Categories
ADN SELANGOR

Warga emas rosak saraf kaki, tidur luar kedai dobi dibantu ADN Kampung Tunku

SHAH ALAM, 24 FEB: Nasib seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan hingga terpaksa tidur di luar kedai dobi di SS2 Petaling Jaya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.

Menurut Lim Yi Wei, gelandangan berusia 62 tahun itu dibawa ke Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di Kampung Baru Sungai Way kelmarin supaya mendapat penjagaan rapi.

Beliau berkata warga emas itu turut dibawa membuat saringan ujian pantas antigen (RTK) dan polimerase masa nyata (PCR) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga mendapati beliau mengalami kerosakan saraf pada kaki menyebabkan pergerakannya tersentak-sentak dan tidak stabil. Kami menyewa sebuah bilik di hotel bajet untuknya.

“Selepas disahkan negatif Covid-19, kami membawanya pula untuk menjalani ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yi Wei menambah lelaki terbabit kemudian dibawa ke pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Semasa memapah pakcik ke klinik dan lokasi-lokasi lain, saya terkenang mendiang datuk dan nenek saya. Semoga pakcik hidup lebih baik bawah penjagaan warga Sungai Way,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan luar jangka, Kerajaan Negeri disaran tambah kuota dos vaksin percuma

PETALING JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menambah kuota dos vaksin percuma dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak kerana masih ramai belum mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata ini kerana bilangan individu berdaftar di SELangkah melebihi kuota dos vaksin ditetapkan dalam program Selvax bergerak.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi lebih separuh dos vaksin daripada 600 jumlah pelalian diperuntukkan untuk kawasan Kampung Tunku habis diguna.

“Rata-rata peserta yang hadir adalah dalam kalangan warga asing, apabila mereka divaksin kita rasa lega kerana secara tidak langsung turut melindungi diri kita daripada wabak,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif menambah dos vaksin percuma dalam program Selvax akan mempercepat usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Selvax bergerak di tapak pasar malam Sungai Way, Jalan SS9A/12, di sini hari ini.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Kampung Tunku, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai dan Dengkil.