang dalam drama itu. Lakonannya hidup. Kalau dia menangis, dia menangis teresak-esak mengalirkan air mata asli. Kalau dia menjerit marah, aku pun terkejut sama. Hidungnya macam hidung kancil. Dan tajam dagunya mengingatkan aku kepada Zura Anwar, seorang novelis dari Sabah.

Keesokan harinya, Baifern datang lagi. Dan mengapa dia selalu datang ketika hari hampir-hampir petang? Mungkin dia sibuk sepanjang hari. Kali ini dia pakai kemeja-t warna putih krim yang dibaluti jaket kulit coklat gelap, jeans skinny dan loafer. Seperti semalam, rambutnya dibiar melepasi sedikit paras bahu. Dia mengeluarkan telefon bimbit sebelum menatal entah apa. Agak lama matanya terpaku pada skrin. Kemudian dia bangun menuju ke arah Aman, yang aku nampak dah tak tentu arah – gelabah nampak perempuan cantik. Dia berkata-kata sesuatu. Aku ketika itu cakap, “kenapa pergi kepada Aman? Kenapa? Dia bukan tahu apa! Dia pemalas! Tak ada kesedaran diri! Tak miliki apa-apa selain motosikal cabuk yang susah nak dihidupkan!” Tetapi dia terus bercakap, mesra sekali sebelum Aman tergopoh-gapah mengeluarkan sekeping kad dan menghulurkan sebatang pen kepada Baifern. Selepas menulis sesuatu, dia meninggalkan kami.

Baifern datang setiap hari. Dia memang akan duduk di depanku, menekup kedua-dua belah telinganya dengan fon telinga sambil tekun membaca surat khabar. Aku sudah kenal gaya badan dan semua pergerakannya. Apa yang dia buat dan akan buat. Lenggok suara, anggukan kepala, uraian rambut, renungan dan kerlingan. Sudah kukenali semua itu. Pada jam berapa dia akan bangun ke tandas. Pada saat bila dia akan mematikan telefon bimbitnya yang tiba-tiba berdering. Suaranya sudah tentu, dan harum pewanginya? Ahh, sentiasa berbeza setiap kali dan menyegarkan ruang lesu ini. Setelah hampir sebulan, aku cukup pasti, aku jatuh cinta padanya. Bak kata Win Metawin dalam satu drama, “aku boleh kawal perbuatan aku, tetapi perasaan ini, perasaan ini, telah menakluk hatiku!”

“Aku tahu, kau fikir kau akan memilikinya. Tapi kau harus sedar diri. Siapa yang nakkan kau, si buruk rupa?” tegur Rentong. Aku berpaling dan melihat sengihan mengejek pada mukanya. Rentong ini sudah tua kerepot. Dia tidak dipedulikan orang. Bila kali terakhir perempuan menyentuhnya? Tidak relevan dengan zaman sekarang.

“Sekurang-kurangnya masih ada tua kerepot yang menyebut namaku,” tambahnya lagi seolah-olah mengetahui isi hatiku. Ini kelebihan Rentong. Dia pandai membaca isi hati aku. Aku masamkan wajah, kemudian hembus nafas ke mukanya. Dia terundur ke belakang, mengesat mata dan kemudian terbatuk. Macam ada debu di sekitarnya. Dia menggeleng-geleng. Zamanmu sudah berlalu, terimalah kenyataan, katanya lagi. Pedih dan menusuk hati. Tapi aku mengunci mulut. Tak kuasa nak melayan.

Cukup melemaskan melihat Aman yang tergedik-gedik apabila Baifern datang. Sekejap-sekejap ada saja benda yang dia nak katakan. Kalau duduk di meja, dia akan mengintai dari jauh dan apabila Baifern sedar dan mengerling, cepat-cepat dia menunduk. Kadang-kadang dia akan senyap-senyap mengambil gambar dari jauh. Jahat sungguh! Kemudian dia memulakan langkahnya. Aman tiba-tiba saja jadi rajin. Tempat yang selama ini kusam dan lesu, diceriakannya dengan cat baru dan susunan meja serta kerusi yang berbeza. Lantai dan dinding yang selama ini bersawang dia bersihkan. Segalanya menjadi berkilat. Tingkap kaca dicuci. Bunga-bunga ditanam di luar. Lebih membuat aku meluat; dia tiba-tiba melaram dengan pakaian baru serta mencalit pewangi di bawah telinga dan dadanya. Huh! Tetapi syukurlah, Baifern-ku tidak mengambil perhatian kepada lelaki itu.

Akhirnya, pada suatu hari, Baifern datang ke arahku. Aku cukup yakin dan teruja aku akan memilikinya, sementara Rentong terkekeh-kekeh di sisi. Nampaknya benarlah telahan Rentong, ketika sudah hampir, Baifern melencong, memilih laki-laki yang lebih putih dan jambu. Jahanam. Mengapa kauremukkan hati aku, Baifern? Aku benar-benar patah hati dan tak percaya kepada cinta lagi. Aku merajuk. Aku tak perhatikan lagi Baifern. Apabila dia muncul, aku tutup mata. Biarlah Aman saja yang mengorat. Biarlah Rentong dengan ketawa ejekannya. Biarlah aku mati saja.

Aku terasa wajahku disapu-sapu. Aku membuka mata, dan di depan, kulihat wajah Baifern dengan cahaya matanya berpencar-pencar. Apabila kuturunkan lagi pandangan, baru ternampak kad pengenalan dirinya yang tergantung – Charlotte Wong. Dia mendekatkan lagi wajahku ke matanya dan menyebut perlahan namaku, ‘Pengintip Wanita Yahudi’, kemudian dia keluarkan telefon bimbit dan ambil gambarku dan letakkan semula ke tempat asal. Sebelum beredar dia berkata, “kau mengintip aku selama ini?” Sejak daripada kejadian itu aku tak pernah lagi nampak kelibatnya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Momen serlah kearifan bahasa

Oleh Abdullah Hussaini

PUISI bukan sekadar menemani perjuangan rakyat, berdiri di sisi pertabalan seorang presiden Amerika atau merakam sejarah tamadun tetapi seperti kata Nicanor Parra, apa saja boleh berada dalam puisi. Mengapa puisi? Sebab puisi ialah introspeksi, tulis Qurratul ‘Ain dalam kata aluan buku kumpulan puisi sulungnya, Momen.

Dalam kamus, introspeksi adalah proses penilaian diri merangkumi fikiran, idea dan perasaan secara mendalam. Qurratul ‘Ain menghidangkan ruang intim abadinya sebagai jalan solitari yang mengakrabkan dirinya dengan seribu yang lain. Malah beliau membuka kumpulan puisinya dengan Percakapan Kecil, seribu diriku perlahan-lahan/keluar meninggalkan seorang aku/selamat tinggal, kita sangat ramai. Puisi ini sangat monumental kerana ia bukan sahaja gambaran kasar keseluruhan puisi di dalamnya tetapi juga kerana ia mengarahkan mata pembaca kepada proses awal intropeksi itu sendiri. Siapa atau apakah yang ramai itu? Yang pasti keramaian itu menimbulkan kesesakan dan merampas ruang peribadi lalu dia keluar meninggalkan dirinya sendiri lewat jalan penilaian diri.

Tasha Eurich dalam artikelnya menyatakan introspeksi adalah jalan paling universal menuju kesedaran diri. Dalam proses ini, kita akan merenung dalam-dalam perasaan kita untuk memahaminya. Kita akan mempersoalkan kepercayaan yang dipegang selama ini. “Apakah aku percaya terhadap apa yang aku fikir aku percaya?” adalah soalan yang tidak dapat kita lari daripadanya. Dalam puisi Semi Eterniti, persoalan ini seakan-akan dijawab Qurratul ‘Ain; Betapa polos kepastianmu tentang hakikat diri/Kau lupakah, dunia masih degil: enggan akur kepada mimpi-mimpi remaja kita, Kasih. Di sini Qurratul ‘Ain menyedari; ada dongeng atau fantasi yang tidak mungkin akan tergapai. Sememangnya waktu dan usia memberikan kematangan kepada seseorang untuk menyukat kembali isi padu pegangannya sebelum menambah, mengurang atau membuang langsung kesemuanya.

Sungguhpun Qurratul ‘Ain menyatakan puisi sebagai ruang intim buat dirinya, hal ini bukanlah bermaksud puisinya tempat curahan perasaan semata-mata. Kerana kata Rahman Shaari, jika pengucapan puisi peribadi terlalu biasa bagi pembaca, maka eloklah puisi itu disimpan di dalam fail peribadi sahaja. Puisi peribadi sewajarnya bukan sahaja jujur dengan diri sendiri tetapi memberikan rasa jujur itu kepada pembacanya. Puisi seperti Percakapan Kecil, Menganuti Rindu, Dua Latte Dingin, Kuingin, Labirin, Kembali dan Sedikit Muslihat, memperlihatkan bahawa walaupun ia ketara bersifat peribadi tetapi dapat mempertautkan perasaan pembaca dengannya. Dua Latte Dingin misalnya, bukan cuma satu doa polos kepada Tuhan tetapi juga pengakuan diri yang kerdil. Atau puisi Labirin yang memerikan ada takdir yang memang tidak boleh diubah.

Saya boleh merenung ke dalam diri selepas merenung puisi-puisi ini dan yakin ramai pembaca dapat sama menarik keluar intisari darinya. Saya sangat tertarik dengan puisi Motel ii. Sedikit samar, tetapi puisi ini memberikan kepuasan metaforikal. Walaupun saya tidak pasti mengapa digunakan istilah motel berbanding hotel bajet yang lebih Malaysiana tapi difahami, motel adalah ruang bersifat peribadi yang sementara. Sama ada untuk bermalam atau sengaja mengurung diri, ruang kecil tersebut semacam jelmaan bilik tidur di rumah kita. Di situ kita memiliki autoriti walau ada sempadannya – untuk merokok, membaca buku, bertelanjang atau menonton tv.

Namun bagi Qurratul ‘Ain bilik ini sengaja kumasuki/untuk melanggan pertanyaan. Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Adakah tentang kesepian? Dosa? Atau mungkin pertanyaan lanjutan dari puisi Momen, esoknya seorang penyair/datang menghuni/tanpa bekal puisi/tanpa harga diri. Puisi ini bagai gambaran proses introspektif penyair sendiri.

Dengan latar belakang persuratan Melayu, Qurratul ‘Ain menyerlahkan kearifan berbahasanya dalam menjalin kata-kata indah. Inilah antara kepuasan membaca Momen. Saya menemui personafikasi, metafora dan pilihan kalimat yang segar. Seperti ‘peluh lilin’, ‘gospel peribadi’, ‘seulas kucupan’, ‘bertepung salju’, ‘sabun yang mencuci usia’, ‘kuliah peribadi’, ‘melanggan pertanyaan’, ‘resah bersalju’. Saya boleh katakan semuanya imaginatif, lembut dan romantis.

Demikian, identiti kepenyairan Qurratul ‘Ain yang tersendiri tanpa dipengaruhi penyair terdahulu. Keupayaan menonjolkan bahasa yang baik sangat penting untuk menuntun pembaca mendalami setiap puisi dan beroleh kepuasan. Saya yakin pada masa hadapan beliau akan menguntumkan lebih banyak puisi indah dengan bahasa yang lebih memikat.

Bukanlah sesuatu yang mustahil jika pada masa hadapan Qurratul ‘Ain menulis puisi kritikan politik atau perjuangan masyarakat. Cuma saya agak ragu hal itu akan terjadi kerana Momen adalah semacam bentuk kepenyairan yang akan diteruskannya. Ia terlalu kuat dan meyakinkan untuk ditinggalkan begitu saja.

Mungkin perkembangan lain di sekelilingnya akan memberi kesan terhadap sudut pandangnya nanti tetapi semoga ia masih di jalan yang sama. Ada penyair yang kekal dengan isi dan gaya yang ia percayai untuk membimbit puisinya sepanjang hidup. Kassim Ahmad misalnya terkenal dengan puisi tentang masyarakat dan kritikan politik. Latiff Mohidin menulis tentang alam dan membesarkan hal yang dipandang kecil. Kita nantikan saja bagaimana usia dan waktu memasinkan lagi pengalaman hidup si penyair.

Momen berakhir dengan puisi pendek bertajuk Tiga Pagi:

tigapagi dalam sajakmu

tentu jalannya lengang

hanya terlintas dua kereta

dan sebuah gerai masih menyala

Bagi adik saya yang bukan penggemar puisi, tiada apa yang istimewa pada puisi ini. Mungkin ini gambaran berulang yang penyair nampak sewaktu perjalanan pulang setelah habis kerja syif tengah malam, katanya lagi. Suatu puisi itu sentiasa mempunyai lapisan lain. Seperti kata Rahman Shaari, ada makna tambahan. Bagi saya, puisi ini lambang introspektif penyair yang akan terus berlangsung di sepanjang laluan kepenyairannya. Walaupun Qurratul ‘Ain menutup kumpulan puisinya pada Tiga Pagi tetapi sebenarnya Momen terus terbuka dan berlangsung hingga empat pagi, lima pagi dan seterusnya.