Categories
SELANGOR

700 penduduk terima bantuan pakaian seragam sekolah MBI

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 1 JAN: Seramai 700 penduduk sekitar Bangi, menerima sumbangan pakaian sekolah dari Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor), dalam Program mini karnival ADAB Youth Garage (AYG), di sini.

Koordinator penyelaras AYG, Mohd Nizam Shamsuddin berkata, penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengurus CSR MBI, Jaffaruddin Mohd Ali al Hafiz bersama Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi Institut Darul Ehsan (IDE), Sharipuddin Muis.

Terdahulu, program dimulakan dengan pengisian pelbagai aktiviti bermanfaat seperti acara ‘street soccer, pertandingan mewarna dan melukis graviti yang disertai oleh anak- anak muda sekitar Bangi.

Mohd Nizam berkata, terdapat juga Bengkel Mewarna bersama Uncle Uneh Raja Pensel Warna.

“Turut diadakan ceramah bertajuk ‘Bahaya Teknologi untuk Anak-anak’ yang disampaikan Prof Madya Dr Nor Izura Uzir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada ibu bapa,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam program itu, seramai 500 hadir terdiri dari ibu bapa, anak-anak dan masyarakat sekitar serta penggerak mahasiswa AYG.

AYG adalah projek ‘one stop centre’ untuk belia dan anak-anak muda bermodul dan dibimbing mahasiswa sekitar yang digerakkan MBI Selangor dan IDE.