Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

ADN gesa PM tidak politikkan isu banjir, tiada amaran awal bah besar di Selangor

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya menggesa perdana menteri tidak mempolitikkan isu banjir besar yang melanda Selangor hujung tahun lalu.

Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Michelle Ng Mei Sze berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga didapati tidak mengeluarkan amaran awal bah di negeri ini.

“Pada jam 3.45 petang, Selangor diramal hujan dalam kategori kuning (waspada) – daerah-daerah yang teruk terjejas Petaling, Klang, Hulu Langat tidak disebut.

“Ramalan jam 11.50 malam – tiada hujan,” katanya, merujuk ramalan hujan MetMalaysia di media sosial pada 17 Disember.

“Pada 18 Disember, ramai yang terkandas. Tetapi ramalan pada 12 tengah hari, perhatikan Selangor masih disenarai dalam kategori kuning – waspada, bukan buruk.”

Walau tiada amaran hujan luar jangka daripada MetMalaysia, kata Michelle lagi, pentadbiran Selangor mula menggerakkan usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir.

“Wakil-wakil rakyat sudah bergerak di kawasan-kawasan banjir,” katanya. “Hanya pada jam 2 petang (18 Disember), Selangor tiba-tiba diramalkan dalam keadaan bahaya (kategori merah).”

Penduduk Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya membersihkan kediaman selepas dilanda banjir ketika tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut ada kelemahan di peringkat negeri dan daerah Selangor sehingga memaksanya campur tangan.

“Sikap Ismail Sabri mempolitikkan bencana ini berunsur tidak bertanggungjawab. Apakah ini tujuan mesyuarat khas Parlimen? Tolonglah, jadilah seorang negarawan,” kata ADN itu lagi.

“Jelaslah Kementerian Alam Sekitar dan Air khususnya MetMalaysia perlu diperkasakan agar dapat memberi ramalan yang lebih tepat, jadi semua agensi berkaitan dapat bersiap sedia. Apa rancangan perdana menteri?”

Dalam ucapan yang sama, perdana menteri mengakui kejadian banjir di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat harap peruntukan isu kesihatan mental dikekalkan

SHAH ALAM, 23 OKT: Ahli dewan negeri Subang Jaya mahu peruntukan berkaitan isu kesihatan mental dikekalkan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Michelle Ng Mei Sze berkata harapan itu selepas mengambil kira kepentingan kesihatan mental penduduk terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Saya tidak minta Kerajaan Negeri menambah peruntukan kesihatan mental tetapi harapan saya peruntukan ini tidak dikurangkan.

“Kesihatan mental perlu dipandang serius terutama dalam keadaan pandemik,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 semalam.

Michelle turut memuji fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang disifatkan mudah dan amat membantu golongan yang memerlukan khidmat nasihat.

“Platform SEHAT ini bagus dan ada potensi untuk dibangunkan lagi, saya berharap Kerajaan Negeri akan menambah baik lagi usaha ini menerusi peruntukan Belanjawan Selangor akan datang,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntuk RM40,000 naik taraf taman permainan, gelanggang futsal

SUBANG JAYA, 23 OKT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk hampir RM40,000 bagi menaik taraf taman permainan dan gelanggang futsal di USJ6 di sini.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak RM19,978 dibelanja untuk membaiki kerosakan taman permainan serta RM19,982 bagi gelanggang futsal.

“Kami terima laporan keadaan peralatan di gelanggang dan taman permainan di sini agak teruk dan perlu dibaik pulih demi keselesaan penduduk untuk beriadah.

“Kerja naik taraf siap pada awal Oktober dan saya harap penduduk menjaga kemudahan disediakan selain mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) mencegah Covid-19,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 di sini semalam.

Menurut Michelle kemudahan taman dan gelanggang futsal yang berwajah baharu turut memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja yang terkurung selama dua tahun susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya difahamkan setiap petang atau hujung minggu tapak ini dihadiri lebih 40 kanak-kanak dan remaja. Oleh itu, saya rasa dengan sumbangan baik pulih ini dapat memberi keselesaan untuk mereka beriadah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Juan Lee turut berterima kasih kepada ADN Subang Jaya kerana menaik taraf fasiliti kawasan tersebut dan berharap masyarakat setempat tidak melakukan kerosakan.

“Bagi memperindahkan lagi kawasan ini, kita cadangkan pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meletakkan papan tanda seperti meminta pengunjung menjaga SOP,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Subang Jaya terima bakul makanan, baucar RM100

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan lebih RM300,000 untuk menyediakan bantuan makanan kepada 3,554 golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Michelle Ng Mei Sze berkata setiap penerima mendapat bakul makanan dan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus di pasaraya terpilih.

Jelasnya baucar makanan turut diberikan kerana ada penerima memerlukan diet tertentu mengikut tahap kesihatan mereka.

“Mereka boleh memilih barangan makanan sesuai dengan diet mereka, jadi tidak ada pembaziran berbanding kalau kami beri bantuan yang sudah ditetapkan.

“Selain itu kami juga berterima kasih kerana ada penderma yang tampil membantu membolehkan lebih ramai penduduk dibantu ketika PKP,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

‘Abang Polis’ payung warga emas ketika hujan terima penghargaan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Sikap prihatin seorang anggota polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, yang bertindak memayungkan seorang warga emas dalam keadaan hujan lebat Ahad lalu, bukan sahaja mendapat pujian daripada warga maya, tetapi turut mendapat penghargaan daripada wakil rakyat kawasan itu.

Bagi Koperal Fairul Azizi Che Mansor, 36, surat penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng bukan sahaja istimewa buat dirinya, tetapi juga pengiktirafan kepada pasukan beruniform itu yang bakal menyambut hari ulang tahun ke-214 esok.

“Surat penghargaan ini mungkin biasa bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini merupakan satu bentuk penghargaan masyarakat kepada anggota keselamatan yang berkhidmat tanpa mengenal jemu semata-mata demi keselamatan orang ramai.

Foto: BERNAMA

“Ia akan menjadi pembakar semangat saya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat selepas ini,” katanya yang menerima surat penghargaan itu dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, semalam.

Menceritakan kembali kejadian pada Ahad lalu, Fairul Azizi berkata beliau ketika itu berada di kaunter pertanyaan sebelum terpandang seorang warga emas dalam lingkungan 70-an kelihatan dalam kepayahan untuk keluar daripada kereta dengan menggunakan sepasang topang dalam keadaan hujan lebat.

“Saya hanya membantu dengan meminjam payung daripada pengadu yang ada di balai ketika itu dan pergi ke arah lelaki itu untuk membantu, tetapi saya tidak sangka video perkara itu tular sehingga mendapat perhatian netizen di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Sejak dua hari lalu tular di media sosial video yang memaparkan tindakan seorang anggota polis memayungkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) itu yang pergi ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan tentang kes kemalangan yang dialami.

Keadaan hujan lebat ketika itu menyebabkan pakaian warga emas itu basah sehingga anggota polis itu mengambil inisiatif memberikan pakaian miliknya kepada warga emas itu.

Video yang turut dimuat naik di laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Subang Jaya telah meraih sebanyak lebih seribu tanda suka dan dikongsi sebanyak 409 kali.

Sementara seorang pengguna Facebook Arjuna Niezam meninggalkan komen “polis dan masyarakat berpisah tiada, itu pun ada yang mengutuk dan menghina polis dek hanya segelintir anggota yang bermasalah”.

Seorang lagi pengguna media sosial itu Adam Musa menulis “terbaik dan semoga kita akan menjadi contoh macam abang polis”.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Bin Othman menghargai sikap masyarakat yang nampak kebaikan yang dilakukan oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kelab Lions Subang Jaya sumbang 100,000 pelitup muka

SUBANG JAYA, 8 NOV: Kelab Lions Subang Jaya menyumbang 100,000 pelitup muka untuk kanak-kanak di Sabah bagi berdepan pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Jimmy Yeap berkata pelitup muka perubatan tiga lapis untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu akan diterbangkan minggu hadapan.

“Dengan kerjasama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di sana, sumbangan diserahkan melalui lawatan ke hospital, sekolah serta perkampungan.

“Kita faham kesukaran mendapatkan pelitup muka terutama di kawasan pendalaman jadi berharap inisiatif ini dapat membantu penduduk di sana,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya menghargai usaha dilakukan kelab itu dan menganggap ia sebagai satu usaha harmoni.

“Sumbangan ini dapat mengurangkan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak. Saiz pelitup muka sesuai dapat melindungi mereka,” kata Michelle Ng.

Categories
ADN SELANGOR

Penghadang jalan elak kemalangan di SMK Subang Utama

SHAH ALAM, 14 FEB: Pembinaan penghadang jalan sepanjang 75 meter oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mengelakkan kemalangan serta kesesakan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Subang Utama, kata Ahli Dewan Negeri Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata projek itu yang siap pada Januari lalu itu dapat mengelakkan ibu-bapa dari meletak kenderaan di bahu jalan ketika menghantar mahupun mengambil anak dari sekolah terbabit.

“Sebelum ini apabila mereka meletakkan kenderaan di situ, ia bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi turut mendatangkan risiko kepada pemandu di sepanjang jalan SS18, ia kerana trafik bagi kawasan itu agak laju dan sesak.

“Saya bersyukur kerana MPSJ mengeluarkan peruntukan RM18,000 bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi penghadang jalan raya di SMK Subang Utama bersama Ahli Majlis MPSJ, Ken Chia serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Subang Utama.

Categories
ADN SELANGOR

Lawatan ke DNS beri pendedahan awal kepada pelajar

SHAH ALAM, 11 NOV: Pengalaman berharga buat belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya apabila diberi peluang berkunjung ke Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi melihat secara lebih dekat perjalanan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kedua DNS yang Ke-14, hari ini.

Lawatan anjuran pejabat DUN itu disertai seramai 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ12 bersama tiga guru pengiring.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, program itu sebagai pendedahan kepada pelajar berkaitan sistem pentadbiran dan polisi di negara ini selain memberi peluang menyaksikan sesi perbahasan isu-isu semasa di DNS.

“Pada masa sama, kita mahu mereka bergaul dan mengenali kesemua ADN yang terdapat di Selangor kerana mungkin ada dalam kalangan mereka masih tidak mengenali wakil rakyat setempat.

“Kita juga mahu meningkatkan kesedaran pelajar berhubung sistem pilihan raya di negara ini memandangkan mereka yang berumur 15 tahun dibenarkan mengundi pada pilihan raya akan datang selepas had mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Sesi Perjumpaan Bersama ADN Selangor untuk Belia DUN Subang Jaya, di Bilik Gerakan Bangunan Annex, di sini.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

1,000 perhiasan diedar naikkan semangat Tahun Baru Cina

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Bersempena sambutan Tahun Baru Cina, Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya mengedar kira-kira 1,000 barang perhiasan kepada penduduk disekitarnya, semalam.

ADN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, sambutan Tahun Baru Cina akan lebih meriah selain dapat menaikkan semangat dalam menyambutnya jika rumah dan kawasan sekitar dihiasi dengan perhiasan yang menarik.

“Tahun ini, kita mengedarkan kepada penduduk Subang Jaya di tiga lokasi berbeza iaitu pasar PJS 7, pasar SS 15 dan restoran USJ 14.

“Acara seperti ini saban tahun kita adakan bertujuan mengeratkan hubungan sesama penduduk dan wakil rakyat,” katanya.

Turut hadir memeriahkan suasana adalah Ahli Majlis MPSJ, Wan Hock Leong.

=EZY=