Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

353 mangsa banjir Kinrara diminta hadir terima bantuan hari ini

SHAH ALAM, 26 FEB: Seramai 353 mangsa banjir dari Taman Kinrara dan Kinrara Court diminta hadir ke Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB), hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata tempoh penyerahan bantuan bermula jam 9.30 pagi hingga 1 petang.

Katanya, selain bantuan BSB, Bantuan Wang Ihsan dari kerajaan persekutuan turut diberikan kepada mangsa.

“Saya faham ramai yang masih belum terima bantuan ini. Moga bantuan ini dapat membantu meringankan beban semua mangsa,” katanya di Facebook.

Ng Sze Han juga turut berkongsi senarai nama penerima bantuan yang merangkumi 192 mangsa dari Taman Kinrara dan 161 mangsa dari Kinrara Court.

Selain itu, beliau meminta warga Kinrara mengikuti telegram https://t.me/infosayangikinrara bagi mendapatkan maklumat terkini dan program yang berlaku di kawasan berkenaan.

Senarai nama penerima boleh dilihat menerusi telegram https://t.me/infosayangikinrara

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 25,000 individu terima dos pertama vaksin di Puchong Indah

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 25,190 individu menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong Indah setakat semalam.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata semua penerima itu mendapat dos pertama sejak PPV tersebut mula beroperasi pada 26 Julai lalu.

“Mulai hari ini, PPV ini akan diteruskan dengan pemberian suntikan dos kedua sahaja,” katanya menerusi Facebook.

Pada 25 Jun, EXCO kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Pembukaan PPV itu diharap mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat khususnya penduduk setempat.

Pada 22 Julai Sze Han memaklumkan sebuah PPV berskala kecil beroperasi di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah bermula 26 Julai.

PPV itu mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa dan dibuat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).