Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 12 FEB: Seramai 200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal anjuran MPP Zon 9, Sri Muda, bertempat di Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, program itu bertujuan meraikan perayaan bagi masyarakat India di kawasan berkenaan.

“Setiap tahun kita mengadakan program ini di lokasi berbeza dan melalui program seumpama ini, diharapkan masyarakat sekeliling tahu bahawa saya ada turun kawasan.

“Ini juga adalah landasan terbaik yang mana saya dapat mendengar luahan masalah dan isu berbangkit dari penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Pesta Ponggal di sini, semalam.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, lebih 70 peratus isu berbangkit di kawasan itu berjaya diselesaikan sehingga kini.

Katanya, ia termasuk isu setempat seperti masalah masjid, pasar, banjir dan jenayah.

“Ada masalah yang sampai ke pengetahuan kita dan ada yang sebaliknya.

“Diharap masyarakat dapat bersama-sama membantu menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang masalah atau cadangan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

ADN Sri Muda beramah mesra dengan masyarakat India

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 11 FEB: Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei hari ini beramah mesra dengan masyarakat India di Batu 4, Kampung Jawa di sini.

Dalam program mesra rakyat itu, Shuhaimi turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada kira-kira 70 masyarakat India di kawasan itu.

Shuhaimi berkata, program itu telah dijalankan sejak tahun lepas di enam lokasi berbeza di bawah DUN Sri Muda.

“Melalui program ini, kita telah memberikan bantuan kepada 800 penerima yang diberikan secara berperingkat.

“Diharapkan bantuan ini dapat digunakan sempena sambutan perayaan Ponggal masyarakat India,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, seorang suri rumah, P. Kanniamah, 44, berkata, pemberian bantuan asas itu memberi manfaat kepada dirinya dan keluarga.

“Saya gembira kerana nasib golongan yang kurang berkemampuan dibantu,” katanya.

Bagi K. Valia, 39, bantuan itu dapat meringankan beban kewangannya untuk membeli barang keperluan dapur.

“Bantuan ini telah menjimatkan kos kami sekeluarga. Semoga ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=