Categories
NASIONAL

Mahkamah ganti hukuman penjara, denda Adam Adli RM5,000

SHAH ALAM, 18 FEB : Aktivis, Adam Adli Abdul Halim terlepas hukuman penjara 12 bulan atas sabitan kesalahan hasutan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan mengenakan denda sebanyak RM5,000.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menerusi laman twitternya, berkata keputusan berkenaan diputtuskan setelah hakim mendapati tiada reaksi negatif disebabkan ucapan Adam Adli.Tian Tweet

Adam Adli disabitkan kesalahan hasutan kerana menuntut perubahan dalam kerajaan melalui cara yang tidak demokratik dalam ucapannya pada 2013.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adam Adli Didakwa Di Bawah Akta Hasutan

adam adli screen grab 01

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, 24, mengaku tidak bersalah selepas dituduh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur kerana menghasut di dalam sebuah ucapannya pada forum Pidato Rakyat 13 Mei lepas.

Adam Adli didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 ekoran ucapannya pada malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksima selama tiga tahun, atau didenda RM 5,000 atau kedua duanya sekali.

Hakim Norsharidah Awang, membenarkan Adam Adli dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM 5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Julai 2013 untuk sebutan kes.

Dalam penghujahan peguam belanya N Surendran, Adam sepatutnya dibebaskan tanpa ikat jamin memandangkan beliau adalah seorang pelajar manakala bapanya adalah bekas pesara kerajaan.

Menurut Surendran, sebagai anak muda yang lantang menyuarakan suara rakyat, dakwaan yang dikenakan terhadap beliau perlu dibatalkan kerana tidak mempunyai asas.

“Dakwaan telah dibuat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Kita beritahu mahkamah ini merupakan dakwaan yang tidak mempunyai sebarang asas langsung.

“Bekas Hakim Mahkamah Rayuan (Datuk Mohd Noor Abdullah) yang mengeluarkan kenyataan memecahkan perkauman tidak ada tindakan yang diambil.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kata Akta Hasutan ini dimansuhkan tapi ianya masih digunakan Akta Hasutan yang zalim dan jahat.

“Jadi kita tolak salah guna kuasa seperti ini dan kita akan failkan permohonan membatalkan dakwaan ini di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Selain N Surendran, Adam Adli turut diwakili empat peguam lain iaitu Datuk S Ambiga, Michelle Yesudass, Muhammad Afiq M Noor dan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Sementara itu, Ambiga melontarkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara mengapa menjadikan Adam Adli sebagai sasaran semata-mata.

“Kenapa sengaja mensasarkan Adam Adli sedangkan orang lain telah membuat kenyataan lebih parah tetapi dilepaskan dan tidak disiasat.

“Ini adalah dakwaan terpilih dan penyalahgunaan sistem mahkamah.
Untuk menggunakan undang-undang, seharusnya dilaksanakan sama rata.

“Akta Hasutan seharusnya dimansuhkan dan tiada sesiapa pun patut didakwa dibawah akta ini,” jelasnya lagi.

Adam Adli meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar jam 11.40 pagi selepas bayaran ikat jamin dibuat sambil diiringi hampir 50 orang penyokong beliau.

Sebelum ini, Adam ditahan reman selama lima hari sejak 18 Mei lalu selepas ditangkap berhubung kenyataan beliau yang dibuat semasa forum selepas pilihan raya itu yang dianjurkan Suara Anak Muda Malaysia (SAMM).

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Sambut Baik Gagasan Anak Muda, Tetapi Minta Penambahbaikan

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 02

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Dua gerakan mahasiswa hari ini menyambut baik Lima Gagasan Anak Muda atau disebut sebagai Dokumen Merah yang dilancarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu.

Menurut Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, gagasan tersebut dilihat turut menyentuh ekonomi makro dan mikro golongan anak muda.

“Contohnya, cadangan teksi motor pelancongan, mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi peluang kepada orang-orang yang tercicir dari sistem untuk dapat peluang perkerjaan,” ujar beliau dalam Majlis Diskusi Gagasan Anak Muda petang tadi.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 01Antara perkara yang dijangka menarik perhatian anak muda dalam gagasan itu termasuk caruman takaful anak muda bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah yang melibatkan 6.5 juta golongan muda seluruh negara.

Gagasan itu juga menawarkan tabung masa depan anak muda dan tabung pemberhentian kerja yang memberikan elaun RM 500 sebulan dalam tempoh tertentu sehingga mendapat perkerjaan.

AMK turut meletakan sasaran untuk melancarkan ‘teksi motor pelancongan’ bagi membuka peluang pekerjaan untuk anak muda menganggur sekiranya PR menang dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang, gagasan itu patut memasukkan jaminan membebaskan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari cengkaman badan politik.

“Bukan mahasiswa sahaja, tetapi saya kira semua warga IPT mahu universiti atau kolej mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Tidak dipengaruhi kuasa politik tidak kira dari BN atau PR termasuklah dalam melantik jawatan tertinggi seperti naib canselor,” kata Safwan.

Majlis yang diadakan di dalam suasana agak santai itu dihadiri Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 03Shamsul Iskandar berkata gagasan tersebut merupakan sebahagian dari manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat (PR).

“Saya juga nak tekankan gagasan ini yang kita akan serapkan dalam manifesto PR yang akan dilancarkan pada 25 Febuari ini.

“Kita bimbang mungkin ada yang menganggapnya satu retorik politik, jadi kita nak tegaskan ianya boleh dan akan dilaksanakan,” kata Shamsul.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa wakil mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Klang.

Gagasan itu menyentuh lima isu utama iaitu pemberdayaan pendidikan anak muda, kualiti hidup anak muda, kesaksamaan politik dan demokrasi anak muda, perumahan startegik anak muda dan merakyatkan kebudayaan dan sukan anak muda.