Categories
PBT SELANGOR

Pasukan pemantau MBSA perkasa urusan aduan penduduk setempat

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menubuhkan pasukan pemantau bagi memperkasa pengurusan aduan awam di semua kawasan di bawah pentadbirannya.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, Shahrin Ahmad berkata pasukan yang dianggotai 112 kakitangan pelbagai jabatan, bahagian dan pejabat cawangan akan memantau seluruh 56 seksyen bawah pentadbiran MBSA.

Menurutnya, sebanyak 28 pasukan terdiri empat ahli bagi setiap kumpulan terlibat dalam pasukan berkenaan dan mereka akan mengenal pasti lebih awal isu dan masalah berpotensi yang disalurkan komuniti.

“Pasukan ini dibahagikan mengikut zon iaitu 12 pasukan di zon Tengah (Seksyen 1 hingga Seksyen 24), 10 pasukan di zon Utara (seksyen U1 hingga Seksyen U20), enam pasukan zon Selatan (Seksyen 25 hingga Seksyen 36) dengan setiap pasukan memantau dua Seksyen.

“Pada peringkat permulaan, pasukan pemantau aduan akan memberi tumpuan kepada lima kategori aduan yang mencatatkan aduan tertinggi iaitu sampah, lampu, pokok, jalan dan papan tanda jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahrin berkata pengurusan aduan awam perlu diperkasa bagi memperkasa kesejahteraan, keselesaan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Penubuhan pasukan pemantau adalah komitmen berterusan MBSA untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan serta memperbaiki sistem pengurusan aduan awam demi kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan aduan boleh menghubungi pusat panggilan aduan MBSA di talian bebas tol 1-800-88-4477 atau laman sesawang www.aduan.mbsa.gov.my atau aplikasi I-adu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Talian SELamat beri bantuan segera, operasi 24 jam

SHAH ALAM, 10 NOV: Talian khas SELamat beroperasi 24 jam bagi membolehkan bantuan diberikan kepada pemanggil dengan kadar segera.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata talian dikendalikan kakitangan pejabatnya bermula jam 9 pagi hingga 5 petang manakala selepas waktu itu panggilan diterima oleh sukarelawan.

“Setakat ini kita menerima pelbagai jenis panggilan selain keganasan rumah tangga iaitu berkaitan bantuan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan yang boleh mereka hubungi.

“Menerusi talian ini, kita mahu mencipta ekosistem Kerajaan Negeri bersama agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama melibatkan keganasan rumah tangga,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian watikah lantikan pegawai Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Projek Pengarusperdanaan Gender sesi 2021/2022 di Foyer SUK hari ini yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Talian khas SELamat dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga dan masyarakat boleh menghubungi di talian 03-64195027.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 50 peratus aduan berkait larangan bekerja dari rumah

PENDANG, 13 JULAI: Aduan membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR), merekodkan hampir 50 peratus aduan yang diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi ‘Working for Workers’, sejak 1 Feb hingga Ahad lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 2,292 aduan berkaitan isu itu diadukan oleh pekerja, lebih tinggi berbanding isu-isu lain termasuk berkaitan gaji tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat (1,414 aduan) dan potongan upah tidak mengikut undang-undang (462 aduan).

“Kita menerima 5,675 aduan dari Februari hingga semalam menerusi aplikasi itu, berkenaan majikan yang mendiskriminasi hak pekerja dan daripada jumlah ini sebanyak 4,105 aduan, telah diambil tindakan.

“Ini tidak patut berlaku kerana kerajaan telah melancarkan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang mana kerajaan membantu majikan membayar gaji pekerja mereka.

“Kita akan teruskan operasi bagi mengesan majikan yang mendiskriminasikan hak pekerja dan akan berkolaborasi dengan agensi serta kementerian terlibat, untuk keluarkan kompaun dan buka kertas siasatan jika perkara ini terus berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Parlimen Pendang hari ini.

Sementara itu, Awang berkata sebanyak 806 kertas siasatan dibuka, di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) terhadap majikan, atas pelbagai kesalahan sejak Februari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 130 kes telah didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM487,000, dan sebanyak 408 kes pula dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM5,534,000.

“Sebanyak 49 arahan pindah turut dikeluarkan, melibatkan 49 majikan dengan 2,930 pekerja terlibat. Bagaimanapun, setiap aduan akan kita buat siasatan terlebih dahulu, dengan bertemu majikan sama ada aduan diterima betul atau bagi ‘win-win situation’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JKR terima 267 aduan jalan rosak akibat banjir

GUA MUSANG, 9 JAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima sebanyak 267 laporan berhubung kerosakan jalan raya, jambatan, cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda banjir.

Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata negeri terbabit ialah Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor.

Beliau berkata antara kerosakan dilaporkan membabitkan 141 jalan, 58 cerun runtuh, lapan jalan mendap dan tiga jambatan rosak.

“Kita sudah mengarahkan semua JKR negeri terbabit supaya memantau keadaan itu supaya tidak membahayakan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jalan di Lojing, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat disampaikan pemangku Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail berhubung kejadian tanah runtuh pada Ahad lepas yang menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing di KM92 rosak, dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur.

Kerosakan sepanjang hampir dua kilometer menyebabkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan hanya dibuka satu lorong sejak petang semalam, selepas kerja pembersihan dijalankan.

Mohamad Zulkefly berkata kajian akan dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan terbabit.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rasa ditindas, pekerja disaran lapor Jabatan Tenaga Kerja

PELABUHAN KLANG, 14 FEB: Pekerja yang berasa ditindas, tidak dijaga kebajikan atau menerima gaji tidak setimpal, boleh membuat laporan mengenainya kepada pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata ini kerana menjadi tanggungjawab majikan mewujudkan persekitaran selesa selain menjaga kebajikan warga kerjanya.

Beliau berkata majikan yang gagal menjaga kebajikan pekerja juga boleh dikategorikan sebagai menggaji ‘buruh paksa’.

“Majikan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan ini perlu memastikan wujudnya keselesaan kepada golongan itu selepas seharian bekerja.

“Kita juga mahu mengingatkan orang awam menjadi mata dan telinga JTKSM sekiranya mengetahui ada majikan melanggar peraturan pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan jabatan itu di sebuah kilang perabot di sini, semalam.

Mohd Asri berkata majikan kilang perabot di Telok Gong itu didapati melanggar Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.

Katanya majikan berkenaan menyedia penginapan dalam persekitaran kotor, daif dan sistem perparitan tidak diselenggara yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan pekerja.

“Kita juga mendapati majikan di kilang ini melanggar beberapa elemen Akta Kerja 1955 berkaitan gaji pekerja. Kita akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut dan sekiranya didapati bersalah, kertas siasatan terhadap mereka akan dibuka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBPJ berjaya selesai 95% aduan awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Hampir 95 peratus daripada aduan melalui sumber dan saluran awam berjaya diselesaikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

????????????????????????????????????

Timbalan Datuk Bandar, Johary Anuar berkata, sejumlah 17,128 direkodkan sehingga November lalu diselesaikan dalam tempoh 48 jam.

Katanya, tahap penyelesaian aduan di peringkat jabatan juga merekodkan peningkatan positif khususnya aduan kritikal.

“Peratusan tahap penyelesaian aduan bagi kategori 1 dan 2 mencapai penyelesaian 90 hingga 95 peratus.

“Manakala, bagi aduan kategori 3 dan 4, purata peratusan tindakan penyelesaian adalah antara 70 hingga 75 peratus,” katanya baru-baru ini.

Johary berkata, jumlah aduan yang diterima turut menunjukkan pengurangan positif lapan peratus berbanding tahun sebelumnya.

“MBPJ akan terus berusaha memberi komitmen tinggi terhadap penyelesaian aduan bagi memastikan kelestarian Petaling Jaya secara khususnya.

“Saya berharap ketua jabatan akan terus memberi perhatian yang serius terhadap aduan dan perkhidmatan disampaikan penduduk Petaling Jaya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ tubuh task force tingkat kecekapan urus aduan awam

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 30 SEPT : Satu jawatankuasa bertindak ditubuh bagi mengkaji dan menyaran penambahbahbaikan proses pengurusan aduan awam memantapkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MBPJ berkata inisiatif memperkemas Sistem Pengurusan Perhubungan Pelanggan (SPPP) itu melibatkan pengkelasan aduan awam kepada 4 tahap iaitu kritikal, segera, biasa dan tidak kritikal; penyediaan Prosedur Operasi Piawai (SOP); dan penyediaan Perjanjian Aras Perkhidmatan (SLA).

“Setiap aduan, teguran-teguran dan cadangan-cadangan daripada orang awam dilihat sebagai satu proses memberi maklumbalas yang membina, positif dan kearah penambahbaikan.

SPPP membolehkan dan memudahkan aduan yang dibuat oleh penduduk Petaling Jaya direkod, di pantau dan diambil tindakan oleh Jabatan atau Bahagian yang berkenaan.

Jawatankuasa khas itu akan pengerusikan Ahli Majlis Zon 20, Sean Oon Chong Ling dan dianggotai oleh tiga lagi Ahli Majlis iaitu Tang Fui Koh, Ang Ming Ern dan Azizi Ariffin, serta semua jabatan yang terlibat dalam pengurusan aduan awam.

Setiap hari Rabu ditetapkan sebagai hari untuk memantau tindakan penyelesaian aduan diambil tindakan oleh Jabatan atau Bahagian terlibat. Setiap hari Jumaat minggu pertama ditetapkan sebagai hari untuk orang-ramai mengemukakan aduan terus kepada pegawai-pegawai MBPJ.

“MBPJ mengambil pendekatan dan sikap terbuka dan prihatin terhadap permasalahan masyarakat yang berkaitan dengan perkhidmatan kami,” jelas kenyataan itu lagi.

Orang ramai boleh mengemukakan aduan perkhidmatan MBPJ di talian hotline Majlis 03-79542020, emel – [email protected], laman web www.mbpj.gov.my, sistem pesanan ringkas (SMS) ke 33213 atau fakskan ke talian 03-79551804.

HM