Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk rai Deepavali diminta bersedia hadapi air pasang besar esok

SHAH ALAM, 3 NOV: Penduduk di kawasan berisiko banjir di Klang susulan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut bermula esok hingga Ahad diminta bersedia terutama mereka yang meraikan Deepavali.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata fenomena secara berperingkat bermula jam 5.21 pagi esok dijangka menyebabkan paras air mencecah 5.6 meter dan boleh membawa bencana banjir jika disertai hujan serta angin kencang.

ADN Perlabuhan Klang Azmizam Zaman Huri

“Mengikut maklumat ada enam rumah di Taman Teluk Gedung Indah yang penghuninya meraikan Deepavali dan perumahan itu antara kawasan berisiko banjir kerana kedudukannya rendah.

“Dibimbangi kawasan berkenaan boleh dilanda banjir, saya serta agensi kerajaan akan memantau keadaan esok dan menghulurkan bantuan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam berkata selain Taman Teluk Gedung Indah, antara lokasi lain di Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang berisiko banjir turut meliputi Taman Kem, Taman Seri Berembang, Taman Selat Damai dan Taman Selat Selatan.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terbabit mengalihkan kenderaan ke kawasan selamat dan memastikan alat telekomunikasi berfungsi dengan baik bagi mendapat maklumat segera.

Menurutnya, setakat ini semua rumah pam di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran berfungsi dengan baik dan pihak berkuasa juga sudah membersihkan saliran.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.