Categories
SELANGOR

Kematian bekas calon AMK, penjenayah makin berani

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JAN: Polis DiRaja Malaysia digesa memperketatkan kawalan keselamatan orang awam dengan membuat rondaan lebih kerap khususnya di kawasan sunyi atau perumahan.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kejadian yang menimpa bekas calon Angkatan Muda KEADILAN (AMK), M Thiyahu, yang maut ditetak membuktikan penjenayah semakin berani walaupun waktu siang.

“Ini suatu tindakan jenayah yang sangat serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia membabitkan nyawa manusia.

“Bayangkan penjenayah pada hari ini sudah berani untuk melakukan jenayah pada siang hari dan di tempat awam tidak lagi malam dan tempat yang tersorok atau terpinggir, dari laluan orang ramai.

“Berapa lagi nyawa yang akan melayang di tangan penjenayah sebegini selepas ini?,” soalnya yang juga Setiausaha Pengelola AMK Malaysia, dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mahu polis mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman setimpal kepada penjenayah yang terbabit dalam kes berkenaan.

Pada masa sama, Wei Kiat menzahirkan rasa dukacita dalam kejadian yang berlaku.

“Kami daripada pihak KEADILAN dan AMK ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa. Kami turut bersedih dengan kehilangan,” katanya.

Terdahulu, mendiang maut ditetak dengan parang di sebuah flet di Jalan Plumbum, di sini dan dikatakan mengalami kecederaan parah di muka, kepala, tangan serta kaki.

 

Categories
SELANGOR

Sepantas 10 minit ADN Rawang respon masalah jalan rosak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 FEB : Kurang daripada sepuluh minit aduan dibangkitkan pengguna Facebook, Spark Nauza berhubung kerosakan di Jalan Bandar Rawang 2, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Gan Pei Nei segera memberi respon terhadap perkara tersebut.

Kata Pei Nei, masalah itu dibawa kepada Jabatan Kerja Raya Gombak dan pihak terbabit untuk tujuan tindakan lanjut dan penambahbaikan.

FB_IMG_1456210424296“Aduan ini dikemukakan untuk tindakan JKR Gombak,” tulisnya pada ruangan komen pengguna laman sosial berkenaan.

Gan mengulas kebimbangan dibangkitkan pengguna laman sosial terbabit berhubung masalah jalan berlubang yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motorsikal.

Tindakan pantas Pei Nei itu turut mendapat pujian beberapa pengguna laman sosial itu.

Dalam pada itu, kerosakan jalan itu dipercayai berpunca daripada tindakan kontraktor yang melakukan kerja penambahbaikan saluran pendawaian di kawasan terbabit.

Screenshot_2016-02-23-14-52-30-254“Ini kerja kontraktor TNB. Mereka korek lubang dan masukkan wayar pada waktu malam.

“Oleh kerana belum siap, mereka tutup dengan papan besi. Tapi mereka tutup lubang itu agak cincai (tidak sempurna),” tulis pengguna Facebook, Rawang Ku.

Kawasan itu juga dikatakan berdekatan dengan Mcd Donalds, Rawang.

Sehingga berita ini ditulis, status berkenaan dikongsikan lebih 60 perkongsian di Facebook.

EZY