Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Lewat lapor kes harian Covid-19 tidak wajar berlaku

SHAH ALAM, 1 FEB: Kelewatan melaporkan kes harian Covid-19 tidak sewajarnya berlaku, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan itu menjadi punca peningkatan kes yang membimbangkan rakyat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu telus, cepat dan tepat dalam melaporkan data harian kes Covid-19 agar rakyat tidak panik.

“Malah, kita sebagai wakil rakyat atau mana-mana pihak berkaitan boleh fikir tindakan seterusnya (bantuan) jika mereka berkongsi data dengan tepat,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Mohd Fakhrulrazi, beliau percaya bukan salah kakitangan KKM berhubung kelewatan itu tetapi mungkin disebabkan campur tangan politik.

“Saya tidak salahkan kakitangan itu sebaliknya mungkin campur tangan politik atau orang atasan yang beri arahan kurang jelas sehingga menjejaskan reputasi jabatan itu sendiri.

“Justeru, saya nasihatkan mereka terus bekerja seperti biasa dan profesional. Kita sentiasa menyokong jasa petugas barisan hadapan ini,” jelasnya.

Semalam, KKM berkata peningkatan mendadak kes pandemik melebihi 5,000 sejak tiga hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 5,298 kes semalam, Sabtu (5,728) dan Jumaat (5,725).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ADN Meru rayu Putrajaya henti operasi kilang Top Glove

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru meminta kerajaan persekutuan menghentikan sementara operasi kilang Top Glove susulan kes peningkatan ketara kes Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata keselamatan penduduk sekitar paling utama buat masa kini berbanding keuntungan kilang sarung tangan itu.

“Memandangkan kes kluster Jalan Teratai di Meru semakin memburukkan keadaan dan amat membimbangkan semua warga Meru dan pekerja tempatan di Top Glove sendiri.

“Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang daripada keuntungan kilang,” katanya menerusi Facebook.

Pada 16 November, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di asrama pekerja kilang terbabit susulan pengesanan 215 kes positif Covid-19.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang Top Glove di Klang diarah ditutup secara berperingkat susulan 1,067 kes positif wabak dilaporkan di kawasan itu.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Meru: Periksa segera jika ada gejala Covid-19

SHAH ALAM, 9 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru menasihatkan penduduk di kawasannya buat pemeriksaan kesihatan segera jika mempunyai gejala Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, ia susulan seorang pengajar di Madrasah Zaiyadal di Jalan Hamzah disahkan positif wabak tersebut.

“Pastikan juga anak-anak sentiasa berada di dalam rumah. Kepada ketua keluarga yang keluar untuk tugas asasi, mohon sentiasa memakai topeng hidung dan mulut, cuci tangan selalu dan pastikan jarak sosial sentiasa dijaga.

“Salah satu ubat untuk Covid-19 ialah tinggal di rumah, jangan keluar rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Setakat jam 11.22 semalam, Klang mencatatkan peningkatan kes jangkitan sebanyak 11 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 133 individu positif Covid-19.
Kenaikan itu menjadikan angka keseluruhan di Selangor kini 1066, berbanding kelmarin iaitu seramai 1017 kes.