Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Pemasyhuran MPKS beri penduduk kehidupan lebih sejahtera

SHAH ALAM, 7 OGOS: Hari bersejarah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diisytihar majlis perbandaran wajar dirai penuh kesyukuran, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli mengambil kesempatan merakam ucapan tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat dan seluruh warga kerja atas pengisytiharan itu.

“Penaiktarafan ini bakal memberikan penduduk kehidupan lebih sejahtera lagi lestari, mutu penyampaian perkhidmatan lebih berkualiti dan pembangunan sosioekonomi serta pemeliharaan alam semulajadi seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya Zulkifli

Beliau menyambut baik komitmen Yang Dipertua MPKS untuk menaiktaraf aset dan kepelbagaian produk ekopelancongan dan warisan di Kuala Selangor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Antaranya Taman Alam Kuala Selangor, Dataran Keris, Bukit Malawati, Sky Mirror, Kota Tanjung Keramat, Pekan Lama Kuala Selangor dan Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan sebagaimana terkandung dalam Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025.

“Sesungguhnya aset dan khazanah warisan tempatan ini harus terus dipelihara dan diangkat sebagai permata pelancongan dan warisan negara.

“Semoga usaha MPKS dan Kerajaan Negeri dalam memastikan urus tadbir yang cekap dan amanah disamping kemajuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan mengisytihar MDKS kepada perbandaran selepas 43 tahun berstatus daerah.

Upacara pengisytiharan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

YB Juwairiya tegas atasi pencemaran sungai, keciciran murid

ANTARA cabaran awal yang dihadapi Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati adalah pencemaran Sungai Buloh di Kuala Selangor.

Justeru, Juwairiya Zulkifli, 35, melancarkan misi menyelamatkan sungai itu bagi memastikan mata pencarian nelayan dan reputasi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan tidak terus terjejas.

Sebelum ini, kualitinya air turun daripada kategori sederhana tercemar kepada tercemar.

Berkhidmat penggal pertama, beliau kerap turun padang, malah rajin membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor. Juwariya juga menulis kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Juwairiya bertekad masalah akibat pembuangan sisa kumbahan kilang dan kegiatan pertanian yang berlarutan lebih 15 tahun harus dinoktahkan. Usahanya membuahkan hasil sejak pertengahan tahun lalu apabila pihak berkuasa melakukan siri siasatan dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pencemaran Sungai Buloh menjejaskan pendapatan penduduk termasuk nelayan dan memberi imej negatif kepada perkembangan sektor pelancongan di Kuala Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Berhenti sekolah

Juwairiya juga berusaha mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid akibat kesempitan hidup. Sesetengah kanak-kanak atau remaja dikesan bekerja bagi membantu keluarga.

Juwairiya Zulkifli

Sejak 2018, beliau membantu empat murid kembali ke sekolah. Mereka meninggalkan bangku persekolahan berikutan kematian bapa. Ibu mereka pula mengalami masalah kesihatan dan menjaga adik bongsu yang masih bayi.

“Abang bekerja sebagai mekanik dan adik pula mengambil upah menggubah bunga malai. Apabila ditanya kedua-duanya masih mahu ke sekolah tetapi perlu membantu keluarga.

“Mereka sebenarnya tiada pilihan selain berhenti sekolah. Jadi, kita bantu dengan sediakan dokumen persekolahan dan pada masa sama memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk keluarga mereka,” katanya.

Juwairiya bertemu pengurusan sekolah yang turut memberitahunya ada pelajar datang dalam keadaan tidak bersedia atau selekeh.

“Ada murid terpaksa bekerja sebelum ke sekolah. Perkara seperti itu tidak harus berlaku kerana individu bawah usia 18 tahun tidak boleh bekerja mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan).

“Jadi pentingnya bagi saya tumpu usaha mengatasi masalah keciciran murid ini kerana hanya melalui pendidikan mereka dapat mengubah kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Beliau juga memastikan destinasi pelancongan seperti Sky Mirror, kelip-kelip di Kampung Kuantan, memberi makan kepada helang, Bukit Melawati dan Muzium Daerah Kuala Selangor terjaga dengan baik, malah turut mempromosikannya.

Juwairiya percaya kehadiran pelancong memberi pulangan lumayan kepada penduduk setempat. Justeru, Juwairiya mengambil inisiatif menerbitkan video promosi pelancongan Cuti-Cuti Kuala Selangor.

“Perbincangan juga diadakan dengan Tourism Selangor untuk mempromosikan kawasan pelancongan dalam DUN Bukit Melawati,” jelas beliau.

Penerima insentif di DUN Bukit Melawati:

1. Skim Insurans Peduli Sihat: 1,914 orang
2. Skim Mesra Usia Emas: 910 orang
3. Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 272 orang

Categories
SELANGOR

Sumbang pakaian, bantu mereka yang memerlukan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Menjelang Aidilfitri, orang ramai digalak menyumbang pakaian menerusi Projek Baju Raya 2.0, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian sendiri.

Katanya, projek itu juga bersesuaian dengan bulan Ramadan yang sememangnya menggalakkan amalan bersedekah dan membantu golongan kurang berkemampuan.

“Program kali kedua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) saya anjurkan mendapat sambutan dan permintaan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Malah, menerusi projek ini ia antara landasan terbaik untuk orang ramai menyumbang pakaian raya mahupun pakaian lain sama ada kepada dewasa, wanita dan kanak-kanak.

“Ramadan juga antara bulan yang amat digalakkan untuk umat Islam bersedekah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya sebelum 17 Mei di PKM Bukit Melawati.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi 0198728085 (Najib) atau 0172195685 (Atie).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Orang ramai dijemput meriahkan Karnival Wanita DUN Bukit Melawati

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Wanita bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dataran D’Anjung Santai Kuala Selangor, di sini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, karnival itu akan berlangsung pada 30 hingga 31 Mac ini dari 9 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan khas untuk kanak-kanak dan wanita pelbagai peringkat usia.

“Saya menjemput orang ramai terutama yang berada di Kuala Selangor dan seluruh rakyat di negeri ini hadir dan turut serta dalam program yang disediakan pada hari terbabit,” tulisnya di Facebook.

Antara pengisian menarik pada karnival itu adalah pemeriksaan kesihatan am, forum pencegahan keganasan terhadap wanita, perkongsian berkenaan pencegahan gangguan seksual terhadap wanita dan bengkel membuat aneka roti.

Selain itu, turut diadakan tutorial penjagaan kulit dan mekap, bengkel membuat kraftangan bakul, senamrobik dan zumba serta pemeriksaan mammogram percuma.

Antara lain turut diadakan kaunter pendaftaran program Insentif Peduli Rakyat Selangor seperti Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Bantuan Sihat Selangor.

Manakala, pertandingan mewarna turut diadakan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun ke bawah.

Turut diadakan kaunter bertemu pelanggan oleh jabatan kerajaan anjuran Yayasan Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Air Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Categories
SELANGOR

Bina jambatan konkrit, Juwairiya tunai janji

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 20 JUL: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menunaikan janjinya pada Pilihan Raya ke 14 (PRU14) yang lalu bagi membaiki sebuah jambatan usang.

Juwairiya berkata, jambatan tersebut adalah satu-satunya jalan yang menghubungkan rumah penduduk di Kampung Asahan Batu 6 dengan jalan utama.

“Saya pernah berjanji kepada salah seorang penduduk di situ yang juga warga emas, saya lihat jambatan tersebut begitu usang dan paling membahayakan kerana ia hampir roboh.

“Kerja pembinaan jambatan baru ini dijangkakan bermula September depan setelah kerja pembersihan parit dibuat,” katanya kepada SelagorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian bersama penghulu, wakil Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Juwairiya berkata, sehingga kini Pejabat Daerah dan Tanah sedang merangka kos jambatan baru.

“Saya cadangkan supaya jambatan kayu yang sedia ada sekarang digantikan dengan jambatan konkrit bagi membolehkan kenderaan berat masuk.

“PRU14 baru sahaja berlalu, saya akan berusaha menunaikan janji yang dibuat serta berharap supaya penduduk lebih selesa,” katanya.