Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berangkat hadir hari kedua mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR, 10 MAC:  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat kali ini berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 Nov dan 25 Nov 2021, yang dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas jaguh olahraga negara

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet dan jurulatih olahraga negara Shamsuddin Jaafar, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Shamsuddin, dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan olahraga negara.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikian menurut catatan itu.

Shamsuddin, 86, yang lahir pada 15 Mac 1936 di Kuala Kangsar, Perak merupakan bapa kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Allahyarham pernah mewakili negara dan memenangi pingat emas dalam acara olahraga 4X400 meter di kejohanan Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA), pada tahun 1965 di Kuala Lumpur.

Allahyarham juga semasa hayatnya pernah berkhidmat sebagai jurulatih atlet olahraga negara untuk Sukan Asia 1970 di Bangkok, 1974 di Tehran dan 1978 di Bangkok, serta Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Antara atlet di bawah bimbingan Shamsuddin ialah bekas ratu pecut Asia Junaidah Aman dan bekas pelari pecut negara Allahyarham Ramli Ahmad.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik Covid-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan Covid-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong rasmi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-14 hari ini

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat yang kembali bersidang selepas melabuhkan tirai pada 20 Dis lepas merupakan sidang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah dan berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan tatacara operasi piawai bagi persidangan Parlimen kekal seperti sebelum ini.

Antaranya, Ahli Parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) tiga hari sebelum persidangan berlangsung serta penghadang lut sinar terus dipasang di tempat Ahli Parlimen sebagai langkah menetapkan penjarakan fizikal.

Selain itu, Azhar pada Sabtu (26 Feb) memaklumkan 146 kes positif dikesan hasil ujian saringan RT-PCR yang dijalankan dua hari bermula Khamis (24 Feb) di bangunan Parlimen melibatkan 1,474 individu terdiri daripada Ahli Parlimen, petugas dan wakil media.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

BATC 2022: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad lelaki kebangsaan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan itu buat kali pertama dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia,” demikian menurut catatan itu.

Semalam, skuad lelaki negara mencipta sejarah selepas muncul juara BATC buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia, sekali gus menyekat hasrat musuh tradisi tersebut daripada menjuarai gelaran buat kali keempat berturut-turut pada kejohanan yang bermula sejak 2016 itu.

Kejohanan dwitahunan itu juga adalah pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, dengan empat pasukan terbaik layak ke acara berpasukan berkenaan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas atlet angkat berat Darus Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet angkat berat negara, Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Darus ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham yang berasal dari Selangor pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negara belum bebas Covid-19, Agong seru ambil vaksin, dos penggalak

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 supaya berbuat demikian.

Seri Paduka bertitah ia termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik Covid-19.

“Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik Covid-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi Covid-19 yang telah digariskan oleh kerajaan beta,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rakyat Malaysia bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.

“Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan serta semangat seia dan sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan saksi persembahan demonstrasi antikeganasan polis

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan persembahan demonstrasi antikeganasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam demonstrasi itu, Al-Sultan Abdullah dipersembahkan dengan aksi operasi khas menyelamat tebusan dan menahan sekumpulan pengganas disusuli acara pertunjukan aset keselamatan milik PDRM.

Demonstrasi berkenaan dijayakan oleh seramai 220 anggota Unit 69 Komando (VAT 69), pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) serta Pasukan Gerakan Am, ‘Tiger Platoon’.

Al-Sultan Abdullah turut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Baginda dalam pada itu turut berkenan melawat reruai berkaitan demonstrasi antikeganasan di Pulapol sebelum berangkat pulang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri kongsi gambar dua cucunda lelaki

SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah berkenan berkongsi gambar dua cucunda yang selamat diputerakan baru-baru ini.

Istana Negara dalam perkongsian di Facebook turut berkongsi nama kedua-dua cucunda diberi nama Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser yang diputerakan Isnin lepas, manakala Tengku Aleya Norlini Tengku Abu Bakar Ahmad, semalam.

Menurut Istana Negara, Tengku Nuh Muhammad Shah adalah anakanda ketiga Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

Manakala Tengku Aleya Norlini pula adalah anakanda kedua Tengku Abu Bakar Ahmad dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri ucap Selamat Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan semoga rakyat dan keluarga tersayang dilimpahi kesejahteraan, keafiatan dan keceriaan, serta semoga sambutan Tahun Baharu Cina mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat muhibah sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa,” seperti hantaran dimuat naik di laman Facebook dan Instagram Istana Negara.

Seri Paduka berdua menasihati rakyat dalam meraikan perayaan berkenaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, dengan berdisiplin mengamal kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Masyarakat Tionghua akan meraikan Tahun Baharu Cina pada esok yang mewakili permulaan Tahun Baharu dalam kalendar Lunar.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.

-BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong perkenan tubuh suruhanjaya diraja siasat isu Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman, Pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain, bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

Wan Junaidi berkata ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah.

-BERNAMA