Categories
AGENDA SUKANKINI

AFF: Proses pembangunan tidak sistematik punca gagal – Teong Kim

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim mempertahankan prestasi mengecewakan barisan pemain muda negara pada kempen Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Teong Kim yang juga bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mendakwa kegagalan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney bermain dengan baik adalah impak daripada proses pembangunan bola sepak belia di negara yang tidak sistematik.

“Pembangunan seseorang pemain mesti melalui proses yang sistematik dan ini tidak ada di Malaysia. Situasi bola sepak kita tidak memberi pemain-pemain remaja untuk maju, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka.

“Saya sudah banyak kali berkata jika FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengadakan liga-liga remaja, jangan harap bola sepak Malaysia akan maju,” katanya dalam hantaran di Instagram miliknya, semalam.

Menurut Teong Kim, FAM dan MFL adalah entiti yang seharusnya menyediakan serta melengkapkan segala landasan untuk pembangunan bola sepak di negara.

Pada masa sama, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun itu berkata antara perubahan yang perlu dilakukan adalah mewujudkan lebih banyak liga di peringkat remaja, mengehadkan tiga pemain import bagi setiap pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Selain itu katanya kebenaran untuk pasukan ‘feeder’ menurunkan pemain import dalam saingan Liga Premier juga perlu ditarik.

Malaysia menamatkan kempen Kejuaraan B-23 AFF 2022 dengan pencapaian memalukan selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan susulan kekalahan 0-2 kepada Laos pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Morodok Techo, pada Isnin.

Ia adalah kemenangan kedua Laos ke atas Malaysia pada saingan kumpulan selepas turut mengutip tiga mata dengan kejayaan 2-1 pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Prince, Jumaat lepas.

Sebagai rekod, saingan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos, selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan berikutan penularan Covid-19 dalam pasukan sekali gus menyaksikan Laos muncul juara kumpulan dan layak ke pusingan separuh akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFF tingkat kerjasama bangun semula hala tuju bola sepak

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) meningkatkan kerjasama dengan semua negara anggota badan itu dalam mencari jalan serta hala tuju sukan bola sepak pasca-Covid-19.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata semua pihak harus bersuara dalam mencari jalan terbaik buat industri bola sepak untuk kekal makmur seandainya Covid-19 tidak dapat dibendung sepenuhnya.

“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF agar dapat membantu ahli gabungan menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara terutama ketika berdepan senario ketidaktentuan Covid-19,” katanya dalam kenyataan selepas Kongres AFF ke-27 yang dijalankan secara maya hari ini.

Menurut Hamidin, kongres yang diadakan secara maya itu turut membincangkan agenda lain antaranya mengenai penyata kewangan untuk tahun berakhir 31 Disember 2019 dan laporan aktiviti badan induk itu sepanjang 2020.

Berikutan Covid-19, AFF pada Julai lepas mengumumkan penundaan baki semua kejohanan bola sepak dan futsal di bawah naungannya termasuk Piala AFF yang ditunda ke April hingga Mei tahun depan.

-BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Piala AFF: FAM tambah 10,000 tiket dalam talian

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menambah 10,000 tiket lagi untuk dijual secara dalam talian bagi aksi final Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Vietnam, pada 11 Disember ini.

FAM menerusi facebook berkata, kesemua tiket yang diperuntukan habis dijual dalam masa singkat sebaik sahaja www.tickethotline.com.my memulakan jualan setengah jam lebih awal untuk menguji sistem daripada waktu sepatutnya, pada jam 9 pagi ini.

“Ekoran itu, FAM mengambil pendekatan menambah jumlah tiket dalam talian daripada 20,000 keping kepada 30,000 keping dengan baki 10,000 itu akan dijual secara dalam talian, bermula jam 9 pagi esok.

“Seterusnya baki 40,000 tiket fizikal akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula Ahad ini,” katanya.

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2, pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, pada Rabu manakala Vietnam mara ke final selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-2 ke atas Filipina, pada Khamis.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam, pada 11 Disember ini, sebelum aksi final kedua di Hanoi, pada 15 Disember ini.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL SUKANKINI

AFF23: Vietnam wakil tunggal Asia Tenggara layak ke separuh akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Pasukan bawah 23 tahun Vietnam mencipta kejutan terbaru apabila menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara yang pertama layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan AFC B23 selepas menewaskan gergasi bola sepak Asia, Iraq di Stadium Changshu, China malam tadi.

Kejayaan Vietnam itu diraih menerusi penentuan sepakan penalti dengan jaringan 5-3 selepas menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan.

Gol pembukaan pasukan Vietnam dijaringkan oleh Cong Phuong Nguyen pada minit ke-12 sebelum disamakan Aymen Hussein di minit ke-29 dan keputusan itu kekal hingga ke masa penamat.

Perlawanan masa tambahan menjadi begitu mendebarkan penyokong kedua-dua pasukan apabila masing-masing berbalas jaringan.

Aymen meletakkan Iraq di hadapan pada minit ke-94 sebelum Vietnam mengikat kembali kedudukan 2-2 menerusi jaringan Van Duc Phan pada minit ke-108.

Vietnam sekali lagi mengambil giliran di depan apabila pada minit ke-112, Duc Chinh Ha menjaringkan gol ketiga Vietnam.

Di saat Vietnam tampak berpeluang menewaskan Iraq tanpa memerlukan penentuan sepakan penalti, Alaa Ali Mhawi menyumbat gol ketiga Iraq pada minit ke-116 menjadikan kedudukan kembali terikat 3-3.

Keputusan kekal sehingga wisel ditiup dan membawa ke penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, pasukan Vietnam tidak mensia-siakan peluang apabila berjaya menundukan Iraq 5-3 dalam penentuan sepakan penalti.

=EZY=