Categories
SELANGOR

Najwan manfaat masa santuni masyarakat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi komited menyantuni masyarakat di DUN itu dengan pelbagai program bagi mendekati di samping mengenali antara satu sama lain.

Najwan berkata, baru-baru ini beliau merasmikan Program Intervensi Awal (PIA) Kanak-Kanak bersama Persatuan Orang Pekak Selangor anjuran bersama Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Ia khusus diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dengan pendidikan berteraskan pelbagai jenis terapi termasuk ‘physiotherapy’, ‘occupational therapy’, ‘speech therapy’ dan ‘hydrotherapy’.

“Program ini membantu ibu bapa mengambil langkah awal mengelakkan berlaku masalah sampingan pada keadaan fizikal anak-anak mereka di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Najwan bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan pemangku ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari menyantuni dan berbuka puasa bersama kariah Surau Al-Falah di Bukit Subang.

Seterusnya beliau juga menyantuni kariah serta menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih di Surau Al-Iman di Pangsapuri Teratai, Bukit Subang.

“Saya turut menyampaikan tazkirah ringkas dan mengupas tentang kelebihan melakukan kebajikan dalam bulan Ramadan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelaku aktiviti sampah haram berdepan tindakan tegas

 

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 OKT: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik tanah persendirian atau penceroboh tanah kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti pelupusan sampah haram di kawasan Taman Bukit Subang, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, pihaknya memohon proses undang-undang dilaksanakan segera oleh pihak bertanggungjawab memandangkan banyak operasi sudah dijalankan di kawasan itu sebelum ini.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah buat operasi minggu lepas, namun apabila saya datang buat pemeriksaan, keadaan kembali diceroboh dan perkara ini harus diambil tindakan sewajarnya.

“Saya telah menghubungi pihak pengurusan daerah untuk membersihkan semula kawasan ini serta menangkap anjing liar supaya keadaan kembali terkawal,” katanya.

Yaakob berkata, kawasan tersebut juga telah diletakkan notis, namun penceroboh dilihat masih degil dan ingkar.

“Sebelum ini, pihak berwajib datang membersihkan kawasan, menangkap sebahagian anjing liar di sini dan membina longkang tetapi ia ditimbus semula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Melati, Nor Azman Mohamed berkata, aktiviti pembuangan sampah haram di tapak itu semakin tidak terkawal sehingga mengganggu kehidupan penduduk sekitar.

“Sudah enam tahun perkara ini berlanjutan dan banyak laporan dibuat kepada pihak berkenaan, namun mereka masih lagi beroperasi secara haram seakan tidak takut kepada undang-undang.

“Saya memohon pihak berwajib menutup kawasan ini kerana ia menyebabkan kekacauan kepada penduduk dan sekiranya dibiarkan akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Aktiviti haram di tapak berkeluasan kira-kira 1.5 ekar itu terletak berhampiran cerun bukit yang memisahkan Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Teratai.

Ia juga terletak di kawasan di bawah talian penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Categories
SELANGOR

MBI agih sumbangan Aidilfitri RM105,000 buat tiga DUN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Pejabat ADN Kota Anggerik menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM20,000 kepada anak yatim dan asnaf, semalam.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Anak Yatim dan Anak Asnaf di Masjid Azhariah (UNTA) Seksyen 18 disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, sumbangan ini adalah satu lagi tindakan yang diusahakan melalui kerjasama bersama komuniti tempatan.

“Golongan ini penting untuk dipeduli bagi menaikkan kualiti sosio ekonomi mereka sekali gus menjamin kesejahteraan negeri.

“Justeru, kecemerlangan prestasi anak syarikat dan kebajikan jemaah harus diperjuangkan bersama. Ini pendekatan ‘two pronged’ yang kami akan terus rencanakan bagi memastikan semua warga Selangor yang memerlukan dibantu sewajarnya,” katanya.

Secara keseluruhan 200 individu menerima sumbangan yang turut diagihkan kepada keluarga yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Dalam perkembangan sama, MBI turut menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM20,000 kepada asnaf fakir di DUN Kota Damansara.

Ia kemudiannya disusuli dengan sumbangan di DUN Sementa berjumlah RM65,000.

Categories
SELANGOR

“Biarlah cerdik kalau nak mengkritik”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Selangor sentiasa terbuka menerima kritikan, namun ia haruslah ‘cerdik’ dan bertempat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Beliau berkata, sebarang perkara dibangkitkan perlulah mempunyai fakta tepat, seperti isu bumbung Masjid Negeri di Shah Alam yang sengaja digembar-gemburkan.

yaakob interview yellow stripe 01“Kepada mereka di luar sana, kalau hendak kritik Kerajaan Negeri pilihlah isu betul. Jangan pilih isu bumbung Masjid Negeri, anda kelihatan tidak cerdik.

“Lagi banyak cakap, lagi terserlah kebodohannya. Kami sedia menerima teguran tetapi biarlah bertempat,” katanya dalam satu posting di Facebook, hari ini.

Yaakob berkata, pihaknya sentiasa menekankan isu Masjid Negeri, Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tasik Shah Alam semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, meskipun Shah Alam adalah ibu negeri, namun kebanyakan bangunan di kawasan itu sudah terlalu usang dan buruk ekoran dibina lebih 30 tahun lalu.

“Alhamdulillah fasad luar menara MBSA siap dibaiki dengan belanja lebih kurang RM24 juta melalui tender terbuka, manakala kemudahan Tasik Shah Alam sedang dinaik taraf.

IMG_20160129_113001“Masjid Negeri tempat tumpuan umat Islam, bukan hanya dalam negeri bahkan luar negara di mana setiap minggu lebih 20,000 umat Islam berkunjung ke situ.

“Disebabkan bumbung masjid kelihatan usang, saya minta supaya ia diperbaiki, sesuai dengan namanya Masjid Negeri,” katanya.

Beliau turut memuji pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang meneruskan kerja membaik pulih masjid berkenaan demi kepentingan umat Islam.

“Ketelusan dan tiada ketirisan dalam Kerajaan Selangor melonjakkan hasil negeri, malah rizab juga dapat ditingkatkan,” katanya.

-AA-