Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

Categories
SELANGOR

Xavier: Selangor Jamin Tiada Krisis Air Menjelang 2014

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dicanang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar berkata isu yang sengaja dimainkan ini jelas propaganda politik kerajaan Umno-BN dalam usaha menakut-nakutkan rakyat Selangor bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN Pusat merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum akan datang.

“Kerajaan Selangor menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang boleh digunapakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya bagi membidas segala dakwaan jahat Kerajaan Pusat dan SYABAS.

Xavier berkata antara kaedah terkini yang akan digunapakai bagi merawat air ialah proses pengambilan air mentah dari bekas lombong, punca air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai dan air mentah dari takungan air hujan.

“Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk kegunaan sektor perindustrian di Selangor.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen permindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran tweknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air,”

Xavier berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Xavier berkata kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air bagi menambung keperluan harian rakyat.

“Ini merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding projek membangunkan insfratruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbillion ringgit wang pembayar cukai,”katanya.

Tindakan Kerajaan Selangor menguasai industri air negeri bertujuan bagi meringankan bebanan rakyat selain mengekalkan pemberian air percuma 20 meter padu kepadaa rakyat.

Manakala Syabas merancang untuk menaikkan tarif bil air sebanyak 37 peratus namun dibantah oleh kerajaan negeri.

 

Categories
SELANGOR

Pendahuluan 5% Untuk Mulakan Program CERIA Fasa 11

SHAH ALAM,15 FEB : Penduduk yang telah ditawarkan bantuan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) Fasa Kedua perlu mengemukakan bahagian mereka sebelum 7 Mac 2012 akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar bin Abdul Samad berkata Untuk Fasa Kedua CERIA, 50 kawasan pangsapuri telah ditawarkan dan 26 kawasan telah mengemukakan bahagian mereka.

Di bawah CERIA, penduduk pangsapuri kos rendah perlu mengemukakan pendahuluan sebanyak 5 peratus dari kos membaikpulih sebelum kerja-kerja dimulakan. Baki 15 peratus boleh dibayar secara ansuran.

“Penduduk pangsapuri kos rendah hanya perlu menanggung 20 peratus dari kos baikpulih dan Kerajaan Negeri akan menanggung 80 peratus. Adalah diharapkan 24 kawasan yang belum mengemukakan bahagian mereka melakukannya secepat mungkin.

“Sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan 5 peratus ini, maka diharap mereka dapat membincangkannya dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Tambah Iskandar ,jika mereka gagal datang berbincang sebelum 7 Mac 2012, maka kawasan mereka akan ditangguh perlaksanaannya ke Fasa Ketiga.

Kawasan-kawasan yang berada di Fasa Ketiga pula akan menggantikan giliran mereka.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk membaikpulih 100 kawasan di bawah CERIA. Untuk Fasa Pertama, 18 kawasan telah ditawarkan dengan 10 kawasan telah siap sepenuhnya,” katanya.

Noh Omar Dicabar Tidak ‘Lidah Bercabang’ Cabar Selcat

SHAH ALAM,3 JANUARI : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar digesa agar tidak bersikap ‘lidah bercabang’ dalam mempersoalkan kedudukan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sedangkan pada masa yang sama pimpinan Umno dan Barisan Nasional itu tidak mengiktiraf Selcat di sisi undang-undang.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim yang dihubungi Selangor Kini berkata pendirian Noh Omar yang mempersoalkan kes Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dilihat tidak konsisten apabila mencabar Selcat ke mahkamah dengan alasan tidak mengikut perlembagaan.

” Saya minta Noh Omar menyatakan pendirian sebenarnya, jika Selcat itu sah, maka mengapa Umno mencabar kedudukan Selcat di mahkamah, kalau dia cabar Selcat daripada segi kedudukan undang-undang, maka mengapa Noh Omar amat mengharapkan Selcat melaksanakan siasatan, apa pendiriannya yang sebenarnya pimpinan Umno ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Noh Omar mencabar Chang Kim untuk memperjelaskan situasi sebenar perjalanan kes KSSB dalam jawatankuasa tersebut yang turut menuduh Chang Kim mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyelesaikan kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berbanding Barisan Nasional (BN).

” Berhubung siasatan terhadap Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), semasa kes itu ditangguhkan pada masa itu dalam proses pendengaran telah pun dimaklumkan yang mana pendapat Selcat pada masa itu tidak ada bukti-bukti rasuah .

“Dan sebenarnya, saksi-saksi yang perlu hadir dalam kes ini telahpun menarik diri, justeru sebenarnya kes-kes seperti ini bergantung kepada kerjasama pegawai kerajaan dan orang ramai , kalau mereka tidak memberikan keterangan maka tidaklah dapat Selcat membuat sebarang rumusan,” jelas Chang Kim.

Menurut Chang Kim lagi, Selcat yang hanya dianggotai seramai tujuh anggota mempunyai bidang tugas dan kuasa yang terhad berbanding agensi PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh membuat serbuan dan tangkapan dalam siasatan sesuatu kes.

” Selcat hanya boleh menyaman orang agar datang kepada kita, namun jika kita mengkehendaki seseorang itu hadir tetapi beliau sendiri tidak mahu hadir memberikan sebarang keterangan, maka Selcat pun tidak mempunyai apa-apa kuasa lain.

“Orang Umno yang disaman untuk hadir sendiripun tidak datang, seperti kes Khir Toyo dan isterinya yang tidak mahu hadir . Jadi dalam keadaan orang Umno sendiri yang tidak mahu memberikan kerjasama, maka bagaimana mahukan rumusan yang sempurna daripada Selcat,” katanya.

Justeru, Chang Kim mencabar Noh Omar agar membawa kes KSSB kepada SPRM jika yakin mempunyai asas dan bukti rasuah kerana SPRM mempunyai kuasa yang lebih luas berbanding Selcat.

” Seperti kes Khir Toyo dalam isu Balkis yang mana Selcat sudah mengeluarkan keputusan, pihak kerajaan persekutuan tidak membuat apa-apa tindakan.

“Jadi Noh Omar kena fahamlah yang mana dia pun peguam dan menteri yang lama di Parlimen, jadi dia perlu tahu bidang kuasa antara Dewan Undangan Negeri dan bidang kuasa Parlimen,” katanya.