Categories
AGENDA NASIONAL

Lima PKS raih pelaburan berpotensi RM219.2 juta di Aeromart-Nagoya

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Sebanyak lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia meraih pelaburan berpotensi berjumlah RM219.2 juta dalam sektor aeroangkasa dalam misi ke Aeromart-Nagoya 2019 yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dalam misi baru berakhir itu, yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menyaksikan sebanyak 86 pertemuan perniagaan dijalankan antara syarikat Malaysia dan Jepun.

“Kedua-dua pihak turut menyatakan minat mereka untuk memanfaatkan teknologi maju dalam sektor pembuatan aero,” menurut MED dalam kenyataan.

Aeromart-Nagoya 2019 dari 24-26 September menjadi platform kepada MED untuk menunjukkan kepentingan negara menjadi hab kepada pengeluaran subkomponen dalam rantaian bekalan aeroangkasa, terutamanya untuk pesawat komersial Jepun utama.

Ia turut berminat untuk memulakan kerjasama dengan Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta pembekal komponen.

MED komited untuk memastikan penyertaan yang optimum dan pengantarabangsaan PKS tempatan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti yang dinyatakan dalam Teras Strategik Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai, 2019.

– BERNAMA