Categories
NASIONAL

NGO : Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

NGO Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 6 JUN : Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

“Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

“Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

“Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

“Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Semua Kerajaan Pakatan Rakyat Bubar Hari Ini – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 05042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kesemua negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat telah membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Sekaligus mencerminkan kesediaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13.

2. Bekas Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid akan bertanding di kerusi parlimen Lumut sebagai calon PKR pada pilihanraya ke-13 nanti.

3. Asalkan Bukan Umno (ABU) akan menggerakan skuad khas bagi memastikan warga asing yang diberi MyKad tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

4. Keputusan parti yang menempatkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang disambut baik Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

5. Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, William Leong Jee Keen ingin menggesa penubuhan jawatankuasa khas parlimen untuk Petronas adalah bagi kekayaan syarikat petroleum dan gas nasional itu tidak diseleweng Barisan Nasional.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

ABU Halang Warga Asing Mengundi, Dakwa 2 juta Dapat MyKad

PC ABU di HQ PKR 01

KUALA LUMPUR, 5 APR : Asalkan Bukan Umno (ABU) akan menggerakan skuad khas bagi memastikan warga asing yang diberi MyKad tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Skuad Team Abu halang Asing Ngundi (Skuad Tahan) yang telah dilatih sejak dua bulan lalu dan ditempatkan di setiap pusat pengundian mempunyai cara tersendiri bagi mengenalpasti warga asing yang diberikan kad pengenalan.

Jurucakap ABU, Haris Ibrahim menyifatkan kemasukan warga asing ke dalam negara dan diberikan MyKad oleh gagasan Umno-BN sebagai ‘pencerobohan yang disenjatakan melalui pemberian Mykad’.

“Melalui semakan ABU terhadap daftar pemilih, sebanyak 253,000 nama mempunyai kod 71 di tengah nombor kad pengenalan berkenaan.

“Melalui maklumat sumber dalaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebanyak dua juta orang asing diberikan Mykad,” katanya dalam satu sidang media.

Tegas Haris, inisiatif Skuad Tahan ini dilakukan secara aman dan merupakan susulan usaha ABU mengedarkan risalah amaran kepada warga asing untuk tidak keluar ‘mengundi’ pada PRU-13.

Sehingga kini, hampir 400,00 risalah tersebut diedarkan di seluruh negara.

Tambah Haris, ABU akan mempertahankan hak rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin dan menghalang sebarang pencabulan hak daripada warga asing.

Dalam sidang media sama, ABU mengingatkan rakyat Malaysia agar bangkit dan keluar mengundi demi menumbangkan Umno-BN sekaligus membentuk kerajaan rakyat di Putrajaya.

Haris mendakwa, tarikh pembuangan undi bakal ditetapkan pada 11 Mei 2013 sebagai usaha ‘menghidupkan sentimen menakutan rakyat Malaysia’.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini telah meramalkan akan ada keganasan yang bakal berlaku sepanjang tempoh pilihan raya.

Jelas Haris, perkara ini dilihat sebagai cubaan untuk menakutkan rakyat untuk mengundi Umno-BN.

“Mesej ABU, rakyat jangan takut dengan Umno-BN. Rakyat kini tidak mudah ditipu dan boleh mendapatkan maklumat alternatif. Semangat kebangkitan adalah jelas,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Pelancaran ABU Di Johor Bermula Esok

SHAH ALAM, 25 FEB : Kerajaan Umno-BN diingatkan supaya menghormati lunas-lunas demokrasi, tidak mengeksploitasi serta meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, ugutan dan penerapan budaya samseng demi survival politik parti itu.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor), Ahmad Anwar Asyraf berkata, beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang dilancarkan sebelum ini di negeri-negeri lain, telah mencetuskan provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang melacurkan minda anak muda.

Menurutnya, segala ugutan, kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis SAMM dalam berjuang menentang rejim korup yang diamalkan Umno-BN.

“Menjelang program Pelancaran ABU Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini, beberapa aktivis telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang.

Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah,” tegasnya.

Tegasnya, SAMM Johor tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini.

Ini kerana jelasnya, anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

Beliau berkata, Umno-BN seharusnya bertindak mendidik anak muda di negara iniu untuk berpolitik secara matang dan penuh ilmiah sebagai pewaris masa depan negara, dan bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Tambahnya, program yang bakal berlangsung esok akan diadakan di premis persendirian serta merupakan platform terbaik bagi rakyat Johor untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini.

“ABU bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat.

Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim pemerintah,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program bagi mengelakkan insiden sama seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang berulang lagi.

Malahan jelasnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung.

 

Categories
NASIONAL

ABU Bukan Anti Melayu

KOMENTAR 17 FEB : Secara umum, segalanya bermula pada tanggal 9 Disember 2011 apabila negara dikejutkan dengan sidang media serentak di seluruh negara. Sidang media yang membawa kepada pelancaran penting sebuah gerakan inisiatif rakyat – Gerakan ABU diperkenalkan dengan penjenamaan semula pada malam bersejarah 15 Disember 2011 di Taman Melewar.

Asalkan Bukan Umno – sebuah gerakan berani yang tidak lagi berselindung dalam menyatakan pendiriannya betapa regim Umno itu harus ditumbangkan segera demi menyelamatkan negara ini. Rakyat yang punya rasa tanggungjawab wajar menyertai gerakan ABU bagi memastikan tiada ruang lagi buat Umno mengkhianati amanah rakyat dengan merompak khazanah kekayaan negara.

Dari masalah perkauman melampau, ketegangan antara agama membawa ke masalah ekonomi, rasuah serta kelemahan pentadbiran sehingga pembaziran melampau yang mencipta kepayahan hidup sehinggalah kenaikan kos hidup (harga barang) secara mendadak dan melampau. Semuanya ialah kerana Umno yang dicipta penjajah mewarisi negara ini dan lebih – lebih lagi ia sudah terlalu lama berada ditampuk kuasa.

ABU ialah penyatuan kuasa rakyat menentang Umno, menentang penyelewengan yang dilindungi, menentang rasuah yang dihalalkan, bukan untuk menentang mana-mana bangsa apatah lagi kepercayaan agama. ABU adalah trend melawan penindasan.

Menentang Umno bukan bererti menentang melayu, malah orang melayu harus disedarkan bahawa di atas nama ‘melayu’ itu jugalah Umno meneruskan amalan pecah perintah yang diwarisinya dari penjajah untuk terus kekal berkuasa.                                                                                                      

Apakah anda semua mahu terus percaya kononnya Umno perjuang bangsa ketika nasib dan pencapaian melayu hari ini tidak sejauh mana?

Anak melayu menjadi juara rempit di malam minggu, menjadi penghuni majoriti terbesar pusat serenti, kehancuran moral yang memperlihatkan banyak kes pembuangan bayi adalah terdiri dari anak melayu dan terkini, segelintir darinya pula hanyut diperkuda politik sempit Umno yang tergamak mengupah RM30 untuk menjadi samseng pengganggu majlis. Ini fakta, hakikat, hasil keputusan yang perlu ditelan walau pahit.

Memasuki 55 tahun kemerdekaan, orang melayu kian ramai menghabiskan sisa hidup di perkarangan rumah pangsa, kejiranan yang kurang meyakinkan dengan kesesakkan tidak terkawal, hidup semakin melarat tanpa simpanan tetap (saving) yang menjurus kepada tekanan hidup. Segelintir yang kaya raya menunjuk-nunjuk aksi pembaziran di atas jurang kaya-miskin yang melebar, seterusnya mereka yang tidak berkemampuan cuba mengejar untuk bersaing mengecapi sedikit keselesaan lantas menghasilkan hutang yang tidak berpenghujung.

Diburukkan lagi dengan kenaikkan harga barang tidak terkawal, semakin bulan semakin bertambah defesit perbelanjaan bulanan. Ini semua berkadar terus melonjak tekanan hidup, namun kebanyakkan dari kita hanya redho dalam pasrah dengan sifir syukur ada Umno. Sebaliknya tidak kita sedar kesakitan ditanggung rakyat negara ini jauh lebih perit dari kekejaman rejim Khmer Rouge Pol Pot yang membunuh rakyatnya secara pantas. Kerana dipercayai ‘dibunuh secara perlahan’ itu jauh lebih ‘sakit’ selain merosakkan nilai modal insan (menjadi hamba duit).

Itulah nasib melayu. Tanahnya tergadai, pulaunya dipunggai, perigi minyak pula diserah kepada orang, rezab melayu telah hilang separuh atas nama pembangunan namun tidak diganti. Kampung Bharu legenda kampung terakhir melayu di tengah ibu kota pula dalam proses hilang hak jatidiri. Menteri-menteri Umno yang berbangsa melayu dan juga yang mengaku melayu pula telah membenarkan seluruh kabinet kerajaan Umno ditipu berbelas bilion, hanya kerana ditipu itu ‘tidak salah’ di sisi undang-undang. Ia cuma kelemahan pentadbiran, yang bakal berterusan selagi Umno berkuasa. Jangan dilupa doktor gigi berumah rasuah RM24juta sedang dalam rayuan untuk dilepaskan dan juga nasib menteri yang disahkan seleweng sedang dalam percutian.

Bagaimana dengan isu komisyen separuh bilion pembelian kapal selam? Bila berlaku di kalangan rakyat itu disebut rasuah, tetapi bila berlaku di kalangan mereka yang kebal undang-undang, itu dinamakan komisyen, dinamakan salah tadbir dan bermacam kaedah untuk terus saling melindungi. Maka hadir slogan Hidup Melayu, selamatlah negara…
dirompak!

Masihkah anda rasa Umno perjuang bangsa? Atau petualang bangsa? Jika anda percaya Umno bukan perjuang melayu, maka sudah tiba masanya untuk anda tampil bersama dalam gerakan ABU tanpa meletakkan sentimen bangsa di depan sepertimana ‘doktrin’ separuh abad Umno legasi penjajah. Gerakan kesedaran ABU adalah gerakan anda, gerakan rakyat. Bukan soal bangsa!

ABU juga adalah sentimen kesedaran rakyat yang ingin melihat Umno tumbang kerana keangkuhan mereka di puncak kuasa ketika tahap kepedulikan terhadap rakyat hanya bersifat retorik khususnya apabila tiba musim pilihanraya. Retorik rasuah pilihanraya harus segera ditolak dengan menjadikan maklumat sebagai hadaman dalam membuat penilaian.

Justeru itu, gerakan ABU diteruskan dengan siri jelajah pentas ABU fasa seterusnya ke setiap pelusuk negara di parlimen terpilih.

Telah dimaklum bahawa gerakan ABU tidak mempunyai struktur dan dikenalpasti sebagai ‘leaderless movement’ namun untuk tujuan kelancaran aktiviti, SAMM terpanggil sebagai antara penggerak utama atas kesedaran gerakan ABU bukan milik SAMM.

Melepasi fasa ‘pemanas badan’ dalam beberapa aktiviti pengedaran risalah dan DVD kesedaran, forum serta program pelancaran ABU di beberapa negeri, roadshow ABU kini berada di landasan pecutan berkadar terus dengan usaha Umno yang cuba menutup saki-baki ruang demokrasi untuk tujuan penerangan khususnya ke ceruk ‘kubu kuat’ yang tak bermaklumat.

Melihat sentimen ABU sebagai satu ancaman besar kepada survival Umno, mengakibatkan program ceramah sebelum ini di Jalan Kebun dan Kuala Sawah diganggu oleh   samseng upahan bagi mengepung maklumat kesedaran. Namun ia tidak sesekali menggagalkan aspirasi gerakan ABU untuk terus menyampai maklumat dalam siri ceramah yang kini disusun lebih rapi.

Harus diingat, ruang demokrasi yang sedikit ini, iaitu siri jelajah penerangan akan tetap dipertahankan dan rakyat yang dahaga maklumat juga harus menjadi lebih berani menuntut hak untuk mendapat maklumat selain meraikan demokrasi. Rakyat perlu berani untuk sekurang-kurangnya mencari bait-bait kebenaran yang acap kali dinafikan ke saluran media perdana. Ini sahajalah saluran yang kita ada – ceramah rakyat, pidato rakyat di pentas ABU!

Ruang sedikit demokrasi yang kita ada, berbentuk ceramah rakyat, adalah milik mutlak rakyat dan wajib dipertahan. Turunlah dan hadam maklumat, mengapa ‘Asalkan Bukan Umno’! Turun dengan berani!

Nah, di bawah ini jadual roadshow untuk anda tunjukkan keberanian, keberanian bukan untuk berkelahi, tetapi keberanian untuk mendapatkan kebenaran.

(Penulis adalah Pengarah Media SAMM dan nukilan ini adalah pandangan peribadi penulis)

Categories
SELANGOR

Chegu Bad: ABU Wakili Harapan, Sentimen Rakyat

SHAH ALAM, 28 JAN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bad) menegaskan ABU (Asal Bukan Umno) bukan sebuah organisasi mahupun pertubuhan bukan kerajaan, sebaliknya mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan masalah negara yang berpunca daripada parti Umno-Barisan Nasional (BN).

Chegu Bard dalam kenyataan terbukanya menjelaskan, sentimen ABU mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya diporpularkan oleh Hishamuddin Rais menerusi blog Tukar Tiubnya.

Namun menurutnya, sejak beberapa bulan lepas, beberapa organisasi seperti SAMM, mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendiri telah bergabung dan bersetuju untuk menghidupkan kempen ABU bagi menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno-BN khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Belia berkata, kempen ini akan menggariskan tiga tumpuan mengapa rakyat perlu menolak Umno, antaranya isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat, selain isu keadilan asas dan sistem perundangan negara.

“Isu Lynas turut diangkat kerana ia menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sehingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Selain itu, isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal. Kesemua isu ini diangkat kerana ia mudah difahami oleh rakyat dan bersifat fundimental untuk dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan,” jelasnya.

Tambah Chegu Bard, ABU juga tidak akan mempunyai struktur, tetapi hanya penggerak terdiri daripada organisasi atau individu sekutu yang bersama-sama dengan sentimen ABU.

Ujarnya, ABU tidak memiliki ketua, tiada hak cipta serta sesiapa sahaja bebas bergerak ke atas ABU.

“Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU, kami tidak berminat dengan apa yang terjadi dalam mana-mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat.

Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana-mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, dokongan SAMM terhadap ABU bukan hanya ‘cek kosong’ kepada yang melawan Umno, tetapi berdasarkan prinsip.

“ABU ialah milik rakyat, bukan cerita siapa nak jadi wakil rakyat tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menifestasi dalam PRU akan datang dan Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Program berimej ABU juga akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Polis Nafi Terbabit Dalam Serangan Ceramah Abu-Hindraf

SHAH ALAM 25 JAN : Polis hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan dan bersengkongkol dengan perusuh di ceramah ABU-Hindraf Sabtu lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Zahedi Ayob berkata pihaknya tidak dimaklumkan oleh penganjur tentang ceramah tersebut dan hanya mengetahui kewujudan acara tersebut selepas kekecohan antara penduduk setempat dengan peserta ceramah berlaku.

Walaubagaimana pun, Zahedi menjelaskan pihaknya berjaya menahan sekurang-kurangnya enam individu lingkungan antara 17 ke 20 tahun yang didakwa terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 148, Kanun Keseksaan (Kesalahan Merusuh).

“Saya ingin ingatkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan ke atas kedua-dua belah pihak sekirannya didapati melakukan kesalahan.

“Kita juga ingin menafikan bahawa pihak polis terlibat dan bersubahat seperti yang dikatakan oleh mereka yang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam hari ini.

Ceramah umum gerakan ABU-Hindraf (Asalkan Bukan Umno-Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) yang berlangsung di Dewan MBSA, seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Penganjur ceramah mendakwa samseng itu dipercayai penyokong tegar Umno dan bertindak ganas terhadap peserta India di ceramah itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Dewan Penyokong PAS cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Sementara itu, seorang pengerak ABU Badrul Hisham Shaharin, mendakwa salah seorang dari kumpulan perusuh itu adalah pegawai polis yang tidak berpakaian seragam selain mengesyaki polis bersubahat dengan kumpulan penyerang terbabit.

Sebuah portal berita melaporkan Badrul Hisham membuat dakwaan tersebut di dalam satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Selain memorandum, Badrul Hisham mengemukakan bukti rakaman video serangan malam kejadian dan gambar penyerang yang dikenal pasti.

Categories
NASIONAL

Samseng Umno Terbabit Serang Ceramah ABU-Hindraf

KUALA LUMPUR, 24 JAN : Kumpulan Aktivis ABU (Asal Bukan Umno) dan Hindraf hari ini tampil membuat laporan polis berhubung serangan ganas terhadap orang ramai pada satu ceramah di Jalan Kebun baru-baru ini.

Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata serangan tersebut dipercayai didalangi oleh Umno selain mengesyaki terdapat anggota polis bersekongkol dalam serangan tersebut.

Badrul menambah, pihaknya akan menyerahkan salinan gambar, CD rakaman video insiden itu untuk disiasat pihak polis berhubung campur tangan dan kerja jahat penyokong Umno dalam kejadian tersebut.

“Serangan tersebut secara jelas dilihat oleh pagawai polis tidak berpakaian serangam dan apabila polis berpakaian seragam datang, pihak kita menunjukkan orang-orang yang terlibat menyerang, malanganya langsung tidak ada apa-apa tindakan yang diambil.

“Malah dalam laporan ini, kita menamakan beberapa pimpinan Umno tempatan termasuk diperingkat bahagian yang dikenal pasti oleh penduduk tempatan hadir pada malam tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun,Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Badrul menambah, sekiranya benar ianya didalangi Umno, maka parti itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan bersifat perkauman itu.

Sementara itu, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan berkata pihak polis tidak memainkan peranan ketika serangan tersebut berlaku sekaligus memperlihatkan peranan pihak berkuasa itu seolah-olah seperti bersekongkol dengan penjenayah.

“Polis tidak memainkan peranan sedangkan mereka ada dikawasan kejadian, Sekirannya polis tahu kebarangkalian akan berlakunya kekacauan, polis seharusnya menggembeling seluruh kekuatan polis yang ada disitu untuk menghindar serangan.

“Serangan ini terlalu jelas dan kita berpendapat bahawa pihak polis bersengkongkol dengan pihak yang menyerang, lebih memalangkan lagi polis berjaya datang selepas kejadian serangan,”katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan yang sama, Koordinator Kebangsaan Hindraf, W.Sambulinggam menzahirkan rasa kesal diatas provokasi dan serangan keras disetiap kali gerakan itu melakukan aktiviti.

Lebih memalangkan lagi, Sambulinggam berkata bukan sahaja pihaknya menerima provokasi malah mereka juga akan dituduh sebagai punca berlakunya kekacauan.

“Perkara ini telah membuka mata rakyat untuk melihat siapa sebenarnya punca kekacauan disetiap kali penganjuran program secara aman.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Hindraf sememangnya kenal akan kaum Melayu dan mereka yang beragama Islam, kami tidak bermusuh dengan mereka, sebaliknya kami hanya tidak bersetuju dengan sebuah parti politik yang digelar sebagai ‘UMNO’,”jelas Sambulinggam.

Hindraf Sertai Gerakan ABU

KUALA LUMPUR, 18 JAN : Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) hari ini menyatakan secara rasmi penyertaannya dalam Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU).

Koordinator Kebangsaan Hindraf, W. Sambulingam menyatakan pendirian Hindraf sejak awal penubuhannya bahawa Umno/BN seharusnya berkubur demi membawa pentadbiran negara yang lebih telus.

Sambulingam turut berpendapat bahawa untuk menjatuhkan Umno/BN, ABU memerlukan kuasa -kuasa lain seperti yang berlaku sewaktu Pilihanraya Umum 2008 lepas.

“Kami mahu menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat untuk menyingkirkan Umno dan kami yakin dengan penggabungan ini, kita akan berjaya tawan Putrajaya dalam pilihanraya kali ini.

“Kami juga percaya bahawa ini akan membawa perubahan dalam skala besar untuk Malaysia,” ujar Sambulingam dalam satu sidang media di Jalan Klang Lama pagi tadi.

Sementara itu, orang kuat ABU, Haris Ibrahim menyatakan rasa gembira dengan penyertaan Hindraf dalam ABU dan percaya penyertaan badan-badan pertubuhan pro-rakyat akan menguatkan ABU.

“Kami merasa gembira Hindraf menyertai ABU dan ia berada dalam landasan yang sangat menggalakkan untuk menjayakan gerakan ABU. Walaupun terdapat perbezaan namun kami bersedia berbincang untuk menjayakan hasrat kami menghapuskan Umno yang merupakan kanser negara.

“Usaha ini juga akan berjaya sekiranya rayat Malaysia semuanya bersatu menolak Umno. Cabaran paling besar adalah untuk membawa kebenaran kepada orang ramai, yang kebiasaanya disuap maklumat fitnah dan pembohongan oleh media arus perdana,” tegas Haris.

ABU ketika ini sudah merangka gelombang pertama dengan penganjuran 11 siri jelajah ABU ke seluruh negara bermula di negeri Selangor diikuti oleh Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Sebelum ini ABU sudah mengedar lebih kurang 200,000 ribu salinan VCD DNBN Kuburkan BN yang berdurasi selama 1 jam dan 40 minit, sebuah dokumentari penipuan Umno selama lebih 50 tahun pemerintahan.