Categories
AGENDA NASIONAL

ATM siap siaga walau tiada darurat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penugasan anggota ATM kekal berjalan seperti biasa.

“ATM dalam keadaan stand by (siap siaga),” katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara, di sini petang semalam.

Perbincangan khas berkenaan adalah bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang Jumaat lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hargai pengorbanan pejuang, pertahan kedaulatan negara – Panglima ATM

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Keamanan dan kesejahteraan dikecapi ketika ini tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya melalui pengorbanan pejuang yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata sesungguhnya darah dan keringat perjuangan mereka yang terdahulu, telah menghasilkan keharmonian dan keamanan kepada negara sehingga kini.

Jelasnya, sebagai generasi pewaris ATM, warga tentera perlu tekad menaburkan bakti dengan sepenuh jiwa, dalam memikul amanah agar ATM terus utuh sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia pula adalah penting untuk setiap rakyat di negara bertuah ini memperkuatkan semangat patriotisme dan nasionalisme, dengan menanamkan budaya ‘sense of belonging’ dan ‘sense of ownership’ dalam sanubari saudara saudari sekalian.

“Pengukuhan semangat dan budaya ini, kesatuan antara rakyat dan ATM akan dapat terbentuk sekali gus berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari ATM ke-87 dan Hari Malaysia yang disambut semalam.

Dalam pada itu, Affendi turut mengingatkan warga tentera bahawa pembangunan ATM, bukan bertujuan menjadi satu ketumbukan yang inginkan peperangan atau menyerang negara lain, sebaliknya ia satu angkatan yang dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan kedaulatan negara, daripada ancaman musuh.

“Pembangunan ini penting, terutamanya dalam mendepani persekitaran keselamatan yang tidak menentu, serta keperluan meningkat keupayaan pertahanan sebagai angkatan masa hadapan yang berkredibiliti, sebagaimana dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Beliau turut menyeru warga ATM mengimbau semula empat teras keutamaan, iaitu memperkasa kesiagaan aset ATM, memperkasa warga ATM yang cemerlang, mengukuhkan keupayaan ATM dalam domain siber dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

“Oleh itu, amat penting untuk kita terus menanamkan dalam jiwa kita berkenaan kepentingan merealisasikan teras keutamaan ini, demi menjadikan kita semua sebagai satu ketumbukan nasional yang holistik dan mampan,” katanya.

Bersempena Hari ATM ke 87, Affendi yang mewakili seluruh warga ATM, turut melafaz ikrar taat setia tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku pemerintah tertinggi ATM.

“Sesungguhnya kami memegang teguh ikrar kesatria untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara, sehingga ke titisan darah terakhir,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Polis Diraja Malaysia; agensi penguatkuasaan lain; jabatan kerajaan, media massa dan semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama padu kepada ATM.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tanggungjawab ATM berkembang, aset siap sedia pertahan negara

Oleh Anasathia Anak Jenis dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Tanggungjawab yang dipegang adalah besar iaitu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar, bermula dengan Perang Dunia Kedua menentang Jepun sehinggalah ancaman komunis ketika negara menghadapi darurat.

Kini setelah 87 tahun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, fungsi dan tanggungjawab yang dipikul berkembang selaras dengan perubahan zaman.

Merupakan benteng pertahanan negara, ATM yang mempunyai tiga cabang – Tentera Darat, Laut dan Udara itu sentiasa terlibat dalam pelbagai operasi sama ada di dalam atau luar negara dengan misi tetap sama iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menyambut ulang tahun yang ke-87, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menggariskan empat teras utama sebagai panduan dalam meningkatkan imej pasukan iaitu memperkasakan kesiapsiagaan aset; memperkasakan warga ATM yang cemerlang; mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber; dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah, akan terus menjadi panduan utama dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Domain maritim dan udara bakal diberi tumpuan khusus dalam Kertas Putih Pertahanan bagi pembangunan keupayaan ATM, pembangunan keupayaan kedua-dua domain ini akan mengambil masa yang panjang berdasarkan tempoh pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2021 hingga 2030,” kata Affendi dalam wawacara khas di Wisma Pertahanan, di sini, sempena Hari ATM ke-87 yang disambut 16 September setiap tahun.

Tahap Kesiagaan Aset Tertinggi Hadapi Ancaman

Affendi berkata demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset bersesuaian dan fokus perlu diberi untuk memastikan aset-aset sedia ada berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi dalam mendepani sebarang kemungkinan.

Anggota tentera memakai penutup muka dan sarung tangan ketika mengawal bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan ATM dapat dipamerkan setiap masa, di samping menonjolkan keupayaan ini sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” katanya.

Mengambil contoh Op Benteng di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affendi berkata cabaran utama operasi bagi memperkasakan kawalan sempadan negara itu sememangnya memerlukan ATM menambah aset bagi menangani kemasukan migran dan aktiviti penyeludupan.

“Pengesanan dan buat rondaan dalam Op Benteng ini tidak memerlukan aset yang besar tetapi lebih kepada kelengkapan seperti bot pemintas, kereta pacuan empat roda dan motosikal scrambler.

“Ini kerana migran dan penyeludup ini tidak akan mendarat di kawasan jeti besar tetapi memilih kawasan yang terpencil,” katanya sambil menambah penggunaan dron turut banyak membantu dalam hal ini, ditambah dengan tindakan licik migran yang sentiasa mengubah modus operandi untuk memasuki negara ini.

Tangani Pencerobohan Sempadan

Beliau berkata strategi penyeludupan masuk migran ini yang kadang-kala sukar dibaca kerana mereka sentiasa mengubah modus operandi untuk menyeludup masuk dan itu antara cabaran yang dihadapi ATM dalam usaha menjaga sempadan negara yang panjang serta perairan yang luas.

“Inilah kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk idea perubahan modus operandi yang turut melibatkan rakyat tempatan yang menjadi tekong atau pengkhianat negara namun pihak NTF berjaya mengatasinya,” katanya.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA

Beliau berkata sehingga kini operasi memburu tekong dan tali barut giat dilakukan dan turut membuahkan hasil dengan beberapa siri tangkapan terhadap mereka yang bersekongkol terutama dengan sindiket penyeludupan.

Op benteng yang diaktifkan sejak Mei 2020 adalah untuk mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi migran dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Affendi berkata pelaksanaan Op Benteng meliputi enam kaedah iaitu pencegahan, langkah pengesanan, tindakan penghindaran, tindakan pelencongan, pengurusan penahanan serta inisiatif pengusiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keamanan negara tidak datang bergolek – Panglima ATM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Keamanan negara tidak boleh dikecapi jika tiada yang berjuang memastikan keamanan pada zaman dahulu, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata ini kerana keamanan tidak datang bergolek dan ia memerlukan pengorbanan besar untuk mencapai kemerdekaan.

“ATM memberi sepenuh jiwa raga dan nyawa mereka untuk menentukan kedaulatan negara agar sentiasa dipertahankan.

“Kami, ATM, mempunyai semangat perjuangan tinggi ketika berhadapan dengan ancaman komunis yang mengganggu-gugat negara pada zaman dahulu,” katanya mengenang kembali perjuangan ATM kepada Bernama baru-baru ini di pejabatnya di Wisma Pertahanan.

Affendi berkata pasukan keselamatan bertungkus-lumus mempertahankan negara dan tidak pernah mempersoalkan pengorbanan yang mereka beri untuk mendapatkan kemerdekaan di negara ini.

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kemerdekaan namun ancaman pada dulu dan kini tidak lagi sama.

“Kita melangkah ke era ancaman pengganas (pada masa kini) dan ia merupakan cabaran kepada ATM dalam mempertahankan sempadan daratan dan sempadan perairan negara.

“Sempadan daratan dan perairan amat luas sekali dan kita tidak boleh leka walaupun sekejap kerana ancaman luar ini (boleh berlaku) pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Affendi berkata pihaknya sentiasa memperketatkan kawalan di sempadan daratan dan perairan negara bagi memastikan tiada anasir luar menceroboh masuk ke negara ini.

“Merdeka ialah sesuatu makna yang amat mendalam dan keamanan negara ini kita tidak boleh ‘take for granted’ dan sentiasa perlu bersiap siaga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata pihak tertentu perlu memainkan peranan dalam mengkomersialkan kisah perjuangan serta pengalaman pahit getir veteran ATM semasa era peperangan suatu masa dahulu.

“Ia juga boleh dilakukan dengan cara menjadikan ia sebagai subjek teras dalam pendidikan di mana ianya dipercayai boleh menyemai semangat kecintaan kepada negara.

“Jika dilihat veteran ATM sendiri mereka sentiasa bersiap sedia mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada segala bentuk ancaman jika diperlukan pihak kerajaan,” katanya.

Dzulkarnain berkata golongan veteran ATM ini mempunyai semangat serta nilai patriotisme yang tinggi biarpun rata-ratanya sudah ‘menggantung’ seragam atau senjata.

Beliau berkata tidak timbul isu nilai patriotisme dalam kalangan veteran sama ada menurun ataupun hilang ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini.

-BERNAMA