Categories
ADN SELANGOR

DUN Rawang agih baucar beli-belah nilai RM100, bantu persiapan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 17 JAN: Sebanyak 450 baucar membeli-belah diagihkan kepada masyarakat Tiong Hua sekitar Rawang sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut awal bulan depan.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata baucar Jom Shopping bernilai RM100 yang diagih bermula hari ini membantu penerima terdiri keluarga berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan meraikan perayaan itu.

“Pemberian baucar ini dibuat selama seminggu di pusat khidmat masyarakat (PKM). Sebaik menerimanya, mereka boleh menggunakan baucar ini untuk membeli-belah di pasar raya NSK Rawang.

“Bantuan ini semestinya dapat meringankan beban masyarakat, namun diharap dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan harga barangan perayaan seperti limau meningkat mendadak tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati masyarakat berwaspada ketika menyambut perayaan selain mematuhi  tatacara operasi piawai (SOP) berikutan negara masih bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Jangan alpa dengan SOP terutama ketika pulang ke kampung halaman atau menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara. Mereka kena fikir soal keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta orang tersayang,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 masyarakat India di Rawang dibantu sempena Deepavali

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 1,000 keluarga masyarakat India sekitar Rawang menerima sumbangan sempena Deepavali yang diraikan awal bulan hadapan.

Bantuan khusus buat golongan terkesan akibat Covid-19 itu merangkumi 300 bakul makanan dan 700 baucar Jom Shopping, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.

“Sebanyak 300 kotak bakul makanan khas yang mengandungi bahan-bahan untuk masakan tradisional diedar dengan setiap pek bernilai RM60 selain baucar Jom Shopping,” kata Chua Wei Kiat.

Beliau berkata pihaknya menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan perayaan itu sebelum ini, namun mengubah sambutan dengan mengagih bantuan susulan pandemik.

“Setakat ini lebih 3,000 keluarga masyarakat India dibantu ketika Covid-19 dengan pelbagai kaedah merangkumi bakul makanan, bantuan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Pada 1 September, Wei Kiat mengerakkan seramai 50 sukarelawan termasuk ketua kampung bagi mengenal pasti golongan memerlukan di sekitar Rawang untuk dibantu.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus membantu individu yang hilang pendapatan akibat penularan Covid-19 meski sektor ekonomi kembali dibuka.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 100 rumah kibar bendera putih antara 1,500 keluarga dibantu

SHAH ALAM, 6 JULAI: Hampir 100 rumah sekitar Rawang yang mengibarkan bendera putih kerana desakan hidup akibat pandemik antara 1,500 keluarga yang dibantu dalam tempoh tiga minggu ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata bantuan meliputi bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan telur selain mewujudkan bank makanan di pusat khidmat.

“Petang semalam saya mewujudkan rak bank makanan di depan pejabat. Sesiapa yang memerlukan bekalan makanan boleh datang pada bila-bila masa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Harap kemudahan ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Kalau kaedah ini berjaya, saya akan mewujudkan lebih banyak bank makanan di kawasan lain,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Wei Kiat kecewa terhadap segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengibar bendera putih meskipun mereka golongan berkemampuan.

“Jumlah mereka tidak ramai dianggar 15 keluarga dan ada yang enggan menurunkan bendera walaupun sudah dibantu. Selepas ini kita akan siasat dan kumpul maklumat bagi memastikan yang layak sahaja dibantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata bantuan tambah nilai kredit telefon antara permohonan diterima pihaknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Rajiv Rishyakaran berkata individu berkenaan terdesak bagi memastikan anaknya tidak ketinggalan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dalam tempoh seminggu ini hampir 300 keluarga dibantu dan jumlahnya meningkat ketika PKPD. Kita jangka bilangan yang terkesan akan meningkat lagi jika tempoh PKPD disambung,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tetapkan harga siling saringan, elak swasta caj mahal

RAWANG, 22 MEI: Kerajaan perlu menetapkan harga siling ujian Covid-19 di klinik swasta seluruh negara bagi membantu golongan kurang mampu mendapat perkhidmatan itu.

Ahli Dewan Negeri Rawang berkata kos saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) yang dikenakan ketika ini membebankan rakyat.

Chua Wei Kiat menjelaskan saringan bagi mengesan virus satu keperluan susulan kadar jangkitan wabak dalam negara semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

“Harga RTK-Ag yang ditawarkan swasta buat masa ini lebih RM100 sedangkan kos sebenar jauh lebih rendah, justeru kerajaan tidak patut cipta keuntungan melalui cara berkenaan.

“Kerajaan sepatutnya buat harga kawalan misalnya sekitar RM60 hingga RM70 supaya lebih ramai mampu bayar dan ambil inisiatif sendiri untuk membuat saringan,” katanya  selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Batu 17 di sini, kelmarin.

Sementara itu, Wei Kiat berkata program saringan besar-besaran secara percuma sejak awal bulan ini mendapat maklum balas positif.

“Rata-rata masyarakat memaklumkan antara faktor utama mereka datang berikutan harga saringan di klinik swasta amat tinggi dan tidak mampu bayar.

“Mereka beri contoh jika kos yang dikenakan sebanyak RM150 seorang, maka hampir RM1,000 harus dibelanjakan sekiranya memiliki enam ahli keluarga,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Empat beranak hidup susah dapat duit, keperluan asas

SHAH ALAM, 8 MEI: Nasib empat beranak yang ditimpa kesusahan selepas kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan mendapat perhatian wakil rakyat Rawang.

Chua Wei Kiat yang menziarahi keluarga itu kelmarin menyerahkan bantuan wang tunai dan barangan asas bernilai RM2,600 hasil kutipan orang ramai.

Beliau berkata Nurul Ain Ali, 21, yang kematian suami dua tahun lalu tinggal bersama anak perempuan dan ibu bapanya di rumah sewa dengan kadar RM500 sebulan.

“Beberapa hari lepas saya menerima mesej daripada pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) berkenaan sebuah keluarga yang menghadapi masalah pendapatan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan suami (Ain) maut dan tangannya cedera. Kini, mereka hanya bergantung kepada ibu Ain yang bekerja di restoran dengan pendapatan RM25 sehari,” katanya.

Wei Kiat berkata pusat khidmatnya turut memberi sumbangan bulanan RM200 kepada wanita terbabit melalui program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

Pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) Lee Loong Hin berkata usaha mengumpul dana digerakkan sejak 4 Mei selepas kerap menerima panggilan daripada keluarga tersebut.

“Saya cuba hubungi semula dan dijawab oleh ibu wanita berkenaan yang memaklumkan dia simpan nombor saya semasa mewakili wakil rakyat mengagihkan bantuan makanan tahun lalu.

“Jadi, saya terus bertanyakan jika ada keperluan tidak cukup. Diharap bantuan ini memberi keceriaan kepada mereka sekeluarga untuk menyambut hari raya tidak lama lagi,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Ribuan kilang tanpa kebenaran terima notis patuh syarat operasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 1,800 notis program pematuhan syarat dan penguatkuasaan dihantar kepada pemilik kilang tanpa kebenaran sekitar Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Wakil rakyat Rawang berkata usaha mulai awal bulan ini susulan premis beroperasi tanpa lesen, tiada kebenaran merancang atau kelulusan bangunan dan masalah hak milik tanah.

“Pertemuan bersama Jabatan Perancangan Bandar MPS dibuat untuk memahami arahan tersebut sekali gus membantu memudahkan proses kelulusan kilang yang menjalankan pelbagai aktiviti.

“Mereka perlu diberi penjelasan terperinci sebelum tindakan lanjut supaya penyelesaian menang-menang dapat dicapai,” kata Chua Wei Kiat menambah sebahagian besar kilang berada dalam kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata pengusaha kilang tidak perlu khuatir terhadap notis berkenaan sebaliknya dinasihat memberi kerjasama bagi mengelak tindakan lebih tegas.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan kilang berkenaan dapat dipantau sepanjang masa sekali gus mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta PWB digalak manfaat kemahiran, jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 FEB: Peserta Pusat Wanita Berdaya (PWB) di negeri ini digalak memanfaatkan kemahiran yang ada untuk tambah pendapatan.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata mereka berpotensi memajukan diri jika menggunakan peluang dan ilmu yang dipelajari daripada program anjuran pertubuhan tersebut.

“Wanita PWB antara golongan beruntung kerana Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bidang kemahiran untuk menjana pendapatan.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan agar wanita ini guna peluang ini sebaiknya dan tidak belajar separuh jalan sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Wei Kiat turut menggalakkan pada era norma baharu ini setiap wanita menggunakan medium media sosial untuk memasarkan hasil jualan mereka.

Pada 21 Februari lalu PWB Rawang menganjurkan program belajar membuat kek kukus membabitkan penyertaan 30 peserta yang juga bersiaran secara langsung menerusi Facebook mereka.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat agih makanan segar kepada keluarga B40 Rawang

SHAH ALAM, 28 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang mengagihkan 550 pek makanan segar kepada keluarga kategori berpendapatan rendah (B40) di kawasan terbabit, 24 Januari lalu.

Chua Wei Kiat berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Wei Kiat, makanan seperti ikan, ayam dan sayur diperoleh daripada hab Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) Kuala Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Srikandi Rawang.

“Bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar kita mengambil inisiatif dengan menghantar terus pek makanan segar ini ke kediaman penerima.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka. Malah, ada segelintir keluarga sangat gembira kerana sudah lama tidak dapat merasai makan ikan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Wei Kiat berkata beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu golongan berkenaan.

“Saya bercadang untuk meneruskan inisiatif ini dengan mempelbagaikan jenis bantuan kepada keluarga B40,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Selepas 25 tahun menanti, pembeli terima surat hak milik tanah

SHAH ALAM, 15 JAN: Seramai 72 pembeli asal tanah di Taman Perindustrian Greatyear Capital, Rawang menerima surat hak milik tanah dan notis Borang 5A selepas menanti 25 tahun.

Ahli dewan negeri Rawang berkata jumlah tersebut melibatkan 105 peta lot dengan tawaran diskaun 50 peratus berbanding harga premium asal ditawarkan pada September 2019.

“Sejak 1996, pemilik di perindustrian terbabit mengalami masalah isu geran tanah disebabkan pemaju yang sudah bankrap dan tidak melaksanakan proses pecah bahagian.

“Ketika itu, pemohon sudah membuat pembayaran premium namun mereka (pemaju) tidak membuat urusan seterusnya,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, penyerahan notis dilakukan secara pandu lalu di pejabat penghulu mukim Rawang pada 12 Januari lalu sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Mengulas lanjut, Chua berkata pembeli terbabit diminta membuat pembayaran dalam tempoh tiga bulan untuk menikmati harga diskaun sebelum geran individu dikeluarkan.

“Saya menyeru supaya pemilik membayar premium secepat mungkin bagi menambah hasil cukai Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek ‘sakit’ Jalan Rawang-Batang Berjuntai dijangka siap Mac 2022 – ADN

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerja menaik taraf Jalan B27, Jalan Rawang-Batang Berjuntai (Fasa 2) yang tergendala sejak Ogos tahun lalu ekoran kelemahan kontraktor lama dijangka siap pada Mac 2022.

Ahli Dewan Negeri Rawang berkata projek ‘sakit’ menghubungkan persimpangan Bandar Country Homes ke sempadan daerah Kuala Selangor giat dijalankan kontraktor baharu dilantik sejak akhir Oktober lalu.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik kontraktor ini untuk menyiapkan baki kerja di kawasan tersebut dalam tempoh 18 bulan dengan perbelanjaan bernilai RM35 juta.

“Perbezaan kali ini kontraktor menambah baik jajaran sungai dan menyelesaikan isu penyempitan jalan (bottle neck) berhadapan Kampung Sungai Bakau serta Jalan Saujana Rawang,” katanya Chua Wei Kiat kepada SelangorKini.

Beliau menambah untuk peringkat awal pelaksanaan semula projek terbabit, pihak kontraktor diminta menumpukan kerja penurapan di lokasi terlibat bagi mengatasi isu banjir.

“Sebaik selesai (kerja penurapan), mereka boleh teruskan untuk pelaksanaan kerja yang lebih berat dan komprehensif bagi memastikan ia siap dalam jangka masa ditetapkan,” katanya.

Pada Oktober 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak projek bagi memahami dan mencari penyelesaian terhadap masalah projek berkenaan.

Dalam mesyuarat itu Kerajaan Negeri mengambil keputusan melantik kontraktor penyelamat dan sekiranya tidak dapat menyempurnakan kerja tersebut maka kontrak perlu ditamatkan.

Bagaimanapun, pada Februari tahun lalu, JKR mendapati perkembangan projek tersebut lambat sebelum bertindak menamatkan kontrak kontraktor lama sebelum menjalankan kerja penilaian semula untuk melantik kontraktor baharu.

Categories
ADN SELANGOR

Jahit PPE, wanita dan ibu tunggal raih pendapatan cecah RM120 sehari

SHAH ALAM, 24 OKT: Wanita dan ibu tunggal sekitar Rawang yang mengusahakan pekerjaan jahitan set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas hadapan mampu menjana pendapatan harian antara RM90 hingga RM120 sehari.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata pulangan itu berdasarkan keupayaan menyiapkan kira-kira 15 hingga 20 jahitan sehari dengan memperoleh RM6 bagi setiap PPE dihasilkan.

Menurutnya projek jahitan bermula awal bulan lalu membabitkan kerjasama ahli parlimen Selayang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Mercy dan Pertubuhan Srikandi Rawang.

“Kita mengambil inisiatif ini untuk membantu ekonomi rakyat terutama wanita dan ibu tunggal yang hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19.

“Jahitan PPE fasa pertama juga sudah dihantar ke Sabah untuk kegunaan petugas hadapan di sana,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak enam mesin jahit disediakan di Pusat Komuniti Parlimen Selayang yang diwujudkan akhir tahun lalu menerusi peruntukan ahli parlimen tersebut.

“Selain mesin jahit, pusat komuniti dilengkapi dapur dan sistem siar raya malah program wanita boleh dijalankan di pusat ini seperti kelas memasak, menjahit dan nyanyian,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kerja pembersihan Sungai Jalan Station atasi masalah banjir

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerja pembersihan kawasan Sungai Jalan Station, Batu Arang dijangka siap sepenuhnya minggu ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan tugas bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya Batu Arang bukan kawasan tumpuan banjir tetapi kawasan anak sungai ditutupi rimbunan pokok kecil yang menyebabkan aliran air tersekat.

“Saya mengadakan lawatan selepas menerima aduan bagi mengenal pasti punca kepada masalah berlaku bulan lalu,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi.

Pada 11 September lalu kejadian banjir kilat berlaku di Batu Arang disebabkan limpahan air yang tidak dapat mengalir dengan lancar berikutan hujan lebat.