Categories
AGENDA NASIONAL

Kursus dalam talian tingkat kemahiran, kakitangan aset bernilai KSSB

(ADVERTORIAL)

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengambil inisiatif mengadakan kursus dalaman atau “in-house training” di dalam talian bagi meningkatkan kemahiran kakitangan.

Penganjuran kursus seliaan Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran ini sebagai alternatif daripada pemberhentian operasi perlombongan dan cucigali pasir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Hal ini kerana sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan operasi tidak dapat bertugas di tapak-tapak operasi seperti kelazimannya dan mereka perlu bekerja dari rumah.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman dan pengetahuan semula (refresher course) kepada kakitangan berkenaan aspek-aspek teknikal di tapak operasi, apatah lagi mereka merupakan aset paling bernilai KSSB.

Kursus kendalian pakar

KSSB juga yakin inisiatif ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kompetensi kakitangan dalam bidang tugas masing-masing.

Antara kursus yang dijalankan sepanjang tempoh ini adalah Emergency Response Plan (ERP), Sistem Smart Docket dan Skim Pengoperasian Perlombongan dan Cucigali Pasir (OMS).

Kursus Smart Docket yang disampaikan oleh Azizul Hakim Abu dan Muhamad Fauzan Abdul Ghapar daripada Unit Teknologi Maklumat (IT)

Kursus ini melibatkan penyertaan 86 kakitangan unit strategik perniagaan, perlombongan dan beberapa kakitangan anak syarikat KSSB.

Tenaga pengajar program ini terdiri daripada pakar dalaman KSSB. Kursus ERP dikendalikan Mohd
Samsol Salleh dari Jabatan Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (QSHE).

Manakala kursus Sistem Smart Docket dikendalikan Azizul Hakim Abu dan Muhamad Fauzan Abdul Ghapar dari Unit Teknologi Maklumat.

Bagi kursus OMS pula, pakar yang dijemput adalah Maysarah Mat Akhir dari Jabatan Perhubungan Teknikal.

Teruskan program

Eksekutif Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Norsuhaili Muhamad Halil berkata, latihan ini bermula 4 hingga 28 Jun lalu dan beberapa program latihan lain mungkin diteruskan kerana lanjutan PKP 3.0.

Matlamat utama kursus ini adalah memberi motivasi kepada kakitangan untuk mempertingkatkan lagi
pengetahuan dalam bidang tugas dan menguji kefahaman mereka.

Kursus Skim Pengoperasian Perlombongan dan Cucigali Pasir (OMS) yang disampaikan oleh Maysarah Mat Akhir daripada Jabatan Perhubungan Teknikal

“Pada masa sama, ia turut menjadi platform bagi mengenal pasti kekuatan dan kekurangan mereka untuk diatasi dengan segera dalam usaha melahirkan kakitangan yang kompeten, berwawasan tinggi dan dinamik dalam menyokong aspirasi perniagaan KSSB,” katanya semasa sesi taklimat sebelum kursus berlangsung.

Selain mementingkan kebajikan kakitangan, KSSB diketahui sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti melalui pelbagai pendekatan termasuk latihan.

Antaranya, KSSB turut menghantar kakitangannya ke Malaysia Certified Inspector of Sediment and Erosion Control (MY-CISEC) pada Mac lalu.

Objektif kursus ini adalah melahirkan kakitangan berpengetahuan dan cekap di lapangan dalam memantau pematuhan pelan kawalan hakisan serta kelodak yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan turut diberi keutamaan anak syarikat Kerajaan Negeri ini.