Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Dua pelajar UiTM antara 10 terbaik dunia peperiksaan ACCA, CAT

SHAH ALAM, 5 FEB: Dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan  Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lepas.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua pelajar berkenaan adalah Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.

Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam kenyataan sama, Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Haslinda Yusoff berkata kedua-dua pelajar tersebut amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran ditambah suasana pembelajaran yang positif.

“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM merupakan kombinasi dalam kejayaan pelajar.

“Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan bumiputera dalam bidang perakauan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan bumiputera terbaik di dunia,” katanya.

Haslinda berkata kedua-dua pelajar berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.

UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

– BERNAMA

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar Malaysia cemerlang peperiksaan ACCA

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Kementerian Pendidikan mengucapkan tahniah kepada seorang pelajar Malaysia yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan ​​​​Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Sesi Jun 2018 baru-baru ini.

Pelajar IPAC Education Shah Alam, Selangor, Ahmad Fauzee M Hassan memperoleh skor 96 peratus iaitu yang tertinggi di dunia dan cemerlang keseluruhan bagi subjek Laporan Kewangan (F7) dalam peperiksaan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kejayaan Ahmad Fauzee amat membanggakan kerana peperiksaan ACCA bukan sesuatu yang mudah.

“Justeru, kejayaan beliau patut dijadikan panduan dan pendorong kepada pelajar bidang perakaunan yang lain, ” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peperiksaan ACCA diteruskan ikut jadual 4 – 8 Sept

PUTRAJAYA 2 SEPT: Peperiksaan Bertulis The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) bermula 4 hingga 8 September ini diteruskan mengikut jadual sedia ada, kata Kementerian Pendidikan.

Sehubungan itu, semua calon dikehendaki hadir ke pusat peperiksaan mengikut kertas didaftarkan bagi menduduki peperiksaan itu mulai Isnin ini.

“Ia membabitkan 35 pusat peperiksaan dan 21,706 calon di 13 negeri.

“Peperiksaan ACCA dilaksanakan serentak di seluruh dunia di lima zon masa berbeza, yang mana Malaysia berada di zon masa keempat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Isnin ini sebagai cuti umum sempena kejayaan Malaysia dalam temasya Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

=EZY=