Categories
BUDAYA RENCANA

Bonda alam

Oleh Adam Taufiq Suharto

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Matahari terik. Tanah kering. Berita mula melapor kemarau berpanjangan. Suhu terus membahang. Dengan tiba-tiba, sebuah hutan terbakar, dijilat bara. Dengan tidak tiba-tiba juga, anak-anak orang asal lari bergelimpangan, meninggalkan hutan. Burung-burung berterbangan. Kera-kera bertempiaran.

Sekarang, bayangkan muncul sebuah teks (dengan perlahan-lahan) dihadapan babak hutan terbakar tadi: Sayangi Bonda Alam, sebelum anda disumpahnya. Anda mampu mengubahnya.

Seterusnya, bayangkan perlahan-lahan teks itu mengabur lalu menghilang. Pandangan anda (yakni visual) menjadi gelap.

Dengan mengejut lagi mengejutkan, seseorang menjerit: “Cut!”. Dia rupa-rupanya adalah pengarah bagi produksi pesanan khidmat masyarakat (PSA) tentang pencemaran alam itu.

Kru-kru mula menyimbah air kearah bara yang membakar hutan. Kru-kru teknikal segera mengalihkan kamera Sony A7S III, jentera perakam digunakan syarikat-syarikat produksi iklan komersial dewasa ini. Di sebelah monitor, ada sebuah papan cerita (story board) yang terlakar setiap syot; dari tanah kering, hutan terbakar, binatang bertempiaran, anak-anak orang asli berlarian. Semuanya lengkap.

Sang Pengarah yang dari tadi asyik menghisap-hembus curutnya bangun dan melihat setiap kotak bingkai pada papan cerita. Dari kerusi yang tertulis perkataan ‘Director’, Sang Pengarah bangun sambil bercakap dengan kliennya via telefon pintar.

PENGARAH: (kerut dahi) Ya encik…ya…yang babak-bakar tu akan nampak realistik, percayalah, saya ni lulusan Amerika Syarikat. Jangan risau. Apa? Gajah? Tak boleh encik. Gajah mahal. Encik nak yang mahal-mahal, bayar murah-murah, mana boleh… (terdiam seketika). Nanti saya tengok macam mana. (diam seketika) Okay. Kami akan hantar rough-cut esok.

Curutnya habis. Dia buang saja ke tanah. Sang Pengarah berjalan ke arah papan cerita. Tertulis tajuk: Video Pesanan Khidmat Masyarakat: Kempen Sayangi Bonda Alam. Dia bercakap dengan pengarah seni yang mata berpinar-pinar tak tidur semalaman.

PENGARAH: Kau dapat tak gajah? Klien nak gajah. Gajah murah-murah sudah.

PENGARAH SENI: Mana nak dapat, bang. Gajah pun dah tak banyak sekarang.

PENGARAH: Tak dapat? Belum cari lagi dah tak dapat? Okay. Kalau macam tu, kau yang jadi gajah! Lepas ni…(tak habis bercakap)

Angin tiba-tiba menguat. Bila Sang Pengarah pandang ke arah awan, dia terlihat awan gelap bergumpalan. Kilat sambar menyambar. Payung-payung berterbangan. Kerusi yang tertulis perkataan ‘Director’ juga melayang. Semua berlari bergelimpangan. Petir menyambar hutan, terbakar, dijilat bara.

Ada batang-batang pokok yang jatuh menghempas kru-kru teknikal termasuk kamera Sony A7S III. Sang Pengarah terus berlari. Bunyi guruh makin menggerun.

Tanah dengan tiba-tiba bergegar, terbelah-belah. Gempa itu menyebabkan Sang Pengarah tak dapat berlari, terjatuh. Kilat menyambarnya.

Dia terkejut dan kaget apabila separuh tubuhnya sudah berada di dalam tanah ala-ala babak Salleh Kamil yang tertanam separuh tubuh dalam filem Isi Neraka (1960). Dia terdiam, kemudian perlahan-lahan menjerit sendiri dan berdialog.

PENGARAH: (menjerit dan memandang ke arah langit dengan marah) Hoi Alam! Hoi!!! Berani kau kacau penggambaran aku?! Berani kau ya?! Baik! Aku nak tengok! Aku nak tengok besar mana kuasa kau, Alam! Tunjukkan kuasa kau, Alam!!!! Tunjukanlah!

Guruh berdentum lebih kuat. Bumi bergegar. Api marak keliling Sang Pengarah. Dia jadi cemas, menggelupur.

PENGARAH: (merayu) Alam! Aku minta maaf, Alam! Aku minta maaf! Aduh, Alam!!!!

Kilat menyambar lagi dan seterusnya menyambar ke arah Sang Pengarah. Setelah itu, bunyi guruh perlahan-lahan menghilang. Langit perlahan-perlahan menjadi cerah, matahari bersinar.

Sang Pengarah yang terperakap separuh tubuh di tanah tadi telah bertukar atau disumpah menjadi sebatang pohon kecil. Keadaan kembali aman, dan langit mulai cerah.

Visual perlahan-lahan menggelap.

Secara perlahan-lahan muncul teks: Sayangi Bonda Alam, sebelum anda disumpahnya. Sekali lagi, anda boleh mengubahnya.

Secara tiba tiba seseorang menjerit:

“…and Cut!

Skrin menjadi gelap. Tamat.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Bayi humanoid

Oleh Adam Taufiq Suharto

Ilustrasi Matarojit

PADA masa hadapan, manusia sudah tidak dapat hamil lagi. Saintis sendiri terus mencari-mencari apakah punca kepada masalah ini. Sama ada ia sumpahan Tuhan atau dek kerana kecuaian manusia sendiri. Sadisnya, saintis diminta mengetepikan dahulu pencarian punca dan penawar itu. Sebaliknya, para pemimpin dunia menggesa mereka mencari jalan lain kerana manusia sudah terdesak untuk membelai anak. Maka, para saintis lebih giat dan gian mencari formula untuk ‘mencipta’ bayi humanoid yang menyerupai 95.7 peratus manusia. Syarikat-syarikat sains dan teknologi lebih gian melabur dalam projek mencipta ‘bayi-bayi’ humanoid yang kemudiannya boleh dipasar dan didagangkan kepada mereka yang ‘hauskan’ belaian kasih kepada anak-anak berbanding melabur lebih untuk mengkaji punca dan mencari penawar kepada fenomena manusia tidak boleh hamil dan menghamilkan.

Melaui projek ini, pasangan yang baru berkahwin boleh membeli ‘bayi-bayi’ humanoid mereka sembilan bulan sebelum bayi-bayi humanoid tersebut diserahkan kepada ibu bapa yang membeli. Ini istimewa kerana mereka boleh memilih jantina yang diingini tetapi tidak boleh memilih rupa dan keturunan. Dikhabarkan pengedaran bayi-bayi humanoid ini sangat laku di Asia terutama negara-negara yang dihuni masyarakat konservatif yang hidup-matinya mesti berkeluarga. Majlis Bangsa-Bangsa Bersekutu menggesa pejabat-pejabat pendaftaran di seluruh pelosok dunia membenarkan bayi-bayi humanoid ini di-‘bin’ dan di-‘binti’ dengan nama bapa-bapa yang membeli mereka walaupun para ilmuwan terus melawan desakan ini.

Harga beli bayi-bayi humanoid ini terlalu mahal. Oleh itu, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selain perlu mengambil kira keperluan material untuk membeli rumah, sofa, perabot dapur, kereta, mereka juga perlu menyediakan wang untuk tujuan membeli ‘zuriat’ ini. Laporan-laporan Majlis Bangsa-Bangsa Bersekutu mendapati satu daripada tiga ibu mentua akan memastikan menantu lelaki mereka mampu membeli zuriat mereka daripada projek bayi humanoid.

Diberitakan individu pertama yang membuat pembelian bayi humanoid ini adalah manusia terkaya di dunia, Jepp Bersos, yang kemudian membawa bayi humanoidnya ke angkasa seawal usia tiga bulan untuk menjadikan zuriatnya sebagai manusia termuda ke angkasa lepas. Negara-negara membangun dan negara kurang membangun adalah yang paling lewat memiliki bayi humanoid sebagai zuriat mereka, Ini kerana masing-masing menunggu Rancangan Subsidi Pembelian Anak daripada pemerintah yang resamnya ibarat menunggu musang berjanggut.

Seorang Presiden negara membangun adalah antara orang pertama yang memperoleh anak menerusi pembelian bayi humanoid. Dikhabarkan dalam tempoh beberapa bulan, beliau telah membeli lebih sepuluh orang bayi humanoid. Namun, kontroversi melanda dalam tempoh itu. Media terus berteka-teki kerana mendapati sembilan orang anaknya yang tidak lagi kelihatan. Akhirnya selepas siasatan dibuat, polis negara tersebut mengesahkan sembilan orang anaknya tadi telah habis dibunuh oleh Presiden yang disyaki tidak tahan melayan kerenah anak-anak humanoidnya. Dalam satu kenyataan, Presiden itu mengatakan, “Saya yang beli anak-anak itu dengan duit saya. Suka hati sayalah saya nak buat apa!”

Beberapa hari kemudian satu protes jalanan berlaku, rakyat melepaskan kemarahan, “Sembilan orang anak yang dibunuh Presiden itu boleh membahagiakan sembilan pasangan marhaen yang murung kerana ketidakmampuan membeli anak. Tambah teruk lagi, sembilan orang itu dibeli dengan duit rakyat! Kami tuntut hak kami!” Setelah digulingkan, dek kerana tak punya harta lagi, Presiden tersebut menjual anak humanoidnya kepada salah seorang jutawan di negara itu.

Setelah 18 tahun sejak projek bayi-bayi humanoid diperkenalkan, masih tidak ada walau seorang saintis pun dapat mengeluarkan sebarang jawapan tentang mengapa manusia tidak lagi dapat hamil dan menghamilkan. Bayi-bayi humanoid terus membesar. Dikhabarkan di salah sebuah negara Asia, seorang remaja yang merupakan produk bayi humanoid, telah mendapat perhatian media kerana menyerang ibu bapanya yang disebutnya sebagai ‘rejim’ dan ‘diktator’.

Remaja humanoid itu menegaskan dalam satu sidang media, “Pada satu pagi yang hening, ayah menghalang saya daripada bertemu dengan teman wanita yang saya cintai. Katanya, perempuan itu tidak sama darjat dengan saya. Selain itu, ‘diktator’ itu memarahi saya kerana berkeras untuk belajar kesenian berbanding akaun.”

Seorang wartawan (dari kalangan manusia biasa) kehairanan, “Takkan kerana itu sahaja saudara bertindak menetak tangan ayah saudara sendiri?”

Remaja humanoid itu menangis dan menjawab, “Saudara-saudara bayangkan, lelaki yang selama 18 tahun saya panggil ayah itu berkata kepada saya: Aku beli kau mahal-mahal, sekarang kau nak melawan cakap aku! Tahukah kau nyawa kau di bawah tapak kaki aku?”

Remaja humanoid itu terdiam sebentar seraya berkata lagi, “Apakah saya dianggapnya sebagai seorang anak atau hamba sahaya? Apakah nilai saya sebagai anak dinilaikan dengan wang sahaja bukan sebagai manusia? Apakah hanya kerana kami merupakan komposisi robot, sisa genetik haiwan dan mayat manusia, kami tidak berhak memiliki pilihan hidup sendiri, dikasihi dan disantuni? Seluruh tubuh kami sama sahaja seperti manusia-manusia biasa. Kami juga punyai perasaan dan ber-Tuhan seperti kalian!”

Sidang media itu dikejutkan apabila remaja lelaki humanoid itu membuat pengakuan, bahawa teman wanitanya, yang juga merupakan humanoid telah hamil tiga bulan. Remaja humanoid dan teman wanitanya dibawa ke makmal di Republik Hamerika untuk ujikaji. Akhirnya saintis Hamerika membuat satu dapatan bahawa projek manusia humanoid benar-benar berjaya dan mereka sudah memiliki kemampuan lebih daripada manusia biasa yakni: hamil dan menghamilkan. Saintis meramalkan manusia normal Bani Adam akan pupus dan dunia diambil alih oleh manusia-manusia baru hasil projek bayi humanoid.

Presiden Kluster Kesihatan, Majlis Bangsa Bangsa Bersekutu dalam ucapannya dengan penuh emosional mengatakan, “Maka jika dahulu kita semua berprasangka dengan para saintis yang seolah-olah sengaja tidak mencari jalan supaya manusia biasa (atau homo sapien) dapat hamil semula, kita sebenarnya silap. Hakikatnya, jawapannya ada pada manusia-manusia humanoid yang dicipta saintis yang akan memberikan zuriat dan meneruskan kerja-kerja kita yang belum selesai sebagai khalifah di muka bumi.”

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Realiti palsu dalam pandemik

Oleh Adam Taufiq Suharto 

Ilustrasi Matarojit

‘Dunia ini pentas, dan manusia adalah para pelakonnya.’ 

TERNYATA, kata-kata Shakespeare itulah yang dibuat sandaran dan tiang seri buat filem The Truman Show untuk membongkar dan menyedarkan kita selaku penonton bahawa Truman (lakonan Jim Carrey) sedang menjadi pemain dalam sebuah ‘pentas’ atau sebuah pertunjukan televisyen yang tanpa dirinya sendiri sedar! Terdedahlah bahawa, segenap hal hidupnya diatur pihak produksi, dari hal meletakkan namanya, pekerjaan, apa yang dimakan, dengan siapa dia boleh berkahwin, dengan siapa dia boleh berkawan, kepada siapa dia boleh mencurahkan sayang, bila ahli keluarganya akan menemui kematian, semuanya diaturkan untuk Truman terus hidup dalam set studio maha besar, tempat di mana kota-pulaunya kediamannya diletakkan.

Secara terang-terangan, kita faham bahawa Peter Weir, pengarah (sebenar) filem ini ingin mengkritik kebobrokan pertunjukan-pertunjukan televisyen (lebih tepat: pertunjukan TV realiti) yang memalsu realiti bukan sahaja kepada penikmatnya, bahkan kepada pemainnya juga. Sepengetahuan kita, ada saja fenomena malah konflik dalam pertunjukan TV realiti yang memaksa pemainnya agar merahsiakan identiti sebenar, memanipulasi status perkahwinan, membataskan pergaulan demi menjaga rating tontonan.

 Benarlah hemat Gary Oldman, pelakon masyhur dan dedikasi, yang kala diwawancara Independent, melabel pertunjukan TV realiti sebagai ‘muzium kemerosotan masyarakat (museum of social decay)’. Sebenarnya, ada lagi maki-hamun dan rungutan dari Gary Oldman, tapi demi menjaga keamanan seantero galaksi, kita tinggalkan saja rungutan selebihnya dalam ruang siber. 

Dalam konteks filem The Truman Show, kita diperlihatkan bahawa Truman telah dijadikan subjek pertunjukan TV realiti semenjak lahir sehingga menjelang dewasa, susunan hidupnya menjadi tatapan jutaan penonton dari seluruh dunia. Dakwa Christof, watak si pengarah pertunjukan TV realiti, The Truman Show yang diarahkannya itu dilabel sebagai ‘kehidupan yang sempurna dan nyata’. Persoalannya, benarkah semuanya sempurna? Atau persoalan yang lebih khusus, adakah yang namanya realiti itu… sempurna? 

Cinta

Mungkin benar, mungkin tidak tetapi seperti Truman, dia ada segala-galanya, ibu dan ayah, isteri, rumah, pekerjaan, kejiranan yang ramah, semua disediakan pihak produksi TV realiti dengan baik untuk dia menjalani hari-hari hidupnya walaupun dunia yang disangka realiti itu hanyalah kepura-puraan. Sayang seribu kali sayang, walaupun dia memiliki segala-galanya, dia masih tidak memiliki semuanya. Antara yang tak dimiliki Truman adalah: cinta. 

Dia dinafikan hak untuk bebas berkasih sayang. Lauren Garland (lakonan Natashca McElhoe), salah seorang pemeran tambahan (extra cast) dalam pertunjukan TV realiti (dalam filem itu) tak sengaja memanah kasih ke jantung Truman. Disebabkan produksi sudah memiliki plan dan kandungan yang lain untuk kisah cinta Truman (yang dipercayai lebih disukai penonton), Lauren kemudiannya diusir keluar di saat dia hampir dapat menyedarkan Truman akan segala kepalsuan yang dihidupi.  Lauren dituduh gila, mengidapi schizophrenia dan akan dibawa jauh ke Fiji. Ah! Barangkali itulah kenyataan dunia. Yang berkata benar akan disabit gila dan tidak siuman, yang berkata benar akan disabit songsang dan menyesatkan. 

Namun, gemuruh rindu dan cintanya yang membara kepada Lauren Garland mendorongnya mencari jalan keluar untuk mendapatkan cita dan cintanya. Perlahan-lahan, si Truman mulai musykil dan berwaspada akan realiti yang dihidupi. Semuanya diawali dengan spotlight yang terjatuh dari langit, diikuti siaran radio di keretanya yang bertukar kepada transmisi kru-kru TV realiti tersebut, membawa kepada percubaan Truman menerobos keluar dengan kereta dan kemuncaknya apabila dia membuang trauma dan fobianya pada laut (angkara memori bapanya mati lemas) untuk berlayar dan meninggalkan pulau yang didudukinya. 

Kita rehat seketika dari memikirkan apakah nasib Truman seterusnya kerana dalam keharuan menonton semangat juang Truman untuk menjadi ‘manusia sebenar’, saya mulai mengenangkan keadaan pandemik yang membarah kala ini. Ternyata, menonton The Truman Show dalam detik pandemik Covid-19 membuatkan kita (atau sekurang-kuranngya saya) menjadi semirip Truman yang mula terdedah akan beberapa realiti palsu dan mula bersyak-wasangka.

Rupa-rupanya, selama ini kita hidup dalam kepalsuan dan kepura-puraan realiti yang dicipta atau direka pihak-pihak tertentu. Saat demi saat, terbongkar kebobrokan pihak-pihak yang bertopeng-topeng itu antaranya si kapitalis yang rakus, orang-orang berada, politikawan usang, dan tak ketinggalan ‘seniman-seniman’ plastik yang tidak empati, tidak simpati kepada mereka yang di bawah, malah seolah menyangka mereka turun dari kayangan dan berhak diistimewakan. Lebih membara, tatkala ada yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Misalnya, melambungkan harga barang melangit atau mengerah pekerja membanting tulang dengan upah tak setimpal atau orang-orang besar syarikat yang lebih tergamak membuang para buruhnya berbanding merendahkan gaji sendiri. Perlahan-lahan, wabak yang melanda menyedarkan bahawa kita telah lama pun bergelumang dengan wabak yang meraksasa yakni kepura-puraan dan kepalsuan. 

Babak akhir

Kembali kepada untung nasib si Truman. Babak akhir The Truman Show adalah antara yang senantiasa berputaran di minda. Babak itu adalah tatkala Christof, watak pengarah pertunjukan TV realiti merayu kepada Truman agar tidak meninggalkan pintu keluar studio selepas berjaya mengharungi perlayaran di laut yang penuh badai secara langsung (live). Di saat dia sedaya upaya mempercayakan Truman bahawa jutaan penonton mahu Truman kembali kepada kehidupannya di dalam pertunjukan TV-nya yang ‘sempurna’ dan penuh ‘bahagia’, ternyata Christof tersalah tentang kemampuan ‘watak ciptaannya’ itu. Truman akhirnya tetap keluar meninggalkan studio dan lebih mengejutkan, jutaan penonton dari seluruh dunia meraikan keberanian dan pembebasan seorang Truman dari realiti palsu yang dihidupi karakter itu dan penonton selama ini.

Buat saya, babak akhir ini terlalu besar dan bermakna kerana boleh dianggap sebagai jentikan nakal kepada studio-studio besar dan industri yang selama ini mendakwa seolah-olah merekalah paling arif dan kenal citarasa manusia atau penonton, malah berdakyah pula bahawa kesenian yang baik harus dihasilkan berpaksi citarasa majoriti dengan berkiblatkan data dan angka semata. Mirip gagalnya Christof mengawal kehendak Truman dan para penontonnya, di alam nyata pula, mereka (baca: industri) tidak akan dapat mengawal, meramal dan membaca citarasa dan hati nurani penontonnya berlandaskan segala data dan angka, kerana penonton itu adalah manusia yang kompleks dan bukanlah mesin atau binatang peliharaan yang boleh diprogram-programkan atau dirantai-garikan citarasa dan rohnya untuk mengenal dan mencari realiti yang nyata. 

Categories
BUDAYA RENCANA

Tingkap dalam Parasite

Oleh Adam Taufiq Suharto

SAYA menyelak majalah Mastika terbitan Ogos 1976. Selepas beberapa selakan, muncul gambar seorang figura yang tidak asing – Tun Dr. Mahathir Mohamad. Rencana pada halaman tersebut rupa-rupanya adalah karangannya. Dalam rencana bertajuk Asas Kapitalisme dan Sosialisme itu, Dr. Mahathir bercerita tentang masalah sistem kapitalisme di Barat hingga memunculkan dua orang ahli falsafah, Engel (1820-1895) dan Karl Marx (1818-1883) yang merenungi pergelutan kelas bawahan yang hidup di bawah cengkaman dan bedilan kapitalis.

Tun kemudian menulis tentang contoh sebuah cukai semasa era kapitalisme Eropah yakni:

‘…kezaliman cukai yang biasa dikenakan ialah cukai tingkap; lebih besar tingkap di rumah, lebih besar cukai yang dikenakan. Sudah tentu cukai ini memaksa orang miskin tinggal dalam gelap, walaupun di siang hari. Sudahlah miskin, cukai ini menentukan supaya golongan ini menghidap berbagai penyakit dalam rumah mereka yang gelap dan kotor.’

Saya terdiam. Imej ‘tingkap besar’ dan ‘tingkap kecil’ mula terprojek di minda – mengingatkan saya kepada sebuah filem pemenang anugerah Palme D’Or di Festival Filem Cannes 2019, Parasite (2019) arahan Bong Joon Ho.

Tingkap adalah set produksi yang mustahak dalam filem tersebut. Pada babak awal lagi, filem itu telah mempertemukan penonton dengan tingkap kecil yang menghidangkan pemandangan jalan sempit dari aras pandang yang rendah. Kamera kemudiannya bergerak ke bawah, dan kita mula sedar bahawa tingkap yang diperlihatkan tadi adalah tingkap bagi sebuah rumah semi-bawah tanah.

Perlahan-lahan, kita diberikan eksposisi, ini adalah rumah keluarga Kim yang agak papa. Pada tingkap itu juga, tiada yang enak dengan pemandangannya. Seorang gila yang membuang air kecil di tingkap, juga seseorang meletakkan kenderaan di hadapan tingkap kecil-sempit itu hingga menutup terus pemandangan si keluarga papa.

Sekarang, mari kita ziarahi satu lagi rumah; rumah keluarga Park yang kaya-raya. Di rumah keluarga itu, ukuran tingkapnya berbeza. Hampir sebesar dinding. Jendela-tingkap telah menjadi dinding rumah mereka. Pemandangannya juga berbeza, saujana mata memandang. Sebuah anjung berumput yang menenangkan. Ini ternyata kontra dengan pemandangan dari tingkap kecil rumah keluarga Kim nan papa.

Rumah keluarga Kim yang papa berteman kotoran, lumut, hamis dengan kehadiran serangga-serangga perosak manakala rumah keluarga Park yang mewah dipaparkan bersih, suci lagi mulus. Malah, objek-objek kotor pula sangat abject (hina) untuk wujud dalam pandangan mata mereka.

Dari alergik itulah, keluarga si papa, Kim, mengeksploitasi kotoran-penyakit untuk ‘menghumban’ keluar semua pekerja di dalam rumah keluarga kaya itu lalu berparasit dalam rumah si kaya, menunggangi kemewahan. Seluruh ahli keluarga Kim bekerja di dalam rumah keluarga Park melalui penipuan. Di situlah bermulanya satu momen, si kaya dan si papa berkongsi ruang yang sama lalu bau kaya dan miskin pun bercampur-aduk.

Berbalik semula kepada hal tingkap dalam Parasite. Tingkap kecil di rumah keluarga papa dan tingkap besar di rumah si kaya sebenarnya boleh ditafsir dengan pemaknaan yang lain. Barangkali menggambarkan tentang masa hadapan atau untung nasib kedua-dua keluarga. Untuk keluarga Kim yang papa, tingkap kecil mereka itu adalah gambaran masa hadapannya selaku si miskin. Sempit, sesempit-sempitnya. Dan ini terbukti pada pengakhiran filem yang menunjukkan mereka akhirnya kembali semula ke rumah semi bawah tanah mereka dengan tingkap sempit itu. Masa hadapan tidak memihak kepada mereka.

Ini berbeza dengan keluarga si kaya, Park. Tingkap besar di rumah mereka itu adalah gambaran peluang yang terbentang buat si kaya. Mereka bebas melakukan apa sahaja dengan wang dan kekayaan yang dimiliki. Ini terbukti pada pengakhiran filem. Selepas kematian si bapa dari keluarga Park, keluarga kaya itu masih sahaja dapat berpindah dan memulakan hidup baru.

Di sinilah barangkali hubung kaitnya hujahan Dr. Mahathir tentang masalah cukai pada era kapitalisme Eropah yang telah memusnahkan peluang hidup orang-orang miskin. Tinggal lagi, esei Dr. Mahathir berkontradik dengan segala rungutannya atas kekejaman kapitalisme dengan perenggan ini:

“Pada permulaan rencana ini ada diterangkan bahawa kapitalisme dan sosialisme adalah sistem barat yang berasas kebendaan dan tamak harta benda. Asas inilah yang salah. Selagi irihati kerana pemilikan harta-benda menguasai jiwa masyarakat, selama itulah kebahagiaan tidak akan wujud.”

Membaca perenggan hujung itu membuatkan saya terdiam. Ada sesuatu yang seakan tidak selesai dari dalam kalbu. Tiba-tiba, sebuah babak terprojek. Babak keluarga si papa bersenang-senang di rumah si kaya sambil menghadap tingkap besar rumah mewah itu. Dialog yang dilafazkan keluarga Kim itulah yang sangat terkesan dan meninggalkan beribu persoalan. Dialog itu adalah:

“Dia kaya, tapi masih baik”

“Bukan. Dia kaya, kerana itulah dia baik. Kalau saya kaya, saya juga akan baik, malah lebih baik.”

Ingatan saya terhadap dialog itu membuat saya termenung seorang diri. Dari gambaran cukai tingkap era kapitalisme Eropah yang diceritakan Mahathir, kepada tingkap kecil dan besar yang divisualkan Bong Joon Ho, kini saya perhatikan tingkap kamar saya, kecil dan kurang pencahayaan. Persoalannya kini bermain lebih jauh. Adakah ini bermakna, kapitalisme dengan senyap-senyap membinasakan manusia hingga hari ini atau manusia yang membiarkan kapitalisme membinasakan mereka?

Dalam keheningan itu, cahaya mentari perlahan-lahan masuk menerusi tingkap kamar. Saya pun bangun, lalu mengarang esei ini.