Categories
AGENDA NASIONAL

Polis pantau ah long tawar pinjaman kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima maklumat mengenai beberapa individu dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mula mendekati mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata walaupun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu, namun polis tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut menyasarkan mangsa banjir untuk menjadi peminjam.

“Semua mangsa banjir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen ini.

“Polis sentiasa komited untuk memantau kegiatan ah long melalui siasatan dan operasi berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata siasatan berhubung perkara ini boleh dijalankan mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tahan 18 lelaki disyaki Ah Long

SHAH ALAM, 10 JUN: Polis menahan 18 lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long dalam lima operasi berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata kesemua suspek berumur 20 hingga 55 tahun itu ditahan dalam ‘Op Vulture’ untuk mengekang kegiatan Ah Long di negeri ini.

“Kesemua suspek ditahan di lima lokasi iaitu di Klang Utara, Klang Selatan, Petaling Jaya, Kajang dan Serdang.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas 38 telefon bimbit, dua unit komputer riba, 42 keping kad ATM, wang tunai berjumlah RM5,736 serta pelbagai dokumen dipercayai maklumat diri peminjam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati enam daripada 18 suspek berkenaan turut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau malah ada dalam kalangan mereka dikesan menggunakan kekerasan termasuk mengugut peminjam.

Katanya, kesemua suspek itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Yazid berkata sebanyak 1,662 individu diperiksa Polis Selangor dalam ‘Op Mabuk’ bagi tempoh Januari hingga Mei lepas.

Beliau berkata daripada jumlah yang diperiksa itu, 50 individu ditahan kerana memandu dan menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Kita akan mempertingkatkan lagi tahap kekerapan operasi bagi mengesan pemandu mabuk susulan kebenaran perjalanan rentas negeri bermula tengah malam tadi.

“Ini kerana akan ada lebih banyak kenderaan di jalan raya apabila orang ramai pulang ke kampung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos depan,” katanya.

– BERNAMA