Categories
SELANGOR

Program Adun Muda kembali lagi 9 Disember

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 NOV: Pelajar dan belia berpeluang menyertai Program Adun Muda Selangor 2015 bagi Sesi III bermula 9 hingga 10 Disember ini.

Pegawai Penyelaras Pejabat Speaker, Joyce Chow, berkata seramai 56 anak muda dipilih untuk menyertai program itu dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, ia dibuka kepada pelajar dalam lingkungan umur 18 hingga 24 tahun daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Adun Muda di Dewan Annex (5)“Tujuan program ini untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak muda agar lebih berminat melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang.

“Mereka diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar dan mencadangkan serta membahaskan usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, persidangan itu akan dipengerusikan Speaker DNS, Hannah Yeoh dan timbalannya, Shafie Ngah yang turut mengetuai panel pemilihan peserta.

“Melalui program ini juga, pelajar digalak meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi kerajaan serta berpeluang mengenali Adun Selangor dengan lebih dekat,” katanya.

Tempoh permohonan program anjuran Pejabat Dewan Negeri Selangor itu dibuka selama tiga minggu mulai 9 November 2015 hingga 26 November 2015.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web dewan.selangor.gov.my.

EZY

Categories
SELANGOR

Adun Muda Selangor minta tambah hari bersidang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 SEP: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor berharap Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) menambah hari persidangan.

Perkara itu dibangkitkan beberapa Adun Muda yang ditemui Selangor Kini pada persidangan DNS Adun Muda, semalam.

Muhammad FaisalPelajar Geomatika University College, Setiawangsa, Muhammad Faisal Abd Rahman, 20, berkata keputusan menambah masa dan hari bersidang membolehkan lebih ramai Adun Muda lain mengambil peluang membahaskan sesuatu usul.

“Program ini adalah platform terbaik untuk anak muda menyampaikan idea dan saya menjangkakan Kerajaan Negeri akan mengumpul data perbahasan kami seterusnya membawa dalam persidangan yang sebenar.

“Perlu ditambah kepada tiga hari, dua malam supaya usul yang dibincangkan lebih telus dan mendalam. Dua hari satu malam tak cukup,” katanya.

Cadangan sama turut dikongsi Sahain Nada Puthucheary, 18, selain percaya program itu memberi peluang kepada golongan muda menimba pengalaman dan merasai prosiding sebenar persidangan DNS.

“Bukan senang untuk Adun meneruskan usulnya, tambahan pula jika dia berada di pihak bukan majoriti. Hakikatnya, setiap usul itu perlu persetujuan ramai.

“Saya juga rasa perlukan lebih banyak usul yang berkaitan golongan belia secara langsung dan masanya pula agak pendek, tak cukup untuk kita keluarkan semua hujah untuk sesuatu usul,” kata pelajar Taylor College, Subang Jaya itu.

Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia, Nur Atheefa Sufeena M.Suaree, 22, memberitahu program seumpama itu mampu memberi ruang anak muda khususnya anak jati Selangor memahami dasar Kerajaan Negeri.

Nur Atheefa“Saya nampak aktiviti dalam program ini mengasah bakat anak muda seperti kemahiran pengucapan awam, kemahiran berfikir untuk mereka mengemukakan idea dan menambah pengetahuan apa yang sebenarnya berlaku di Selangor.

“Generasi muda juga lebih berani mengemukakan idea yang agak panas berbanding ahli politik sebenar. Saya rasa elok juga ditambah slot pengisian keilmuan dalam minda anak muda,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Adun muda bersemangat tetapi kena buat lebih ‘kerja rumah’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 SEP: Walaupun bersemangat, seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) disaran membuat rujukan lebih terperinci sebelum membentangkan sesuatu fakta semasa membahaskan usul di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Timbalan Speaker DNS berkata, Adun Muda yang terlibat dalam perbahasan juga perlu meluaskan skop rujukan mereka dengan membuat perbandingan antara Selangor dengan negeri lain.

adun muda 2“Mereka memang bersemangat, petah berhujah tetapi saya kira mereka perlu cari maklumat lebih lagi berhubung isu-isu yang diketengahkan supaya lebih bersedia semasa berbahas.

“Selain itu, terdapat beberapa Adun muda ini yang tidak memfokuskan kepada isu sebenar disebabkan terlalu melayan serangan pihak lawan.

“Bagaimanapun saya kira ini pendedahan bagus. Saya percaya walaupun ada sedikit kelemahan, maklumlah anak muda tentunya agak agresif tetapi mereka boleh digilap ke tahap lebih bagus lagi,” kata Shafie Ngah ketika ditemui Selangor Kini semasa mesyuarat DNS bagi Adun Muda berehat pada tengah hari tadi.

Hari ini merupakan hari kedua DNS Adun Muda bersidang dengan melibatkan 56 anak muda yang rata-ratanya merupakan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Setiap mereka mewakili 56 kawasan yang ditetapkan dengan mengikut parti yang memenangi kawasan terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

Permohonan Adun Muda dibuka sehingga 23 Ogos

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Golongan pelajar dan kumpulan belia sekali lagi berpeluang merasai pengalaman berdebat di Dewan Negeri Selangor (DNS) melalui Program Adun Muda Selangor bagi sesi kedua tahun ini.

Pegawai Khas Speaker DNS, Joyce Chow, berkata penyertaan terbuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun dari institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) dan persatuan mahasiswa.

Katanya, 56 anak muda akan dipilih untuk menyertai program itu dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam DNS.

adun muda 7“Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis berkenaan polisi kerajaan serta berpeluang mengenali Adun Selangor dengan lebih dekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tempoh permohonan akan dibuka selama tiga minggu mulai 3 hingga 23 Ogos ini.

Mereka yang berminat untuk menyertai program itu dikehendaki membuat permohonan secara dalam talian di laman sesawang dewan.selangor.gov.my.

Panel pemilihan akan terdiri daripada Speaker DNS, Hannah Yeoh; Timbalannya, Mohd Shafie Ngah dan Exco Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman sesawang rasmi dewan.selangor.gov.my, pada 27 Ogos ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DNS pilih Adun muda tiada pengalaman

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Pengambilan peserta program Adun Muda Selangor akan diperketatkan kepada golongan belia yang berminat tetapi tidak berpengalaman.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata pemilihan diutamakan kepada belia yang tidak pernah menyertai sebarang persidangan dewan.

adun muda 7“Dalam program lalu, kebanyakan mereka memberikan pembentangan yang bagus kerana mempunyai pengalaman menyertai aktiviti sama seperti Perdana Fellows 2015.

“Untuk program akan datang, peserta baru yang tidak berpengalaman akan dipilih bagi mencungkil bakat terpendam dan bakal memberi pengalaman baru kepada mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Hannah berkata, program itu juga akan disingkatkan kerana ia dilihat lebih efektif berbanding sesi lalu yang memakan masa tiga hari dua malam.

“Usaha Kerajaan Negeri juga bertujuam memberi peluang kepada golongan muda berkongsi pendapat dan idea baru berkenaan isu belia dan pendidikan,” katanya.

-NFN-

Bila Adun Muda jadi wakil rakyat, rancak bahas pendidikan percuma

Keupayaan Kerajaan Persekutuan membiayai pendidikan percuma menjadi antara hujah yang hangat diperdebatkan dalm Program Adun Muda Selangor. Program ini membuka peluang kepada anak muda dan mahasiswa menjadi ‘wakil rakyat’ serta didedahkan secara langsung dengan agenda persidangan.

Categories
SELANGOR

Pendidikan percuma hangat dibahas ‘wakil rakyat’ dua hari

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MEI: Pendidikan percuma antara isu hangat diperdebatkan dalam Program Adun Muda Selangor yang bermula dua hari, sejak semalam.

Peserta dilihat teruja dan berlumba-lumba memberi pandangan dan cadangan di peringkat pembangkang atau kerajaan.

Antara hujah yang dibahaskan adalah keupayaan Kerajaan Persekutuan membiayai pendidikan percuma.

adun muda 1“Kerajaan Persekutuan harus memulakan langkah membiayai pendidikan percuma kerana Petronas sebenarnya mampu untuk menjayakan pembiayaan itu.

“Kegagalan ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan gagal memahami falsafah pendidikan negara,” kata Mohd Syakirin Mohd Azhar yang menjadi Adun Rawang.

Selain itu, peserta dari pihak kerajaan turut menekankan pendidikan berkebajikan yang dilaksanakan ke atas intitusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negeri itu dan program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.

Program itu dipengerusikan Speaker, Hannah Yeoh dan Timbalan Speaker, Mohd Shafei Ngah.

adun muda 5Hannah berkata, pihaknya menerima 93 permohonan seluruh Malaysia dengan 56 penyertaan IPT awam juga swasta, badan bukan kerajaan serta Penggerak Belia Tempatan (Pebt) dipilih.

Katanya, peserta  adalah gabungan kawasan bandar dan luar bandar selain mahasiswa negeri lain yang menuntut di Selangor.

“Kita mendapat permohonan memberangsangkan setiap tahun. Peserta juga berpeluang berdialog dan beramah mesra dengan Adun Pakatan Rakyat atau pembangkang,” katanya.

“Melalui program ini, Dewan Negeri Selangor (DNS) berjaya merapatkan hubungan di akar umbi khususnya anak muda dan membuatkannya lebih mesra serta mudah diakses selaras dengan konsep ketelusan Kerajaan Negeri.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Adun muda teruja berdebat di DNS

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MEI: Peserta Program Adun Muda Selangor mahu peluang menjadi ‘wakil rakyat’ diteruskan supaya mahasiswa dapat didedahkan secara langsung dengan agenda persidangan.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, Norshakirah Syazwani Mohd Yazid berkata, program itu perlu diteruskan supaya belia lain dapat merasai pengalaman berada di Dewan Negeri Selangor (DNS).

interview 3“Penganjuran ini baik, apa yang berlaku dalam DNS juga sangat menarik. Saya memang berminat jadi Adun dan selalu tengok persidangan dalam televisyen.

“Jadi, peluang menjadi wakil rakyat seketika ini sangat berharga bagi saya dan mahasiswa lain,” katanya pada program itu, di sini, hari ini.

Bagi Yazid Khairul Azman dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), perbahasan itu landasan bagi membawa golongan muda ke hadapan selain meningkatkan keyakinan mereka mengeluarkan pendapat.

“Sebelum ini, saya pernah melawat sidang parlimen. Saya berminat menyertai persidangan ini kerana prestasi Selangor sebagai negeri maju dan berbeza dari negeri lain.

“Penganjuran ini juga perlu menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Syakirin Mohd Azhar berkata, dia dapat mempelajari tugas wakil rakyat dan prosedur penggubalan undang-undang negeri melalui penyertaan itu.

interview 2“Selain dapat merasai suasana berbahas, kita juga dapat belajar bagaimana sesuatu undang-undang itu digubal.

“Sepanjang dua hari, saya sempat berbual dengan Adun kerajaan dan pembangkang berkenaan DNS. Saya lihat amalan demokrasi sihat berlaku di negeri ini,” katanya.

Program Adun Muda Selangor kali ini membabitkan penyertaan 42 peserta yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN muda kembali berbahas di DNS 27 & 28 Mei

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 APR: Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) akan menganjurkan program Adun Muda Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan.

Program dua hari itu bakal berlangsung di Bangunan Annex, di sini, pada 27 dan 28 Mei ini.

Adun Muda di Dewan Annex (5)Seramai 56 anak muda akan dipilih menyertai program itu mewakili setiap Dun di dewan.

Program itu bertujuan memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak muda untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan atau kebangsaan.

Persidangan akan dipengerusikan Hannah Yeoh (Speaker) dan Mohd Shafie bin Ngah (Timbalan Speaker).

Program itu  terbuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun daripada institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) dan persatuan mahasiswa.

Mereka yang berminat perlu membuat permohonan secara atas talian di laman sesawang dewan.selangor.gov.my sebelum 1 Mei ini dan keputusan akan diumumkan di laman berkenaan, pada 14 Mei ini.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Program ADUN Muda Selangor 27-28 Mei

Program ADUN Muda Selangor akan dianjurkan buat kali pertama untuk penggal ini oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor.

Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan akan menganjurkan sesi pertama program ADUN Muda pada 27 – 28 Mei 2015.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor dan yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor.

Adun Muda di Dewan Annex (9)Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan.

Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda.

Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh (Tuan Speaker) dan YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah (Tuan Timbalan Speaker).

Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan.

Mereka juga akan mengenali para ADUN Selangor dengan lebih dekat lalu merapatkan jurang di antara anak muda dan wakil rakyat agar bakal pelapis pimpinan negeri lebih memahami peranan penting dan tanggungjawab seorang ADUN.
Sesi pertama Program ADUN Muda Selangor 2015 akan diadakan selama 2 hari di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 – 24 tahun daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan mahasiswa.

Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor.

Tempoh permohonan akan dibuka selama 2 minggu mulai 15 April 2015 hingga 30 April 2015.
Pemohon-pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web dewan.selangor.gov.my sebelum 1 Mei 2015.

Panel pemilihan akan terdiri daripada YB Hannah Yeoh, YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah dan YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad. Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi dewan.selangor.gov.my pada 14 Mei 2015.

Categories
SELANGOR

Latihan praktikal mahasiswa di Pejabat Menteri Besar

Oleh   AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM: Mahasiswa yang berminat digalakkan menjalankan latihan praktikal di Pejabat Menteri Besar bagi meraih pengalaman dalam bidang pentadbiran.

Mengalu-alu permohonan, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata jawatan baru itu mula diwujudkan bagi memberi pengalaman kepada mahasiswa pada cuti semester.

“Kita sudah ada program latihan praktikal. Sistem baru ini kita wujudkan untuk mahasiswa yang mahu bekerja semasa cuti semester.

“Inilah masa dan peluang baik untuk mahasiswa memberi pandangan dan membantu menggubal dasar serta membantu Kerajaan Selangor,” katanya pada penutupan Program Adun Muda Selangor, 16 Disember lalu.

Adun Muda di Dewan Annex (5)Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan pandangan mahasiswa untuk membantu wakil rakyat dalam isu bersesuaian untuk dibahas pada sidang DNS.

“Sebelum sidang dewan, kita perlukan maklum balas mahasiswa untuk membantu Adun berhubung soalan dan isu yang perlu dibawa,” katanya.

“Ia bagi memastikan ada interaksi antara mahasiswa dengan pemimpin peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Adun Muda: Belia berpeluang curah idea dasar negeri, pupuk kepimpinan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 DIS : Golongan belia yang menyertai program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor berpendapat pengajuran aktiviti sedemikian memberi pengalaman berbeza kepada mereka untuk mendalami peranan sebagai wakil rakyat.

Rata-rata mereka yang ditemui Selangorkini melahirkan kegembiraan kerana bukan sahaja terpilih sebagai peserta dalam sesi perbahasan kali ini, malah turut berpeluang berhujah bersama dua Exco negeri iaitu Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seorang peserta, Abu Zar Ahmad Zubir, 24, yang mewakili Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor berpendapat program berkenaan memberi peluang kepada belia untuk mencurahkan idea selain membantu Exco terlibat menyediakan dasar berkaitan belia dan pendidikan.

Katanya ia adalah proses pendemokrasian yang baik bagi membolehkan belia melibatkan diri secara langsung dalam politik dan memupuk semangat kepimpinan di kalangan golongan muda.

“Diharapkan pada sesi akan datang terdapat lebih banyak idea daripada golongan belia untuk membantu Exco dan menjadikan Selangor sebagai modal bagi belia berkumpul, berkongsi, memberi idea dan menjadikan negeri ini paling maju di Malaysia,” katanya.

Adun Muda di Dewan Annex (9)Aisya Bakar, 22, dari Universiti Malaya pula berpendapat program ini memberi gambaran jelas tentang perjalanan perbahasan di dalam dewan dan beliau merasa bangga kerana terpilih sebagai salah seorang peserta.

“Ia adalah program yang bagus dan memberi pengalaman berbeza kepada golongan belia.

“Selaku pelajar lulusan undang-undang, saya tahu secara teori bagaimana proses ini berlangsung tetapi ia tidaklah semudah yang disangka dalam membuat dasar dan polisi, jadi saya amat menghargai peluang yang diberi ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Khairy Hazique Muhammad Asri, 19, menyambut baik usaha Kerajaan Selangor dalam memberi peluang kepada golongan belia daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pendapat masing-masing dalam isu belia dan pendidikan.

Katanya peluang yang terhad ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan belia terus maju ke hadapan terutama dalam bidang politik.

“Saya harap pada masa akan datang semua belia di Selangor berani untuk melibatkan diri dalam bidang yang lebih mencabar di peringkat tertinggi iaitu peringkat negeri.

“Saya juga berharap para belia terus bersama-sama untuk memajukan generasi muda bagi kepentingan negeri dan negara,” kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini.

Bagi Dinesh Kunasekar, 22, program ini perlu dijadikan platform bagi Kerajaan Selangor untuk menggalakkan belia supaya menonjolkan bakat kepimpinan di peringkat negeri.

Katanya sebagai anak jati Selangor, beliau merasa bangga apabila Selangor melangkah setapak ke hadapan dengan pengajuran program seperti ini.

“Secara dasarnya kalau di luar kita hanya tengok dan tidak tahu apa yang berlaku, tetapi selepas saya sendiri terlibat, baru saya tahu kesusahan yang perlu Adun lalui.

“Kita lebih tahu apa yang berlaku dan tidak boleh hanya mengkritik dengan mudah tentang apa yang berlaku,” katanya.

EZY