Categories
ADN SELANGOR

3,000 penduduk DUN Sungai Kandis terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 19 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memperuntuk RM50,000 membantu golongan terjejas pandemik Covid-19 terutama keluarga berpendapatan rendah (B40) sepanjang tahun ini.

Wakil rakyatnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata bantuan makanan asas diberikan sebagai langkah memastikan penduduk tidak terputus bekalan makanan.

“Jumlah berkenaan melibatkan kira-kira 3,000 penerima termasuk perantau dari negeri lain yang tinggal dalam DUN Sungai Kandis.

“Serahan dibuat menerusi beberapa pihak antaranya ketua kampung dan ahli majlis. Langkah ini dapat memastikan sumbangan sampai kepada golongan sasar,” katanya pada majlis pelancaran Buku Arif Belanja 2021 di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

Menurutnya bantuan juga akan diteruskan ketika Ramadan ini bagi memudahkan golongan kurang berkemampuan dapat menyediakan persiapan lengkap.

“Kita akan santuni mereka dan pastikan golongan ini akan menyambut bulan puasa dengan sempurna,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

1,000kg ikan murah habis dijual dalam dua jam

SHAH ALAM, 10 FEB: Program Jualan Murah Ikan Segar anjuran Pusat Khidmat Sungai Kandis yang julung kali diadakan semalam mendapat sambutan menggalakkan apabila 1,000 kilogram ikan segar habis dijual dalam tempoh dua jam.

Ahli Dewan Negerinya berkata jualan di Padang Rakyat Jalan Kebun menawarkan ikan sardin, cencaru dan mabong dengan harga RM7 sekilogram.

“Kita mahu membantu penduduk mendapatkan gizi makanan terbaik untuk keluarga dengan harga yang terjangkau dan sambutan di luar jangka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menurutnya, program akan diteruskan di kawasan penduduk berpendapatan rendah seperti Johan Setia, Bandar Putera 2, Kampung Bukit Naga, Bandar Putera, Kampung Sungai Kandis, Teluk Menegun, Kampung Jawa dan Andalas.

Categories
ADN SELANGOR

Projek naik taraf jalan berlarutan, penduduk diminta bersabar

SHAH ALAM, 27 DIS: Isu kerja menaiktaraf Jalan Lombong, Seksyen 29 yang berlarutan sejak tiga tahun lalu akan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri dengan segera kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis hari ini.

Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, kelewatan kerja naik taraf itu mengakibatkan pelbagai masalah berbangkit termasuk keselamatan penduduk yang perlu diberi perhatian serius.

“Pemantauan kami mendapati kawasan itu bukan sahaja berdepan dengan kelewatan projek tetapi isu saliran yang dibina tidak mengikuti standard perparitan, masalah pengalihan utiliti dan pembinaan jejambat.

“Banyak isu yang menyebabkan projek menaiktaraf ini memakan masa lebih tiga tahun. Kerja pembinaan jalan ini juga ‘substandard’. Banyak lori pasir serta treler turut menggunakan laluan sama menyebabkan jalan rosak serta berlubang teruk sepanjang jalan.

“Saya akan bertemu dengan pihak berwajib untuk melihat semula keraguan terhadap masalah kerja menaiktaraf ini yang begitu membimbangkan banyak pihak,” katanya kepada SelangorKini.

Malah, Zawawi berkata, pembukaan jalan sementara untuk memudahkan pengguna juga dalam keadaan tidak selamat.

“Pemasangan palang bagi menghalang kemasukan lori juga tidak strategik, jadi kita perlu mencadangkan ia dipasang di tempat yang betul. Kita akan memanggil semua agensi yang terbabit untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu penduduk supaya bersabar dan memberi ruang kepada semua pihak menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Kerosakan jalan yang teruk di kawasan itu meresahkan penduduk. Hal itu kerana kerosakan jalan dengan lubang sebesar ‘kawah’ di sepanjang jalan membahayakan pengguna. Lebih buruk, penduduk terpaksa ‘beralah’ dengan lori hantu yang turut menggunakan laluan sama dipercayai ke kawasan pembinaan.

Difahamkan, beberapa kali penunggang motosikal dan kereta terhumban ke permukaan jalan pada waktu malam kerana tidak perasan kewujudan lubang di tengah laluan.

Terdahulu, penduduk Kampung Lombong menggesa satu perjumpaan diaturkan dengan pihak kontraktor serta Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan penjelasan berhubung status terkini projek pelebaran jalan di kawasan terbabit.

Categories
SELANGOR

Jadikan krisis air Klang sebagai pengajaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Krisis ketiadaan bekalan air hampir lima hari di beberapa lokasi sekitar Klang perlu dijadikan iktibar buat pihak bertanggungjawab, kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis,
Ahmad Zawawi Mohd Mughni.

Katanya, insiden itu diharap dapat membuka mata pihak berkaitan supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan membaiki kelemahan serta kekurangan menghadapi bencana.

“Sesungguhnya pengalaman ini amat berharga dan banyak hikmah yang dipelajari daripada krisis ini.

“Marilah kita bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan hidup bersama,” katanya dalam kenyataan.

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang berlaku susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip.

Ia ekoran mereka perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah, pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zawawi turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Air Selangor yang sabar dan tabah menghadapi cabaran Ramadan.

“Tahniah kerana bersabar menghadapi reaksi yang pelbagai daripada masyarakat.

“Tidak ketinggalan pasukan sukarelawan dan petugas dari Pusat Khidmat DUN Sungai Kandis yang bekerjasama serta membantu menyelaras bantuan air,” katanya.

Categories
SELANGOR

DNS: ADN Sungai Kandis angkat sumpah jawatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negeri Selangor (DNS), di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Majlis angkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Speaker, Ng Suee Lim.

Majlis berlangsung ketika Perasmian Persidangan Penggal Pertama DNS kali ke-14 tahun 2018.

Mohd Zawawi sebelum ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu dengan majoriti 5,842 undi.

Beliau berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy dengan meraih 15,427 undi.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan KEADILAN mengekalkan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Shuhaimi memenangu kerusi DUN Sungai Kandis dengan memperoleh 23,998 undi mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).