Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Borhan, Zawawi angkat sumpah EXCO Selangor

KLANG, 17 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat sumpah sebagai EXCO Kerajaan Negeri yang baharu di Balairung Seri Istana Alam Shah, hari ini.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Borhan dan Mohd Zawawi kemudian melafazkan Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu mereka patuhi sepanjang memegang jawatan.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan melantik ADUN Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni sebagai EXCO sempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang pada 17 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara Aku Janji tersebut adalah menyimpan rahsia perbincangan, memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Pada 5 Mac, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu ADN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun.

Selain Borhan dan Ahmad Zawawi dari KEADILAN, EXCO lain dari parti tersebut ialah Mohd Khairuddin Othman, Rodziah Ismail dan Hee Loy Sian.

Wakil DAP ialah Dato’ Teng Chang Khim, Ng Sze Han dan V Ganabatirau manakala Dr Siti Mariah Mahmud dan Ir Izham Hashim dari Amanah.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Istana Selangor Menjelaskan Kelewatan Pelantikan Exco

sultan speech exco baru 2013 01

SHAH ALAM 30 MEI : Kelewatan pelantikan jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hanyalah kerana Menteri Besar mendapat perkenan Istana Selangor selepas kembali dari rawatan di luar negara.

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Lela Bakti Mohamad Munir Bani berkata tohmahan mendakwa pelantikan exco terlewat adalah bagi memenuhi kehendak DYMM Sultan Selangor adalah tidak benar sama-sekali.

Selepas upacara pelantikan Menteri Besar Selangor pada 14 Mei lalu, DYMM Sultan telah menitahkan kepada Abdul Khalid Ibrahim untuk mengemukakan senarai ahli exco bagi mendapatkan perkenan.

DYMM Sultan menerima surat mengandungi senarai nama-nama calon exco pada 20 Mei, 6 hari kemudian, semasa Khalid Ibrahim terpaksa bercuti bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Menurut Munir, Khalid hanya menghadap mendapatkan perkenan DYMM Sultan Selangor pada 27 Mei sekembalinya beliau ke tanah air.

?Oleh itu, tidaklah benar tohmahan seorang Ahli Parlimen di Negeri Selangor yang menyatakan kelewetan pelantikan Ahli Exco Negeri Selangor disebabkan untuk memenuhi kehendak DYMM Sultan Selangor.?

Mohamad Munir mengingatkan semua pihak untuk tidak mengheret pihak Istana dalam hal-ehwal politik bagi mengelakkan salah tanggapan rakyat terhadap DYMM Sultan Selangor.