Categories
ADN SELANGOR

Belanjawan 2022: Tambah peruntukan naik taraf jalan raya, parit, internet

BANTING, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting berharap Kerajaan Negeri dapat menambah peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur awam dalam Belanjawan 2022.

Lau Weng San berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan untuk mengekalkan kedudukan Kuala Langat sebagai daerah kedua terbesar di Selangor menerima pelaburan asing.

“Antara infrastruktur yang boleh dinaik taraf adalah jalan raya, sistem perparitan, saliran dan internet.

“Infrastruktur ini penting untuk mengekalkan kedudukan Kuala Langat sebagai daerah kedua terbesar meenrima pelaburan asing,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Weng San, Belanjawan 2022 penting untuk memulihkan ekonomi Selangor ke paras sebelum pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri sebelum ini sudah lakukan pelbagai usaha untuk membantu rakyat terkesan kerana pandemik, kini perlu buat persiapan memulihkan ekonomi,”katanya.

Pada 8 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Banting lancar bank makanan bergerak, mudahkan penduduk

SHAH ALAM, 23 JULAI: Melihat kepayahan warga emas mengayuh basikal sambil membawa barangan bantuan, memberi idea kepada Ahli Dewan Negeri Banting memperkenalkan bank makanan bergerak.

Lau Weng San berkata ramai golongan memerlukan termasuk orang tua di kawasan diwakilinya itu tidak mempunyai kereta untuk membawa balik bantuan di premis bank makanan statik.

Lau Weng San menyerahkan bantuan alat tulis kepada penduduk memerlukan menerusi bank makanan bergerak yang dilancarkannya sejak 10 Julai lalu. Foto Lau Weng San

Menurutnya mereka tidak mempunyai pilihan kerana sudah terputus bekalan makanan.

“Bayangkan betapa sukarnya seorang warga emas hendak membawa balik beras yang berat menggunakan basikal, saya pernah melihat ini semua.

“Jadi pusat khidmat saya dengan kerjasama ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat ambil inisiatif mewujudkan bank makanan bergerak sejak 10 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Weng San berkata setakat ini pihaknya sudah menjelajah ke enam kawasan perumahan yang dikenal pasti mempunyai ramai golongan memerlukan.

“Van kami akan bergerak dua kali seminggu dengan membawa barangan keperluan asas antaranya beras, bihun, gula dan minyak selain alat tulis untuk diagihkan.

“Menerusi pendekatan ini mereka tidak lagi perlu berjalan jauh untuk mengambil bantuan,” katanya yang menggunakan peruntukan bakul makanan serta sumbangan ramai bagi menjalankan inisiatif itu.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Banting belanja lebih RM100,000 bantu penduduk ketika pandemik

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu penduduk susah di kawasan itu sejak awal tahun lalu.

Wakil rakyatnya berkata bantuan itu meliputi bakul makanan, peranti elektronik, alatan tulis, kerusi roda dan katil boleh laras.

“Sejak Januari lalu, kami di pusat khidmat masyarakat memang sentiasa berusaha mengesan individu atau keluarga yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Kini lebih RM100,000 telah dibelanjakan bagi membantu golongan ini. Kita harap dengan bantuan iniĀ  sedikit sebanyak meringan beban penduduk,” kata Lau Weng San ketika dihubungi SelangorKini.

Menurutnya usaha murni itu akan sentiasa diterus bagi memastikan tiada golongan yang terputus bekalan makanan termasuk pelajar yang tercicir akibat pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita tidak mahu ada pelajar yang tercicir dalam pelajaran kerana tiada peranti elektronik seperti komputer riba atau tablet. Justeru, kita akan memberi bantuan itu kepada mereka,” katanya lagi.

Orang ramai di sekitar DUN Banting yang mahu memohon bantuan boleh hubungi talian 012-638 4724/ 012-693 4724/012-692 4724/012-695 4724 atau emel [email protected].

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Banting giat uruskan kanak-kanak tiada dokumen, baiki prasarana

Menyelesaikan masalah kanak-kanak tempatan yang tiada dokumen pengenalan diri giat dijalankan Ahli Dewan Negeri Banting.

Sejak Mei 2018 hingga awal tahun ini, Lau Weng San menerima 60 aduan berkaitan masalah itu yang bukan sahaja dihadapi golongan bukan bumiputera tetapi turut dialami orang Melayu.

Beliau memanjang isu tersebut kepada kerajaan persekutuan yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri mempermudahkan proses itu sekali gus membuka ruang untuk mereka melangkah ke alam persekolahan.

Lau Weng San

“(Sebelum ini) Mereka tidak boleh bersekolah dan perlu membayar yuran sekiranya mahu belajar. Semasa zaman PAKATAN, pembaharuan dilakukan dan mereka dibenarkan bersekolah seperti biasa,” kata wakil rakyat berusia 42 tahun.

Weng San prihatin dengan isu itu kerana kesannya boleh berlarutan hingga dewasa yang akhirnya bakal menjejaskan masa depan mereka. Tanpa dokumen kewarganegaraan, hanya berstatus pemastautin tetap, proses melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya berdepan kesukaran.

“Ini juga memberi kesan psikologi yang mendalam terhadap mereka,” katanya.

Sebab itu, beliau berazam membela kanak-kanak itu walaupun prosesnya rumit dan mengambil masa panjang.

Kemudahan

Beliau juga membangkitkan isu kemudahan sedia ada termasuk lampu jalan tidak diselenggara dengan baik yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan umpamanya di Jalan Klang-Banting.

Beliau menggunakan pelbagai platform untuk mengutarakan isu termasuk memanjangkannya dalam mesyuarat membabitkan Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Lau Weng San (tengah) meninjau aktiviti pembersihan longkang tersumbat melibatkan KDEB Waste Management iaitu High Pressure Water Jetter di sekitar kawasan komersial Jalan Teluk Bunut, Banting pada 14 September 2020. Foto Facebook Lau Weng San

“Penyelesaian akan disusun jabatan-jabatan kerajaan yang terbabit dan ini akan mempercepatkan penyelesaian sesuatu masalah.

“Wakil jabatan-jabatan kerajaan persekutuan juga hadir dan mereka perlu bantu menyelesaikan masalah dalam bidang kuasa mereka,” katanya.

Weng San juga mahu merancakkan pembangunan di Banting rancak seperti beberapa bandar besar lain seperti Puchong dan Subang Jaya supaya tempiasnya turut dirasai penduduk tempatan.

Perkara itu bukan mustahil kerana Banting dan Kuala Langat kian mendapat tempat kalangan pelabur asing dalam sektor perkilangan. Sektor hartanah juga berkembang pesat.

“Pembangunan pesat disokong dengan pelaksanaan projek seperti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat Banting-Taiping dan Laluan Rel Pantai Timur di Kuala Langat.

“Masa depan cukup cerah. Saya yakin Banting bakal mengalami rentak pembangunan sama seperti bandar lain,” jelasnya.