Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Berdaya kemahiran ibu tunggal, mudah jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 NOV: Pembangunan ekonomi wanita khususnya ibu tunggal antara perkara yang harus diberi perhatian dalam Belanjawan #Selangor2022 yang dibentangkan esok.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama berkata peruntukan terperinci perlu disalurkan buat golongan itu untuk meningkatkan kemahiran sekali gus menambah pendapatan mereka.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, mereka dikesan berpotensi tinggi dalam perniagaan berdasarkan pengalaman berbincang bersama badan bukan kerajaan (NGO).

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

“Mereka berusaha untuk memastikan keadaan keluarga terjamin, jadi kita perlu fokus memberdaya kemahiran mereka supaya lebih senang mendapat kerja atau menjana pendapatan,” katanya.

Bercakap dalam Bual Bicara Selangor#2022: Apa Kata ADN? yang disiarkan di Facebook Media Selangor, beliau berkata negeri juga boleh memberi dana untuk menganjurkan program mencungkil potensi wanita.

“Banyak kemahiran yang masih boleh dilatih kerajaan seperti kemahiran berkomunikasi dan pembentangan yang meningkatkan pemberdayaan wanita,” kata Jamaliah.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pascapandemik.

Turut ditekankan ialah menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Categories
ADN PBT SELANGOR

MBPJ peruntuk hampir RM30,000 naik taraf padang SS20/5

PETALING JAYA, 5 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntuk RM27,137 bagi menaik taraf dan baik pulih kemudahan padang SS20/5, Damansara Kim di sini, kata wakil rakyat Bandar Utama.

Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan itu untuk membina sistem saliran bawah tanah bagi mengatasi masalah air bertakung sehingga menjadi punca banjir kilat di kawasan tersebut.

“Kita kerap mendapat aduan daripada penduduk mengenai air bertakung di kawasan ini sehingga menyebabkan banjir kilat selama beberapa hari dan sukar untuk mereka beriadah.

“Oleh itu, saya meminta MBPJ tampil menyelesaikan segera kerana sebelum ini isu air bertakung jarang dititik beratkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau padang berkenaan hari ini.

Menurut Jamaliah kerja baik pulih itu mengambil masa dua bulan dan telah siap sepenuhnya pada Oktober lalu.

“Lebih 500 kediaman di sini dan saya percaya penduduk kini dapat melakukan aktiviti riadah dengan selesa dan tiada lagi masalah air bertakung sehingga memakan masa yang lama,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Saringan Komuniti: Wakil rakyat pastikan penduduk terima layanan baik

DAMANSARA, 26 MEI: Pengalaman sebagai sukarelawan Saringan Komuniti Covid-19 di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) membantu Ahli Dewan Negeri Bandar Utama membuat persediaan lengkap untuk kawasannya.

Wakil rakyat Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu dapat melancarkan proses saringan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

“Hari ini (semalam) saya sediakan kerusi roda khas untuk mereka yang tidak boleh berjalan atau tidak larat.

“Ketika saringan di DUN Subang Jaya, saya ada lihat seorang individu tidak boleh berjalan. Saya mahu orang awam datang saringan mendapat keselesaan dan layanan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Jamaliah berkata pihaknya turut menyediakan 200 bungkus minuman serta makanan kepada individu yang menjalani saringan.

“Kami juga mengagihkan biskut raya kepada individu yang awal memandangkan program ini berjalan di bulan Syawal,” katanya.

Semalam Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor diadakan di DUN Bandar Utama serta Kampung Tunku.

Sejak 8 Mei lalu, seramai 36,780 individu menyertai 20 Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan DUN sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta termuda Super Randonneur diiktiraf Malaysia Book of Records

PETALING JAYA, 14 MAC: Seorang remaja autisme diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai peserta termuda Super Randonneur yang berjaya melengkapkan acara berbasikal pada tahun lalu.

Wakil rakyat Bandar Utama memaklumkan pencapaian Ahmad Uzair Ahmad Syauqi, 13, itu diiktiraf selepas melengkapkan kayuhan bagi kategori 200 kilometer (km), 300km, 400km dan 600km dalam tempoh ditetapkan.

“Pencapaian ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada kita semua, betapa sebagai manusia, setiap daripada kita dilahirkan dengan kelebihan dan keupayaan yang tersendiri,” kata Jamaliah Jamaludin pada Majlis Serahan Malaysia Book of Records di The Club, Bandar Utama, semalam.

Ahmad Uzair Ahmad Syauqi, 13, menerima anugerah peserta autisme termuda Super Randonneur Malaysia Book of Record dalam suatu majlis berlangsung di The Club, Petaling Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata kelebihan yang dimiliki Ahmad Uzair membuka mata orang ramai untuk sentiasa bersikap positif meningkatkan pencapaian diri.

“Penghargaan juga turut saya tujukan kepada ibu bapa dan keluarga Ahmad Uzair yang seharusnya dijadikan contoh kepada ibu bapa lain agar sentiasa memberi galakkan kepada anak-anak dalam bidang yang diminati,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Uzair mendapat tajaan daripada FWD Takaful iaitu setiap satu km kayuhannya, RM10 akan didermakan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan setakat ini jumlahnya sudah mencapai RM12,000.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama tanam semula 40 pokok rosak

PETALING JAYA, 10 FEB: Sebanyak 40 pokok ditanam semula dalam kawasan Bandar Utama bagi menggantikan pokok tua yang sudah rosak, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata, tindakan itu bukan sahaja untuk memelihara alam sekitar, malah mahu mengelak insiden pokok tumbang yang boleh membahayakan keselamatan penduduk.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah melaksanakan polisi tebang dan ganti, iaitu mana-mana pokok yang ditebang atas sebab kukuh maka ia perlu diganti dengan pokok baharu.

“Polisi ini dilaksanakan bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar tetapi pada masa sama mengelakkan persepsi orang ramai bahawa kita suka-suka menebang pokok besar, sedangkan sebenarnya ia mendatangkan bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi tanaman semula pokok Tembusu di Jalan SS20/10, di sini. Hadir sama Ahli Majlis MBPJ, Loyis Uding.

Pada masa sama, Jamaliah turut mengingatkan penduduk tidak merosakkan pokok-pokok yang sudah tua kerana tindakan itu boleh didakwa mengikut undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Jagalah pokok-pokok tua kita sebaiknya kerana ia melindungi kawasan persekitaran daripada haba dan membuatkan penempatan lebih sejuk dan mendamaikan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat di Kampung Chempaka, 20 rumah terjejas

SHAH ALAM ,17 APRIL: Hampir 100 mangsa melibatkan 20 rumah terjejas teruk susulan banjir kilat di kawasan Kampung Chempaka (PJU1/4) dan SS4D/10 semalam, kata ahli dewan negeri Bandar Utama.

Terkilan musibah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Jamaliah Jamaluddin berkata punca utama kejadian disebabkan keadaan tebing sungai Sungai Kayu Ara yang lemah.

Beliau berkata pihaknya bersama Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor telah berjaya memastikan dana bagi projek naik taraf tebing sungai itu diluluskan.

“Namun, ia masih di peringkat awal kerana ini adalah projek mega bernilai RM20 juta dan proses penaiktarafan mungkin mengambil masa dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya dan Ahli Parlimen Damansara (Tony Pua) akan mencari alternatif bagi membantu mangsa.

Pada masa sama, Jamaliah berkata pihaknya juga mendapat aduan banjir kilat yang turut berlaku di beberapa kawasan lain seperti Damansara Kim (SS20) dan SS25/41.

 

Categories
ADN SELANGOR

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama dibuka waktu malam

SHAH ALAM, 3 JAN: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama kini dibuka pada waktu malam bagi memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan membuat urusan pada waktu siang.

Ahli Dewan Negerinya, Jamaliah Jamaluddin berkata, sesi “Malam Bertemu Penduduk” di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat itu mula dibuka malam ini (3 Januari) dari jam 8 hingga 10 malam pada Jumaat minggu pertama setiap bulan.

“Sesi itu sama seperti pertemuan biasa pada waktu siang namun kali ini kita turut menawarkan nasihat guaman percuma kepada individu yang memerlukan.

“Selain itu, kita turut mengadakan khidmat aduan berkaitan isu di DUN Bandar Utama dan orang ramai berpeluang mengemaskini maklumat program Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, sesi itu adalah yang julung kali diadakan dan diharap orang ramai mengambil peluang yang diberikan itu sebaiknya.

“Sebelum ini kita tidak pernah melaksanakan sesi sebelah malam dan ramai dalam kalangan penduduk terlepas hadir ke pusat khidmat berikutan mereka kerja pada waktu pejabat.

“Justeru, untuk kali ini kita jadikan ia sebagai perintis dan jika diterima umum sesi seperti itu akan dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali,” katanya.