Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

ADN Permatang agih 300 pek makanan asas, bantu penduduk dikuarantin

SHAH ALAM, 7 MAC : Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyediakan sebanyak 300 pek makanan asas kepada keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu 150 sudah diagihkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita mengambil inisiatif ini selepas mengambil kira keadaan penduduk atau keluarga dijangkiti Covid-19 yang perlu menjalani kuarantin diri, menyebabkan mereka sukar mendapatkan barang keperluan asas.

“Jadi, dengan cara ini saya harap ia dapat meringankan beban mereka sepanjang tempoh kuarantin,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata, inisiatif itu akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan laporan diterima daripada pihak MPKK dan ketua komuniti kawasan masing-masing.

Selain itu, individu yang sedang dalam tempoh kuarantin dan memerlukan bantuan tersebut juga boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang di 03-3281 2069 atau 010-557 3736.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Permatang agih alat tulis untuk 387 calon SPM

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 387 set alat tulis diserahkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang hari ini.

Wakil rakyatnya berkata pemberian melibatkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, SMK Agama Kuala Selangor dan SMK Pengkalan Permatang.

“Sumbangan diberi kepada pengetua serta wakil tanpa bertemu dengan calon SPM bagi menjaga tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini.

“Saya doakan semua calon dapat menjawab dengan lancar, jelas, betul serta tepat,” kata Rozana Zainal Abidin menerusi Facebook hari ini.

Peperiksaan SPM 2021 dijadualkan bermula 2 Mac ini dan berakhir pada 29 Mac.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata susulan jangkitan Covid-19 yang tinggi ketika ini peperiksaan akan berjalan dengan pematuhan SOP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat pinjam Hijrah dilonggar, golongan terkesan perlu ambil peluang niaga

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemansuhan syarat peminjam skim Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) perlu ada 25 peratus daripada jumlah pinjaman dalam akaun membuka peluang lebih ramai menceburi perniagaan.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata rakyat negeri ini terutama yang terkesan akibat Covid-19 perlu menggunakan peluang tersebut bagi memulakan kehidupan baharu.

“Pengumuman pemansuhan syarat pinjaman Hijrah Belanjawan #Selangor2022 adalah langkah tepat. Ini bukti Kerajaan Selangor amat peduli nasib rakyat terutama ketika era pandemik.

“Saya minta penduduk Selangor menggunakan peluang ini untuk memohon pinjaman Hijrah bagi memulakan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana yakin dengan pemansuhan itu mampu menarik ramai individu menggunakan platform pinjaman Hijrah pada masa akan datang.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan dalam skim Hijrah dengan salah satu daripadanya adalah membatalkan syarat wajib peminjam mempunyai 25 peratus dari jumlah pinjaman dalam akaun.

Penambahbaikan lan yang akan dilaksanakan adalah:

  •  Peruntukan RM120 juta bagi pembiayaan kepada usahawan
  •  Skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi meningkatkan perniagaan ke tahap Industri Kecil Sederhana dengan tawaran pembiayaan sehingga RM100,000. Sasaran awal pembiayaan melibatkan RM10 juta
  • Mewujudkan skim pembiayaan i-AGRO yang memberi fokus kepada 2,000 usahawan tani dengan jumlah pembiayaan maksimum RM26,000. Sasaran pelaksanaan skim berjumlah RM52 juta
  • Mewujudkan Dataran Hijrah yang menjadi pusat perniagaan berpusat untuk semua perkhidmatan
  •  Meningkatkan jumlah minimum pinjaman dari RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
  • Mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM 30,000 ke bawah.
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Permatang fokus jadikan suri rumah usahawan, jana pendapatan

SHAH ALAM, 19 JUN: Lebih ramai suri rumah mampu menjana pendapatan sendiri menjadi sebahagian
misi penting Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin.

Menyedari majoriti mereka tiada pendapatan, beliau menegaskan perkara itu bukan halangan untuk mereka berdikari.

Apatah lagi, ramai wanita bekerjaya turut berusaha menambah pendapatan sampingan menerusi perniagaan.

“Untungnya wanita di Permatang amat kreatif untuk mencari pendapatan sampingan dari dari rumah. Rata-ratanya terlibat dalam pembuatan makanan. Tidak kurang juga ada yang menghasilkan kraf daripada barang lama atau terpakai,” katanya.

Menjadi tanggungjawab Rozana untuk memperkemas kelebihan berkenaan melalui bimbingan dan bantuan tambahan.

“Kita beri bantuan kewangan, permudahkan urusan lesen dan lain-lain. Bagi menjayakannya, pusat khidmat bekerjasama dengan Pusat Wanita Berdaya DUN Permatang serta Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Permatang untuk menganjurkan beberapa program,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan mereka terutama yang terlibat dengan industri makanan supaya menekankan
konsep 4K iaitu kebersihan, kesihatan, kualiti dan kuantiti.

Ini kerana mereka perlu bersedia untuk memenuhi permintaan dalam kuantiti banyak tanpa menjejaskan kualiti produk terutama dari segi kebersihan dan kesihatan.

Justeru, pusat khidmat Permatang pada Mac lalu dengan kerjasama International Muslim Friendly Affiliation Network (IMFAN) dan Halal International Selangor menganjurkan program latihan bagi menjayakan amalan pensijilan halal dan meluaskan perniagaan.

“Saya mahu mereka pergi jauh, dari Permatang ke antarabangsa. Ini boleh jadi kenyataan kerana sudah ada usahawan wanita yang saya kira dapat menjadi inspirasi buat masyarakat.

“Antaranya Projek Ratu Kapit di Kampung Sungai Terap, projek jualan ikan dan nelayan di Jeti Nelayan Kampung Sungai Yu, pengusaha Kuih Bakar Kampung Ujong Permatang dan Ummi Seafood & Pes di Kampung Sungai Yu.

Rozana percaya wanita memainkan peranan besar walau di mana mereka berada. Hanya perlu berani dan yakin pada diri sendiri untuk melakukan perubahan. Dari titik perubahan kecil melonjak mencipta
kejayaan besar. Mereka boleh berjaya meski bekerja dari rumah.

Kepercayaan Rozana itu seiring pelaksanaan inisiatif Kerajaan Negeri antara penyediaan modal pinjaman dari Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Dana Usahawan Mikro Selangor.

“Terima kasih Kerajaan Selangor yang mewujudkan pelbagai inisiatif untuk membantu wanita. Langkah sebegini mampu melahirkan ramai usahanita DUN Permatang,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 keluarga jalani kuarantin di rumah terima bantuan makanan

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Hampir 100 individu termasuk keluarga yang menjalani kuarantin di rumah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima bantuan makanan asas sejak awal tahun ini.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata pek bernilai RM80 mengandungi beras, tepung gandum, gula, susu, sardin dan mi segera sebagai inisiatif meringankan beban golongan terjejas.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan golongan ini cukup bekalan makanan kerana mereka tidak dibenarkan keluar rumah membeli barang keperluan sepanjang tempoh kuarantin bagi membendung penularan wabak.

“Edaran dibuat oleh pegawai pusat khidmat masyarakat dengan bantuan ketua kampung. Barang keperluan diletakkan di luar rumah keluarga terbabit bagi mengelak kontak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Sementara itu, Rozana berkata bantuan sama terhadap keluarga berpendapatan rendah (B40) yang terkesan susulan pandemik berjalan seperti biasa.

“Kita juga minta kerjasama ketua kampung untuk menyalurkan segera maklumat sekiranya ada keluarga yang memerlukan bantuan. Kita tidak mahu lihat keluarga susah ini berlapar disebabkan ketiadaan bekalan makanan,” katanya lagi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kes semakin meningkat, wakil rakyat pesan jangan abai SOP

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Penduduk pinggir bandar diingatkan tidak sesekali mengambil mudah amalan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berikutan jangkitan Covid-19 semakin merebak di kawasan itu.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata tanggungjawab memerangi wabak berbahaya itu harus digalas bersama supaya kehidupan normal mampu dikembalikan.

“Walaupun di sini (Permatang) merupakan kawasan utara Selangor, namun kes Covid-19 banyak. Jadi, masyarakat perlu ubah sikap dan pupuk kesedaran untuk sama-sama jaga (SOP).

“Benda ini (Covid-19) berada di mana-mana dan kita tak nampak serta boleh menjangkiti walaupun tiada gejala demam, batuk atau selesema,” katanya kepada SelangorKini

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Sementara itu, Rozana berkata pusat khidmatnya membuat siar raya sejak tiga hari lalu ke setiap kampung bagi menggalakkan penyertaan masyarakat setempat ke program percuma.

“Kita juga memperhebat promosi di media sosial selain menggerakkan ketua kampung untuk menyampaikan mesej berkenaan program ini kepada penduduk,” katanya.

Semalam, sebanyak 52 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah Kuala Selangor daripada keseluruhan 2,612 yang dicatat di negeri ini.

ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin melawat lokasi program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

871 warga emas, OKU di DUN Permatang terima baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 22 JUN: Sebanyak 871 baucar Jom Shopping selesai diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Baucar membeli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diberikan kepada peserta yang lahir dari Mac hingga Jun selepas prosesnya tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Alhamdulillah semua peserta menerima manfaat baucar dan mereka kini boleh membeli-belah di pasar raya terpilih,” kata Ahli Dewan Negerinya Rozana Zainal Abidin di Facebook.

Beliau berkata warga emas dan OKU yang belum mendaftar boleh merujuk kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung masing-masing atau ke Pusat Khidmat DUN Permatang manakala semakan status di http://mesra.yawas.my/smue/.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan penjajaran semula SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap bulan kepada peserta.

Categories
SELANGOR

Wujud inisiatif khas buat ibu bapa OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin mencadangkan inisiatif baharu diperkenalkan khas kepada ibu bapa yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri sudah memperkenalkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), namun ia hanya terhad kepada ibu yang mempunyai anak 21 tahun ke bawah.

“Saya ingin mencadangkan satu inisiatif diperkenalkan khusus kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU dan boleh memohon tanpa had umur.

“Hal ini ekoran ramai dalam kalangan pemohon KISS mempunyai anak OKU tetapi jika umur anak mereka atas 21 tahun, mereka tidak boleh memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana berkata, tanggungjawab dan cabaran ibu bapa yang mempunyai anak OKU adalah sangat mencabar dan berharap Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif itu kepada golongan terbabit.

Pada masa sama, beliau turut memuji Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat yang memelihara kebajikan rakyat dari bayi hingga meninggal dunia.

“Salah satunya adalah KISS yang bukan sahaja meringankan beban keluarga, namun pemakanan juga terjaga dengan baik,” katanya.

Mengulas berkenaan sambutan KISS di DUN Permatang, Rozana berkata, seramai 1,450 penerima sudah mendapat manfaat itu sehingga kini.