Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi negeri digerak bantah projek ECRL jajaran utara

SHAH ALAM, 5 OKT: Agensi Kerajaan Negeri digerakkan untuk membantah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di jajaran utara, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata bantahan secara rasmi itu dibuat selepas pameran awam penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang itu bermula 21 September lalu sehingga 19 Oktober ini.

“Kita telah mengarahkan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Pejabat Tanah Gombak, Pejabat Tanah Hulu Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk mengemukakan bantahan.

“Selain itu penduduk sekitar kawasan berkenaan yang terancam dan terkesan dengan projek ini juga kita minta mereka membuat bantahan,” katanya ketika dihubungi.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak akan membantu dari segi pengambilan tanah sekiranya kerajaan pusat tetap dengan pendirian mahu meneruskan projek di jajaran selatan itu.

“Mereka perlu hormat kerana tanah, hutan simpan dan air di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kesan projek ini sangat besar jika pencemaran sungai berlaku kerana terdapat empat loji rawatan air yang melibatkan 70 peratus pengguna di Lembah Klang.

“Kita bukan bantah ECRL kita bantah laluan jajaran itu jadi jangan salah faham. Sebaliknya kita juga mengemukakan pandangan jajaran selatan adalah lebih baik dan selamat dari pencemaran,” katanya.

Orang ramai khususnya mereka yang berada di jajaran utara boleh memanfaatkan sepenuhnya pameran awam EIA projek ECRL laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang untuk mengemukakan bantahan.

Laporan EIA itu boleh dibaca menerusi pautan https://bit.ly/ECRLC2EIA dan memberikan ulasan di https://bit.ly/ECRLC2_EIAFEEDBACK.

Dokumen itu turut dipamer di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur.

Selain itu, di Pejabat JAS Selangor di Wisma Sunwaymas, Shah Alam; Menara Majlis Perbandaran Selayang; Majlis Perbandaran Kuala Selangor; Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Pada 5 April, Kementerian Pengangkutan mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajar semula ke laluan asal (jajaran utara) seperti yang dicadangkan antara 2016 hingga 2017.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian projek itu perlu dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri tubuh unit rapatkan jurang jabatan, agensi dengan pusat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi merapatkan jurang di antara jabatan serta agensi dengan kerajaan persekutuan.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja anjuran kerajaan persekutuan menyebabkan peranan Kerajaan Negeri kurang relevan.

“Oleh demikian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 Ogos lalu memutuskan unit ini ditubuhkan dalam membantu menyelesaikan isu melibatkan antara majikan dan pekerja.

“Walaupun portfolio ini baharu ditubuhkan tahun lalu ia memerlukan hala tuju dan penyusunan program selain lebih banyak peluang untuk Kerajaan Negeri untuk terlibat dalam perancangan program-program persekutuan dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau turut meminta kerjasama semua Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk hadir bertemunya dalam memperkasakan program kerjaya yang dianjur menerusi UPPS.

Pada 13 Ogos, Ganabatirau memaklumkan pihaknya akan memperkasa portfolio pemberdayaan pekerja bagi membantu golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara langkah yang perlu diambil adalah menambah peruntukan untuk membantu golongan terkesan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Anak syarikat, agensi sebar manfaat Belanjawan 2021 kepada rakyat

SHAH ALAM, 4 NOV: Semua anak syarikat dan agensi Kerajaan Selangor akan digerakkan bagi memastikan manfaat Belanjawan 2021 sampai kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata proses berkenaan disusun dan berjalan sejak beliau mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi fasa ketiga Julai lalu.

“Anak syarikat akan mengetuainya dan melakukan hebahan media termasuk media sosial mengenai segala peluang dan ruang disediakan kepada rakyat.

“Inilah kaedah untuk kita terus berhubung ketika ini. Saya yakin kita mampu maju dan boleh teruskan kemajuan serta ekonomi Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika bersiaran di Astro Awani malam tadi.

Belanjawan Selangor 2021 yang dibentangkan Amirudin Jumaat lalu mengumumkan pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam pelbagai sektor.

Antaranya, Program Tuisyen Rakyat Selangor dengan peruntukan RM13 juta, Program Bank Makanan bernilai RM6 juta serta 15,000 peluang pekerjaan membabitkan kos berjumlah RM76 juta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba Selangor: Lebih 900 agensi, pasar awam disanitasi

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 916 lokasi termasuk 600 agensi kerajaan dan pasar awam disanitasi sejak Mac hingga hari ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Pengarahnya berkata proses nyahkuman bagi mengelak penularan Covid-19 turut dilakukan di bangunan yang tidak merekodkan sebarang kes.

“Bagaimanapun lokasi menjadi tumpuan umum diberi keutamaan memandangkan risiko jangkitan tinggi.

“Setakat ini proses sanitasi banyak dilakukan di daerah Petaling diikuti Hulu Langat dan Klang,” kata Norazam Khamis kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi setiap operasi yang dijalankan.

“Antaranya anggota perlu mencuci tapak kasut menggunakan cecair peluntur sebelum operasi dan badan akan disembur bahan sama selepas itu.

“Setiap anggota mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan operasi dilakukan berkesan dan tidak mendatangkan mudarat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kes Covid-19 di Petaling turun hasil usaha sama semua agensi

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kes Covid-19 di Petaling turun mendadak hasil usaha sama polis, petugas kesihatan, angkatan pertahanan awam dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pegawai Daerahnya, Johary Anuar berkata ia terbukti menerusi statistik sehingga 1 September yang menunjukkan Petaling merekod satu kes aktif melibatkan kes import.

“Kita (Petaling) pernah melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun semuanya dapat ditangani dengan baik hasil kerja keras semua agensi.

“Jika tiada kerjasama, mungkin kita tak dapat pastikan sama ada langkah pencegahan dapat dijayakan sepenuhnya atau tidak, namun sekarang sudah terbukti kerjasama semua pihak membolehkan kes Covid-19 terus turun,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kompleks Pejabat Daerah Petaling hari ini.

Pada 10 Mei lalu, kawasan Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya dikenakan PKPD selama 14 hari selepas terdapat 26 kes positif Covid-19.

Penguatkuasaan perintah itu membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di tiga zon di kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang kerja dari rumah penjawat awam

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kerajaan sedang mempertimbangkan secara mendalam untuk meneruskan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai amalan normal baharu dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, katanya ia memerlukan kajian lebih terperinci bagi memastikan ia dapat menepati hasrat pelaksanaannya.

“Terdapat dua objektif utama yang telah dikenal pasti iaitu untuk mitigasi risiko seperti pencemaran dan penularan penyakit, dan untuk menguruskan prestasi pegawai dengan mengimbangi keperluan kerja dan keluarga, serta meningkatkan kepuasan kerja dan produktiviti, ” katanya dalam satu wawancara bertulis semalam.

Antara aspek yang perlu diperjelaskan melalui kajian lanjut adalah keperluan sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu, serta implikasi perundangan yang terlibat.

Menurutnya selari dengan inisiatif kerajaan untuk menimbangkan pelaksanaan BDR sebagai suatu normal baharu, penilaian juga akan dilaksanakan ke atas beberapa kemudahan awam lain yang berkaitan terutamanya kemudahan-kemudahan cuti dan pelepasan.

Katanya semua inisiatif berkenaan adalah usaha berterusan bagi memastikan penjawat awam dapat terus meningkatkan produktiviti mereka dalam konteks perubahan faktor luaran yang terkini.

Mohd Zuki berkata pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan perkhidmatan awam boleh berfungsi dengan berkesan walaupun dengan pelaksanaan BDR dan BDR secara fleksibel.

“Bermula dengan pelaksanaan BDR secara arahan ke atas semua penjawat awam, ia kemudian berubah kepada pelaksanaan berlandaskan kes-kes tertentu.

Dalam kedua-dua keadaan tersebut, impak kepada produktiviti penjawat awam adalah minimum, dan perkhidmatan awam terus dapat menyokong pembukaan sektor ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Dalam tempoh tersebut, sektor ekonomi dan perniagaan dapat beroperasi hampir 100 peratus untuk memastikan ekonomi negara dapat dilonjakkan, dan ini dapat dicapai apabila penjawat awam dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka melalui kedua-dua mod tersebut, katanya.

-BERNAMA