Categories
ADN SELANGOR

Pertimbang kurangkan kadar sewa gerai bantu peniaga kecil terjejas

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang semula kadar sewa gerai milik pihak berkuasa tempatan untuk membantu peniaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata pendapatan golongan itu kebanyakan merosot susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun ini.

“Kerajaan Negeri perlu mengambil perhatian peniaga yang menyewa di gerai-gerai majlis dengan mempertimbang kadar bayaran sewa memandangkan perniagaan mereka terjejas akibat pandemik.

“Kerajaan Negeri juga diharap dapat mempertimbang untuk menambah lagi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor kepada rakyat terutama golongan peniaga,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Halimey turut menyokong langkah Selangor meminjamkan stok vaksin kepada negeri lain namun berharap ia tidak menjejaskan proses suntikan penduduk negeri ini.

“Inisiatif kerajaan Negeri membeli vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) terbukti berkesan dalam membantu memberi suntikan kepada rakyat.

“Namun saya berharap bekalan vaksin di Selangor dapat dipastikan sentiasa mencukupi walaupun terpanggil membantu kerajaan persekutuan,” katanya.

Kerajaan Negeri meminjamkan 500,000 dos bekalan vaksin yang dibeli kepada Pasukan Petugas
Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan tersebut ketika ini.

Categories
ADN SELANGOR

Pengurusan sampah DUN Seri Setia efektif, aduan berkurang

PETALING JAYA, 16 FEB: Pengurusan sisa pepejal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menunjukkan kesan positif selepas diambil alih KDEB Waste Management (KDEBWM), kata ahli dewan negerinya.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya juga tidak menerima banyak aduan berhubung masalah kutipan sampah di tapak yang boleh menyebabkan gangguan bau.

“Tahap kebersihan di lokasi juga semakin bersih berbanding sebelum ini. Justeru, saya berharap KDEBWM sentiasa menjaga prestasi kontraktor supaya tiada aduan,” katanya pada Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Seri Setia di Giant Hypermarket Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Petaling Jaya Zon 24, Nurainie Haziqah Shafi’i.

Katanya, kesedaran komuniti terhadap pengurusan sampah bermula di kediaman masing-masing juga semakin meningkat.

“Kesedaran masyarakat berbeza jika dibandingkan sebelum ini memandangkan di kawasan Seri Setia kebanyakan Badan Pengurusan Bersama berganding bahu antara satu sama lain,” katanya.

KDEBWM yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal di Selangor berjaya mengurangkan aduan sejak Mac 2017.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Fokus selesai isu PPR Lembah Subang

PETALING JAYA, 16 FEB: Penyelesaian isu pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang untuk kesejahteraan penduduk menjadi fokus utama ahli dewan negeri Seri Setia .

Halimey Abu Bakar berkata komitmen itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun PPR terbabit akan diambil alih Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bagi pihak Kerajaan Negeri.

“Justeru, tumpuan kita ialah harus membantu Kerajaan Negeri (menyelesaikan isu pengurusan dan pelepasan tapak PPR Lembah Subang) pada masa akan datang.

“Saya yakin kerjasama antara pihak parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) dapat membantu masyarakat yang terpinggir,” katanya pada Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Seri Setia di Giant Hypermarket Kelana Jaya di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Pada masa sama, Halimey berkata pihaknya menawarkan perkhidmatan Klinik Khidmat Masyarakat bagi memudahkan urusan penduduk setempat menghantar borang dan membuat sebarang permohonan.

“Perkhidmatan ini akan beroperasi pada Khamis minggu pertama dan ketiga setiap bulan bermula dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Untuk minggu ketiga, ia melibatkan penyertaan Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN sokong larangan merokok di premis makanan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Larangan merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa semalam mendapat sokongan orang ramai termasuk Halimey Abu Bakar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu berkata, larangan itu diperlukan kerana merokok bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, namun turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

“Saya bukan seorang perokok, namun keputusan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menguat kuasakan arahan itu amat dipersetujui dan disokong.

“Cadangan untuk memperluaskan kawasan larangan merokok yang diuar-uarkan seperti di dobi dan hotel satu tindakan yang bagus,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Justeru, beliau menasihati perokok supaya mengikuti undang-undang yang sudah ditetapkan kerajaan.

Terdahulu, KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan terbabit.

Malah, tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).