Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelanggan Agro Prihatin Selangor boleh petik sendiri sayuran dibeli

SHAH ALAM, 30 OGOS: Program Agro Prihatin Selangor di tapak jualan Kebun Komuniti Seksyen 7 menawarkan peluang kepada pelanggan memetik sendiri sayuran.

Pengelola tapak Muhd Hafizee Ahmad Zawawi berkata pelanggan juga dibenarkan melawat persekitaran kebun dan melihat proses pertanian di situ.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat memberi pengalaman baharu kepada pelanggan, malah dapat menarik lebih ramai pengunjung.

“Antara yang boleh dipetik pucuk ubi, kangkung, serai, daun kunyit, cili api, daun kesum, peria, daun selasih dan pegaga.

Pengelola tapak jualan Program Agro Prihatin Selangor Kebun Komuniti Seksyen 7, Mohd Hafizee Ahmad Zawawi.

“Ini memberi kepuasan kepada mereka. Sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mereka tak boleh balik kampung jadi cara ini boleh mengubat kerinduan,” katanya ketika ditemui semalam.

Muhd Hafizee berkata tapak jualan itu dibuka setiap Sabtu dan Ahad sejak awal Ogos dan menawarkan harga jualan lebih murah berbanding pasaran.

Selain sayuran dari kebun terbabit, pusat berkenaan turut menjual ikan dan ayam segar, buah-buahan dan barangan kering.

“Anggaran pengunjung setiap minggu seramai 300 orang dan kita jangka jumlah ini akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pelanggan, Hanizan Abdul Aziz berkata dia memborong pelbagai sayuran kampung di pusat jualan berkenaan.

“Semua sayuran pula segar dan harga pun murah. Ini kali kedua saya datang membeli barangan mentah di sini,” kata kakitangan swasta itu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Agro Prihatin Selangor diperluas, bina pusat jualan di kebun komuniti

SHAH ALAM, 29 OGOS: Program Agro Prihatin Selangor meluaskan jualan hasil ladang dengan membuka tapak berhampiran kebun komuniti, menurut Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS).

Pengurus kanan pembangunan institusi pemasarannya berkata tapak jualan Kebun Komuniti Seksyen 7 menjadi projek rintis dan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad sejak awal bulan ini.

Pengurus Kanan Pembangunan Institusi Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Fazir Abdul Latif

“Mengikut perancangan, tapak jualan kebun komuniti ini juga akan dibuka di Puchong, Selayang dan Putrajaya namun ia belum diputuskan. Kira-kira 10 peniaga terbabit.

“Dengan penambahan pusat jualan ini orang ramai lebih mudah mendapatkan produk segar dan harga berpatutan,” kata Mohd Fazir Abdul Latif.

Menurutnya, tapak itu tidak hanya menjual hasil tanaman kebun komuniti sahaja sebaliknya juga hasil dari Selangor Fruit Valley, Rawang.

“Pusat ini bukan bersaing dengan pasar tani tetapi kita mahu meluaskan jualan dan memudahkan orang awam mendapat bekalan segar,” katanya.

Pada Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan program berkenaan dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 10 lokasi terpilih.

Lokasi berkenaan di Wisma PKPS, Seksyen 14; Wisma Sidah, Seksyen 7; Holysmike Cafe, Seksyen 13; Taman Meru Jaya, Meru dan Selangor Fruit Valley.

Lima premis lagi membabitkan pusat operasi Agropreneur Selangor (Agrosel) Bangi, Kota Raja, Pandan Indah dan pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Puchong dan Dengkil.

Categories
AGENSI EXCO SELANGOR

Agro Prihatin Selangor tawar hasil tani berkualiti, harga murah

SHAH ALAM, 15 JULAI: Produk hasil tani dijual di Agro Prihatin Selangor menawarkan harga jauh lebih murah berbanding pasaran, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata menjadi fokus Kerajaan Negeri membantu golongan petani selain memastikan hasil pertanian mereka dipasarkan.

“Kita merangka dua perkara penting iaitu membantu petani yang saban hari membanting tulang dalam menyedia dan mengeluarkan produk pertanian.

“Selain hasil tersebut dipasarkan dan rakyat menikmati produk berkualiti, harga berpatutan yang jauh lebih murah dari pasaran,” katanya menerusi video Agro Prihatin Selangor di Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS Dato’ Abd Ghariff Amin berkata terdapat empat jawatankuasa penting dalam melaksanakan program Agro Prihatin Selangor.

“Bermula daripada jawatankuasa aduan yang mana mereka akan menilai hasil komoditi kemudian pihak logistik akan ambil dan bawa ke Agro Prihatin untuk dijual.

“Satu lagi jawatankuasa penentu harga yang menentukan produk dijual pada harga ladang, borong atau runcit,” katanya yang tidak akan bebankan petani dengan menjual pada harga terlalu rendah.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan Program Agro Prihatin dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di lokasi terpilih.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agro Prihatin Selangor di 10 premis, jual hasil tani lebih murah

SHAH ALAM, 15 JUN: Program Agro Prihatin Selangor akan menjual hasil ladang di 10 premis bagi mengatasi masalah lambakan pertanian.

Premis berkenaan ialah Wisma PKPS, Seksyen 14; Wisma Sidah, Seksyen 7; Holysmike Cafe, Seksyen 13; Taman Meru Jaya, Meru dan Selangor Fruit Valley, Rawang.

Lima premis lagi membabitkan pusat operasi Agropreneur Selangor (Agrosel) Bangi, Kota Raja, Pandan Indah dan pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Puchong dan Dengkil.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi poster memaklumkan hasil tani dijual adalah pisang tanduk, pisang berangan, pisang toman, ubi kayu, tomato, cili bara dan cili Thailand.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan Program Agro Prihatin dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di lokasi terpilih.

Program terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan nilai keseluruhan RM551.56 juta itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.