Categories
SELANGOR

Bas Smart Selangor laluan Batang Kali dipinda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 MAC : Laluan Bas Smart Selangor di Batang Kali dipinda bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik mulai hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, beliau sudah berbincang dengan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk memanjangkan lagi laluan bas berkenaan.

“Selepas saya menaiki Bas Smart Selangor, berita gembira mahu disampaikan kepada penduduk Batang Kali, Ulu Yam dan Antara Gapi.

“Laluan bermula dari Stesen Komuter Batang Kali bertambah dari satu arah ke dua arah iaitu Arah Antara Gapi dan Arah Bandar Utama Batang Kali,” katanya dalam kenyataan.

Kee Hiong berkata, laluan juga bakal dipanjangkan ke Kampung Sungai Masin dan Desa Alam Ria.

Pada 2016, MDHS mula dilengkapi dua Bas Smart Selangor bagi laluan membabitkan jajaran Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bharu dan Jajaran Stesen Komuter Batang Kali ke Ulu Yam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan.

Katanya, ia turut membabitkan laluan di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi, di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ridership dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Categories
SELANGOR

Warga emas perlu ambil peluang daftar SMUE

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Rakyat di Selangor berusia 60 tahun ke atas disarankan mendaftar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi memastikan bantuan RM2,500 dapat disalurkan kepada waris terdekat untuk mengurangkan kos pengurusan kematian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, sekiranya mereka sudah melepasi had umur tetapi tidak mendaftar, ia akan menimbulkan kesukaran menuntut wang pendahuluan RM1,000.

“Apabila meninggal dunia, waris boleh menuntut di Pusat Khidmat DUN dan RM2,500 dibayar dalam dua fasa.

“Fasa pertama waris akan menerima RM1,000 dan baki akan dibayar dalam fasa kedua,” katanya laporan Sinar Harian.

Menurutnya, bantuan tersebut dapat digunakan untuk pengurusan jenazah dan pengebumian selain menyelesaikan sebahagian hutang si mati.

SMUE merupakan antara program terkandung dalam Inisatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

Sehingga 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri sudah membayar RM201,088 juta kepada waris berdaftar.

Categories
SELANGOR

Caj parkir tinggi, keluhan pengguna dipeduli

OLEH NAEEM RAFFI

BATANG KALI, 18 JULAI: Bertindak diatas keluhan pengguna yang terkesan dengan kadar caj parkir kenderaan di Stesen KTM di sini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong turun ke lokasi.

Katanya, caj RM4 bagi kereta dan RM1 bagi motosikal sekali masuk yang dilaksanakan lebih sebulan itu bukan sahaja tinggi, malah kutipan bayaran itu tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Sehubungan itu, pihaknya sudah menulis sepucuk surat kepada Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai untuk tindakan lanjut.

“KTMB tidak memohon lesen perniagaan daripada MDHS bagi mengutip bayaran parkir. KTMB merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Pusat sepatutnya menjadi teladan kepada syarikat lain,” tulis dalam surat berkenaan.

Mengulas lanjut, Kee Hiong berkata, kawasan komersil Bandar Batang Kali yang terletak bersebelahan stesen KTM itu kini berdepan masalah parkir ekoran pengguna perkhidmatan komuter memilih lokasi itu sebagai alternatif untuk memakir kenderaan mereka.

“Kebanyakkan pengguna KTM yang tidak mampu membayar pakir terpaksa pakir di kawasan lain sejak KTMB melaksanakan kutipan itu.

“Kawasan komersil ini menjadi alternatif kepada pengguna memandangkan ia tidak menggenakan bayaran. Perkara ini menimbulkan masalah pakir kepada peniaga dan penghuni kawasan komersil tersebut,” katanya.

Kee Hiong menambah, caj parkir tidak sepatutnya dikenakan memandangkan ia merupakan kemudahan pengguna pengangkutan awam.

Ia juga merencatkan usaha menarik pengguna memilih kemudahan awam untuk berulang-alik kerja bagi menjimat masa dan kos.7932f1a7-45d5-42e4-927c-238dcde16fdd