Categories
ADN SELANGOR

SRA Jalan Kebun padat, bina segera SRA Kota Kemuning

SHAH ALAM, 29 DIS: Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang baharu di Kota Kemuning perlu disegerakan bagi menangani kepadatan pelajar di SRA Jalan Kebun.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, penempatan yang padat di kawasan sekitar memberi impak kepada SRA Jalan Kebun apabila kebanyakan penduduk terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah itu

“Saya sudah berjumpa dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan perkara ini.

“Alhamdulillah, JAIS menyediakan dokumentasi untuk pembinaan sekolah baru di Kota Kemuning bersebelahan dengan padang bola Green Ville.

“Diharapkan projek ini dapat disegerakan untuk menampung jumlah pelajar yang terus meningkat,” katanya kepada SelangorKini.

Zawawi berkata, jumlah pelajar yang terlalu ramai menyebabkan keadaannya menjadi tidak lagi kondusif sebagai tempat pengajian serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada mereka.

Difahamkan, kemasukan pelajar ke SRA Jalan Kebun menjangkau 3,000 pelajar pada 2020.

Categories
ADN PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerjasama erat penuhi keutamaan rakyat

SUNGAI KANDIS, 8 SEPT: Kerjasama dijalinkan antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan pelbagai pihak berkaitan membantu merencana pembangunan baik buat DUN berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu terbukti dengan kehadiran pelbagai pihak sempena Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis, malam tadi.

Katanya, beliau kagum kehadiran pelbagai pihak antaranya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ahli Majlis dan jabatan seperti Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga agensi Kerajaan Negeri.

“Saya percaya, beliau (Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni) mampu memikul tanggungjawab dan harapan Selangor.

“Tugasan ini bukan mudah, namun saya percaya kerjasama pelbagai pihak hari ini sebagai tanda mereka mempunyai hubungan baik untuk bersama membantu isu berkaitan rakyat sekali gus merencana pembangunan di kawasan DUN Sungai Kandis,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menandatangani plat sempena Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis di Bandar Putera 2 Klang, pada 8 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis dan Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis, di sini.

Turut hadir, Ahmad Zawawi; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri ; ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamed Yasid Bidin.

Terdahulu, Amirudin turut melancarkan buku Setahun Pentadbiran DUN Sungai Kandis.

Dato’ Menteri Besar , Amirudin Shari memotong riben simbolik perasmian sempena Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis di Bandar Putera 2 Klang, pada 8 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Pada masa sama, Amirudin berkata, lokasi Pusat Khidmat Rakyat yang baharu itu lebih strategik dan akan memudahkan lagi rakyat mendapat perkhidmatan atau bantuan dari DUN terbabit.

Pusat Khidmat Rakyat terbabit juga mesra warga emas memandangkan ia berada di tingkat bawah.

Manakala, di tingkat atas dilengkapi kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik aktiviti Pusat Wanita Berdaya dan surau.

Ahmad Zawawi meraih 15,427 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sekali gus dipilih menjadi ADN, pada 4 Ogos tahun lalu.

PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

Bubur Somsom khas buat penduduk Sungai Kandis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 MEI: Lebih 1,000 pek Bubur Somsom diedarkan khas buat penduduk Kampung Sungai Kandis, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, makanan tradisi masyarakat Jawa itu dimasak khas sempena sambutan Ramadan, kali ini.

“Kebiasaannya kami megedarkan bubur lambuk, tetapi disebabkan ia sudah biasa diberi secara percuma pada bulan Ramadan, maka kami buat kelainan dengan memasak Bubur Somsom.

“Bubur Somsom ini juga simbol kepada keamanan dan keselamatan dalam komuniti masyarakat Jawa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Bubur Kacang Hijau dan juga Bubur Somsom kepada penduduk di Jalan Sungai Kandis, di sini.

Lebih 20 sukarelawan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut memasak bubur berkenaan.

Turut membantu ialah Penggerak Belia Tempatan Zon 15 Majlis Bandaraya Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia dilaksana

SHAH ALAM, 8 MAC: Kempen ‘Banteras Pembakaran Terbuka – Johan Setia’ dilaksana sebagai inisiatif mencegah berlakunya kejadian kebakaran ketika cuaca panas ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini kerana Johan Setia adalah kawasan kerap berlaku kebakaran hutan setiap tahun ketika negara berdepan cuaca panas.

Katanya, kempen itu dijalankan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon Sungai Kandis B dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia.

“Menerusi kempen ini penduduk bertindak sebagai agen pemberi maklumat berkenaan kegiatan pembakaran terbuka secara ‘on the spot’ menggunakan kaedah laporan ‘STS – Snap, Tag & Send’ menerusi aplikasi Whatsapp.

“Dengan tiga langkah mudah ini, penduduk hanya perlu mengambil gambar pembakaran terbuka (snap) kemudian menanda lokasi Maps (tag) dan hantar (send) kepada nombor kordinator Unit Bertindak kempen ini yang akan dimaklumkan pada bahan kempen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pejabat Ahli Majlis Zon Sungai Kandis juga akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ untuk kegunaan penguatkuasa MPK (Skuad Pantas) dan agensi lain yang turut terlibat dalam menjalankan operasi pemantauan, pencegahan dan pemadaman kebakaran.

– BERNAMA