Categories
NASIONAL

Khalid : Umno Sanggup Guna Ulama Ciplak Serang Pakatan

SHAH ALAM, 17 OGOS : Demi hayat politik, Umno-BN sanggup melakukan apa saja termasuk mencipta tokoh agama supaya mengeluarkan fatwa yang mengguntungkan mereka, dakwa pemimpin PAS hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Khalid Samad berkata ini jelas dilihat dengan pemberian RM 2 juta kepada pengasas Pondok Geting di Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah yang melabelkan DAP sebagai parti kafir harbi.

“Abdullah sanggup dipergunakan dan Umno-BN sanggup menggunakan Abdullah biarpun dia sebenarnya bukan bertaraf tok guru atau ulamak.

?Umno-BN sanggup menggunakan ulamak ciplak ini demi segalanya dan dia dibolehkan mengeluarkan segala hukum dan fatwa berkaitan agama.

“Boleh dikatakan Abdulah digunakan Umno-BN untuk mengelirukan rakyat dan wang RM 2 juta disalurkan boleh dianggap sebagai ganjaran,” katanya apabila dihubungi.

Abdullah mengeluarkan kenyataan terhadap DAP dalam satu laporan muka depan akhbar pro-Umno Utusan Malaysia pada 8 Ogos lalu.

Abdullah juga berkata orang Islam diharamkan mengundi DAP kerana mendakwa pemimpinnya menolak hukum hudud dan kerana itu, ia merupakan parti anti-Islam.

Pada 14 Ogos pula, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Abdullah menerusi peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Menurut satu laporan Utusan Online pada Aug 16, peruntukan RM 2 juta tersebut diluluskan oleh JPP berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Khalid mendakwa berdasarkan maklumat yang diperolehi, Abdullah hanya guru agama biasa dan bukan bertaraf tok guru agama atau ulama sepertimana digambarkan media arus perdana.

Maka dengan itu, katanya, ia memberi gambaran jelas bahawa Umno-BN amat terdesak untuk mencari kredibilit agama.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Kelantan dan juga ADUN Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim berkata, masyarakat Kelantan khususnya di Tumpat memang amat mengenali siapa Abdullah.

“Orang Tumpat hanya memanggilnya sebagai Haji Lah Geting dan pengaruhnya juga tidak seberapa dengan kira-kira lima atau enam orang sahaja yang menjadi pengikutnya.

?Beliau digunakan Umno-BN untuk memberi ceramah di Kelantan dan ceramahnya juga tidak mendapat sambutan disebabkan penuh dengan kata cerca nista terhadap pimpinan Kerajaan Negeri.

“Kemungkinan Abdullah menghadapi masalah kewangan dan sanggup menerima bayaran RM2 juta bagi membolehkan dirinya dipergunakan Umno-BN. ?

?Dengan ilmu agama yang tidak seberapa dimilikinya, Umno-BN tetap sanggup menggunakan khidmat Abdullah untuk menyerang parti lawan kerana menyedari isu agama begitu dekat dengan masyarakat Kelantan.

?Bagaimanapun usaha itu menemui kegagalan kerana rakyat Kelantan tahu siapa Abdullah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Guru Pondok Fatwa Haram Undi DAP Terima Sumbangan RM2 juta Dari Umno

SHAH ALAM 17 OGOS: Laporan dan foto pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah sedang menerima sumbangan RM2 juta dari Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang semakin hangat diperkatakan di ruang siber mencetuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap guru agama tersebut.

Beliau yang sebelum ini mengeluarkan fatwa kontroversi, mengharamkan pengundi Islam mengundi DAP itu baru-baru ini didapati menerima sumbangan bagi membiayai perbelanjaan sekolah agama yang diasasnya itu.

Malah, beliau turut menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana semalam, majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Selasa, 14 Ogos iaitu kira-kira hampir seminggu selepas beliau mengeluarkan fatwa kontroversi itu.

Menurut satu laporan Utusan Online semalam, peruntukan RM2 juta tersebut diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Pondok berkenaan dikatakan hanya mempunyai seramai 25 orang pelajar sahaja pada masa ini.

Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang turut dikenali sebagai Chegu Bard hari ini, fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah itu memberi imej buruk kepada agama Islam hari ini.

“Mula-mula dia keluarkan fatwa haram orang Islam sokong DAP, lepas tu umum mengetahui dia terima RM2 juta dari Umno sekali gus memberi tanggapan bahawa guru-guru agama ini boleh digunakan dengan wang,” kata beliau kepada TVS hari ini.

Menurut Chegu Bard, lebih memburukan keadaan apabila fatwa yang dikeluarkan ini didapati boleh mengancam keselamatan dan menghuru-harakan negara.

“Malah, keamanan yang ada boleh terancam kalau umat Islam di Malaysia mengambil serius fatwa yang dikeluarkan, seolah menggambarkan Islam menghalalkan darah ahli DAP.

“Kalau kita kaji era kejatuhan Islam di barat ketika zaman gelap di eropah, keadaan ini jug mampu melemahkan pengaruh Islam sendiri di negara ini,” kata Chegu Bard.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Gesa Majlis Fatwa Tarik Balik Kenyataan Pengasas Pondok Geting

 

SHAH ALAM 16 OGOS : PAS Selangor menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menarik balik kenyataan pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berhubung ‘haram sokong DAP’.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata Majlis Fatwa juga seharusnya mengeluarkan pendirian mereka mengenai kenyataan itu.

Katanya, bagi mengatasi masalah kekeliruan yang dihasilkan oleh golongan yang ingin memutar belitkan ajaran Islam, Majlis Fatwa juga harus mengeluarkan fatwa bagi menyeru umat Islam supaya memilih parti yang perjuangkan Islam.

Beliau berkata ia amat wajar supaya umat Islam menyokong parti yang berpolitik berdasarkan Al-quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

“Kami menganggap kenyataan itu memang atas sebab kepentingan politik bukan fatwa yang mantap.

“Ia tidak bertanggungjawab dan bodoh dan tidak layak diguna pakai oleh mana-mana orang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Negeri Selangor berkata ternyata Umno-BN sudah tidak boleh dijadikan tempat bergantung umat Islam yang cintakan agamanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Sabak Bernam, Sallehan Mukhyi berkata DAP merupakan pertubuhan yang sah yang diizinkan bergerak melalui sistem demokrasi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pelik jika DAP atau mana-mana orang bukan Islam termasuk MCA dan MIC menentang hudud kerana beralasan mereka bukan beragama Islam.

“Tetapi kami pelik jika Umno yang kononnya menjadi parti umat Islam juga menolak hudud,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dr Haron Din : Kafir Harbi Tidak Wujud Selagi Tidak Tertegak Negara Islam

SHAH ALAM 12 OGOS : Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.

“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Categories
NASIONAL

Umno Perlu Perjelas Dasar Bukan Hasut Rakyat, Kata Anwar

PETALING JAYA 9 OGOS : Umno-BN kini memulakan kempen pelampau agama melalui akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa haram dan berdosa menyokong DAP, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Anwar, Umno-BN sepatutnya memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara serta memperjelas dasar masing-masing dan bukannya memainkan sentimen agama dalam menghasut rakyat

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyebut jangan menggunakan agama demi kepentingan politik namun media Umno-BN terus menghebahkan hukuman untuk menyinggung kedudukan PAS.

“Kita memandang berat kempen ini yang dimulakan Umno menggunakan medianya Utusan termasuk menghukum haram dan berdosa untuk menyokong DAP kerana DAP tidak sokong negara Islam dan hudud padahal MCA juga tidak menyokong perkara sama.

“Bahkan Umno sendiri mengikut surat Dr Mahathir (Mohamad) kepada kerajaan Kelantan menolak kemungkinan melaksanakan hudud di Malaysia manakala pada 29 September 2011, Najib memaklumkan hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia selagi beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR.

Utusan semalam melaporkan, haram dan berdosa bagi umat Islam menyokong DAP yang menentang hukum hudud dan negara Islam berdasarkan kenyataan, Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa?amah.

Jelas Anwar lagi, Pakatan Rakyat tetap kekal dengan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Islam kekal sebagai agama rasmi.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, laporan Utusan berkenaan jelas berbentuk hasutan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimpulkan konflik agama di negara ini.

Menurut beliau, satu laporan polis terhadap Utusan dibuat oleh pimpinan DAP di Perak dan Pulau Pinang berhubung perkara berkenaan.

“Isi kandungan (laporan Utusan), DAP menentang perlembagaan khasnya mengenai kedudukan agama Islam. Itu tidak benar. Pendirian kita adalah terima dan hormat peruntukkan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi.

“Pendirian kita tidak berubah Malaysia sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Sebenarnya kedudukan yang dibuat DAP tidak berubah dengan kedudukan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

“Mereka sangat jelas menyatakan bahawa Malaysia mengikut Perlembagaan sebagai sebuah negara sekular tetapi sangat jelas Islam sebagai agama rasmi.

“Ini merupakan langkah terdesak segelintir pemimpin BN yang mungkin akan hilang kuasa. Adakah mereka ingin buat konflik agama di Malaysia? Perdana Menteri perlu minta Utusan hentikan (perkara ini),” ujar beliau.