Categories
AGENDA SUKANKINI

Perancangan skuad Harimau Malaya tidak terjejas dengan PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Selangor, Terengganu, Johor dan Perak tidak mengganggu percaturan pasukan bola sepak kebangsaan membuat persediaan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 16 Mei ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yakin model Gelembung Sukan yang dilaksanakan skuad Harimau Malaya sama ada dalam aktiviti pasukan mahupun venue latihan adalah selamat, sehingga skuad berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei depan.

“Tetapi dengan pengumuman baru ini, mungkin ada kekangan atau SOP (tatacara operasi piawai) berubah. Jadi kita akan memastikan semua arahan dan garis panduan yang diberikan (dipatuhi) dan pasukan kebangsaan tidak akan terganggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, malam tadi.

Mengulas lanjut, Stuart berkata persediaan pihaknya untuk menghadapi kempen kelayakan itu berjalan lancar, namun hanya beberapa perkara berkaitan logistik dan venue latihan sedang dibincangkan dengan kerjasama baik daripada Persatuan Bola Sepak UAE.

Selain itu, katanya walaupun sudah hampir 18 bulan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif danhanya mengadakan kem latihan pusat sekali pada Mac lepas, pemain tetap bersemangat untuk mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G serta tidak menjadikan Covid-19 alasan gagal mempamerkan aksi yang terbaik pada kempen itu.

“Maklum balas yang saya terima dari jurulatih Tan sangat positif, saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak beraksi dan tidak bersama untuk tempoh yang agak lama, memberi satu sentimen dan semangat dalam pasukan yang agak luar biasa kali ini.

“Pemain sendiri meminta untuk berlatih lebih awal dan mahu bersama-sama pasukan lebih lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada saya, kita harus lebih positif dan tidak membenarkan perkara-perkara negatif mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin (10 Mei) ini sebagai persediaan ke UAE selepas memperoleh suntikan pertama, bulan lepas.

Mengenai hasrat Korea Utara yang mahu menarik dari daripada kelayakan Kumpulan H di Korea Selatan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19, Stuart berkata beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Biarlah AFC yang membuat keputusan mengenai kedudukan dalam kumpulan dan slot ke pusingan ketiga nanti. Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada keputusan Korea Utara itu akan memberikan impak negatif kepada kita, tetapi pasukan kebangsaan bersedia untuk mencapai keputusan terbaik di UAE,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei), Malaysia akan menyambung kempen kelayakan yang tertangguh lebih setahun menentang UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam aksi Kumpulan G.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Luqman Hakim teruja dipanggil sertai latihan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemain sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin cukup teruja dan bermotivasi apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pertama bermula 22 hingga 30 Mac ini, kata ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata pemain berusia 19 tahun itu berada pada tahap baik dengan keyakinan diri berbekalkan latihan dan pengalaman bersama beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.

“Memang kita sudah lama merancang untuk memanggilnya ke latihan skuad kebangsaan dan ini merupakan masa yang sesuai, selain kelab pun bersetuju untuk melepaskannya.

Bakat Luqman Hakim Shamsuddin dikesan dari Akademik Mokhtar Dahari (AMD) dan pernah mewakili Selangor kini mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

“Namun, kita tidak mahu memberikan tekanan kepadanya kerana kali pertama menyertai skuad senior,” katanya yang akan mengumpulkan pemain selepas lebih setahun sebagai persediaan ke kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Menerusi entri Facebook KV Kortrijk semalam, foto penyerang berbisa skuad Bawah-19 tahun negara berkenaan kelihatan dengan beg pakaiannya bersedia untuk pulang ke tanah air buat kali pertama sejak menyertai kelab tersebut pada Ogos lalu.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi baharu Guilherme De Paula juga bakal dipanggil ke kem tersebut, manakala keputusan mengenai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle Jets, perlu dikaji semula kerana beberapa kekangan seperti kuarantin.

Beliau berkata senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan, yang akan diadakan dalam norma baharu di sebalik perjuangan menentang pandemik COVID-19 itu, akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pengendali berusia 52 tahun dari Kedah itu, turut mahu melihat status kecederaan pemain seperti Muhammad Safawi Rasid (JDT) dan Brendan Gan (Selangor FC) sebelum membuat keputusan.

“Pemain baru mula beraksi dalam tiga perlawanan Liga Malaysia selepas sekian lama dan ada yang cedera. Jadi saya akan buat keputusan dalam masa satu atau dua hari lagi.

“Selepas lebih setahun sejak kem latihan, fokusnya adalah untuk mendapatkan semula teknik dan rentak permainan. Kita perlu menggilap kembali kemahiran, berusaha dengan gigih dan mendapatkan semula rentak pasukan.

“Pada masa sama, kami tidak boleh memberi tekanan yang banyak kepada pemain kerana mereka baru sahaja memulakan liga…akan beraksi hanya lima perlawanan sebelum menyertai kem latihan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menyambung balik aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia itu, yang terganggu lebih setahun akibat Covid-19, menentang UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Malaysia berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM harap AFC dengar suara majoriti

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata skuad kebangsaan dan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Indonesia telah menyatakan persetujuan supaya ia ditangguhkan untuk dijalankan secara karnival di UAE.

Namun, katanya Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

“Harapan saya supaya AFC dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ia ditangguhkan ke bulan Jun, hanya satu (Vietnam) saja belum. Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dan memandu mereka dalam membuat keputusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul isu perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan nampak bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.

Menurut Mohd Yusoff, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pada masa sama, beliau yang juga pengurus pasukan negara berpendapat UAE lebih berhak diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekiranya aksi ditangguh ke Jun memandangkan UAE memiliki baki perlawanan di gelanggang sendiri lebih banyak berbanding Vietnam.

“Sebelum ini, UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan berdasarkan senario terkini, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE,” tambah beliau.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu.

Sementara Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara pendahulu Vietnam mengumpul 11 mata manakala Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM susun semula perancangan skuad B-19

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Prestasi serta perkembangan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara tetap akan dipantau rapi, meskipun tidak menyertai sebarang kejohanan tahun ini selepas Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, ditangguh awal tahun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad B-19 negara untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejuaraan yang menawarkan empat slot automatik ke saingan Piala Dunia B-20 2021.

Katanya, kem latihan pusat Fasa 3 sepanjang bulan ini dan siri perlawanan persahabatan yang dirancang turut terbatal susulan penangguhan kejuaraan yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober.

“Di pihak Sekretariat FAM, kami akan menyusun semula perancangan pasukan bersama pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kami akan maklumkan nanti kepada para peminat dan pihak media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, AFC mengesahkan kejuaraan itu ditangguh susulan impak Covid-19 yang menjejaskan persediaan mereka menganjurkan kejohanan itu, selain mempertimbangkan keperluan untuk mengutamakan kebajikan pemain muda serta risiko perjalanan dan kesihatan mereka.

Sementara itu, Ketua Jurularih U-19 Brad Maloney mengambil maklum penangguhan kejohanan itu secara positif walaupun pasukannya telahpun membuat persiapan awal sejak latihan pusat Fasa Satu pada Julai.

“Ia suatu yang baik untuk abak buah saya, kerana mereka akan dapat berlaih bersama pada Fasa Satu dan Fasa Dua. Pengumuman AFC mengenai kebajikan kesihatan dan keselamatan pemain dan pegawai, kami akan hormatinya,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qarar, Tajikistan dan Yemen. Skuad B-19 menyasarkan untuk menjadi pasukan Malaysia pertama layak ke Piala Dunia Bawah 20 secara merit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM: Kejuaraan B-19 AFC mungkin tangguh susulan Covid-19

PETALING JAYA, 29 OGOS: Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang dijadual dari 14 hingga 30 Oktober di Uzbekistan kemungkinan ditangguhkan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC berkata ia disebabkan impak penularan pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan kejohanan penting di bawah kelolaan AFC seperti saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Jika dilihat (impak Covid-19), ada kemungkinan Kejuaraan B-19 AFC akan ditangguhkan.

“Semua pertandingan sudah dianjak ke tahun depan, Kejuaraan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) dan aksi kelayakan pun sama tetapi tahun depan pun masih menjadi tanda soal,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-56 di sini hari ini.

Pada masa sama, pengurus pasukan skuad B-19 negara Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang mengesahkan perkembangan itu berkata keputusan rasmi akan diketahui minggu hadapan.

Pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan akan berbincang mengenai perancangan pasukan selanjutnya termasuk mengenai pemain muda negara kelahiran Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal sebaik keputusan rasmi diketahui.

“Beliau (Wan Kuzri) akan bersama pasukan sehingga keputusan rasmi daripada AFC dikeluarkan dan selepas itu kami akan merencana apa tindakan seterusnya,” katanya.

Pada edisi ke-41 kejuaraan yang menjadi pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Qatar serta dua negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC umum tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam tadi mengumumkan tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac dan Jun sebelum digantung susulan pandemik Covid-19.

Selepas berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), AFC dalam kenyataannya berkata baki perlawanan bagi pusingan kedua kelayakan bersama ini dijadualkan pada Oktober dan November.

AFC berkata hari perlawanan 7 dan 8 masing-masing akan diadakan pada 8 dan 13 Oktober, manakala hari perlawanan 9 dan 10 dijadualkan pada 12 dan 17 November bagi memastikan pusingan kedua kelayakan bersama itu selesai pada November ini.

Ini bagi memastikan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 (Asia) dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia China 2023 dimulakan pada Mac 2021, tarikh perlawanan yang ditetapkan dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.

“AFC akan terus memantau rapat situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai, peminat dan pemegang taruh selain akan memaklumkan semua pihak jika ada keperluan semakan semula jadual perlawanan susulan kesan pandemik Covid-19,” kata AFC.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan menyambung semula semula aksi kelayakan dalam Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 8 Oktober, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov.

Malaysia berada di tempat kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (6 mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC tangguh pertandingan dijadual Mei, Jun

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menanguhkan semua perlawanan dan pertandingan yang dijadualkan berlangsung dalam Mei dan Jun, sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Ia disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan di sini AFC berkata keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, para pegawai, peminat dan semua pemegang taruh, semasa tercetusnya pandemik Covid-19.

“AFC juga sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan-kejohanan Kelab AFC, dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Kejuaraan AFC dan Piala Peringkat Kumpulan AFC,” katanya.

Badan pentadbir bola sepak piala Asia itu memantau dengan rapi perkembangan pandemik Covid-19, dan sebelum ini menangguhkan semua perlawanan dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai and Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FIFA, AFC tangguh perlawanan kelayakan Piala Dunia rantau Asia

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Susulan rundingan bersama ahli persatuan dari Asia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju menangguhkan perlawanan pasukan dari Asia untuk kelayakan ke Piala Dunia FIFA Qatar 2022 ekoran penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata penangguhan tarikh perlawanan meliputi perlawanan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada kalendar perlawanan antarabangsa dari 23 hingga 31 Mac dan dari 1 hingga 9 Jun, 2020.

“Bagaimanapun untuk memberi sokongan kepada ahli persatuan yang prihatin dan memastikan keselamatan semua individu terlibat memenuhi standard diperlukan dan ahli persatuan yang akan berhadapan satu sama lain, secara bersama bersetuju perlawanan masih boleh dilangsungkan semasa kalendar perlawanan antarabangsa pada Mac atau Jun 2020, tetapi tertakluk kepada persetujuan awal daripada, FIFA dan AFC,” kata kenyataan itu.

FIFA dan AFC juga bersetuju untuk menangguhkan Kejohanan Futsal AFC 2020 di Turkmenistan, yang merupakan penentu kelayakan bagi Piala Dunia Futsal 2020 di Lithuania sehingga 5 ke 16 Ogos tahun ini.

Menurut kenyataan itu perlawanan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Olimpik yang bakal menjelang dilihat akan berlangsung seperti dijadualkan, kecuali perlawanan play-off kelayakan Olimpik wanita antara Korea Selatan dengan China yang akan berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa dari 1 hingga 10 Jun.

“FIFA dan AFC akan terus menilai keadaan mengikut perkembangan semasa Covid-19 dan akan memutuskan sama ada perlu lagi membuat perubahan ke atas jadual perlawanan kelayakan pasukan Asia bagi Piala Dunia FIFA 2022, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua individu terlibat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Covid-19: FIFA kaji tangguh pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Asia

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang mengkaji langkah menangguhkan pusingan kedua kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

FIFA dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kesejahteraan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam perlawanan bola sepak kekal menjadi keutamaan tertinggi.

“Oleh itu, satu cadangan rasmi untuk menangguhkan perlawanan akan datang dalam kelayakan Piala Dunia FIFA Asia 2022 dan Piala Asia AFC 2023 akan dikongsi dengan anggota persatuan yang relevan,” katanya.

FIFA dan AFC akan menyediakan kemas kini berhubung jadual perlawanan pada masa akan datang susulan perundingan yang dilakukan dengan persatuan yang menganggotai AFC, menurut kenyataan itu.

Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe akan beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu di Dubai pada 26 Mac sebelum menjadi tuan rumah kepada Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac dalam kelayakan Kumpulan G.

Sementara itu, FIFA akan terus memantau situasi berkaitan Covid-19 dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, konfederasi dan anggota persatuan, menurut kenyataan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Aksi Harimau Malaya mungkin ditunda susulan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MAC: Aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini dan Jun mungkin ditunda susulan kebimbangan penularan Covid-19, kata setiausaha agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya akan berbincang lanjut mengenai perkara itu bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor Berita Harian.

“Setakat ini, AFC sudah berhubung dengan FIFA dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.

“AFC perlu merujuk kepada FIFA sebelum membuat keputusan. Jika mahu mengadakan perlawanan di gelanggang lain juga perlu ada persetujuan beberapa pihak,” katanya.

Penundaan itu dijangka turut membabitkan skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga kedua kumpulan G menentang Emeriah Arab Bersatu pada 26 Mac, Vietnam (31 Mac) dan Thailand (9 Jun).

Sebelum ini, AFC sudah memutuskan menunda beberapa perlawanan membabitkan aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang turut membabitkan Johor Darul Ta’zim.

Mengulas perkara sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat AFC dan FIFA.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ada kelebihan, Pusat Perubatan Sukan Negara diiktiraf AFC

KUALA LUMPUR 16 JAN: Institut Sukan Negara (ISN) mencipta sejarah apabila Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) mendapat pengiktirafan selaku Pusat Kecemerlangan Perubatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ketua pengarahnya Ahmad Faedzal Md Ramli berkata pengiktirafan AFC memberi kelebihan akses PPSN dalam industri bola sepak Asia.

“Pakar di sini juga dapat meningkatkan pengetahuan mereka tentang kecederaan dalam sukan bola sepak, penjagaan dan teknologi baharu sains sukan,” katanya pada sidang media selepas majlis akreditasi PPSN, di sini.

Beliau berkata PPSN mempunyai pasukan pakar perubatan berpengalaman seperti Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Dr Kamarul Hashimy Hussein, Dr Azril Syazwan Mohd Ali dan Dr Jasmiza Khuzairi Jasme.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata PPSN akan menjadi pusat rujukan utama perubatan sukan dan penyelidikan kepada pasukan dan ahli gabungan.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

China tuan rumah Piala Asia 2023 – AFC

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebulat suara memilih China sebagai tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023 apabila negara itu menjadi satu-satunya negara membuat bidaan rasmi untuk mendapatkan hak penganjuran kejohanan berprestij itu.

Keputusan pemilihan tuan rumah itu diumumkan pada Kongres Luar Biasa AFC yang berlangsung di Paris, hari ini, selepas Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menarik diri daripada pembidaan tersebut.

​​​​​​Ia adalah kali kedua China menjadi tuan rumah kejohanan tersebut selepas edisi ke-13 pada 2004 ketika penyertaan pasukan diperluaskan kepada 16 pasukan buat kali pertama sebelum ditambah kepada 24 pasukan pada edisi lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal tahun ini.

AFC, dalam kenyataan, berkata China encadangkan untuk membina stadium baharu di sembilan daripada 12 bandar raya tuan rumah Piala Asia 2023 sebagai sebahagian daripada cita-cita jangka panjang negara itu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata, Piala Asia akan menjadi platform untuk kebangkitan dan potensi pasukan China pada masa depan.

Selain itu, ia juga menyediakan China dengan kemudahan dan infrastruktur yang cukup hebat untuk menganjurkan pertanding bola sepak serta meletakkan sebagai sukan nombor satu di negara itu, katanya.

Menurutnya, badan bola sepak serantau itu berharap penganjuran kejohanan itu di China akan menandakan pertumbuhan hak komersil di era baharu di mana syarikat terkemuka China, DDMC Fortis, menjadi wakil komersil eksklusif AFC.

Sementara itu, AFC juga melantik pengerusi dan timbalan pengerusi serta anggota jawatankuasa Disiplin dan Etika, Kawalan dan Jawatankuasa Rayuan untuk tempoh empat tahun.

Pemilihan anggota jawatankuasa tersebut menyaksikan pegawai Malaysia, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dan Saaran Nadarajah masing-masing dipilih timbalan pengerusi ketiga Jawatankuasa Kawalan dan anggota Jawatankuasa Rayuan.

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC
Pengerusi: Lim Kia Tong (Singapura)
Timbalan: Shen Rui (China)
Ahli:Tim Holden (Australia); Yusuf Mohamed Yaqoob Yaqoobi (Bahrain); Kengo Harima (Jepun); Khaled J Al Zamel (Kuwait); Ismail Zumayl Rasheed (Maldives); Atty. Guillermo B. Iroy Jr. (Filipina); Yaseer H. Al-Misehal (Arab Saudi).

Jawatankuasa Kawalan AFC
Pengerusi: Liu Chi (China)
Timbalan Pengerusi: 1. Judge Rauf Soulio (Australia); 2. Ahmadreza Barati (Iran); 3., Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (Malaysia); 4. Dr. Khaled Hassan S. Banaser (Arab Saudi)

Jawatankuasa Rayuan AFC
Pengerusi: Jahangir Baglari (Iran)
Timbalan: Salman A. Al-Ansari (Qatar)
Ahli:Dong-Ho Lim (Korea Selatan); ​​​​​​​Saaran Nadarajah (Malaysia); Syed Nayyar Hasnain Haider (Pakistan); Nguyen Thi My Dzung (Vietnam).

– BERNAMA