Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 11 OKT: Ahli Majlis culas menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat di zon masing-masing berdepan tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan.
Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah, berkata Kerajaan Negeri sedia membuat siasatan sebelum tindakan keras itu diambil.
“Adun Selangor digesa melaporkan kepada Kerajaan Negeri sekiranya terdapat Ahli Majlis yang gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di zon masing-masing.
“Kita mahu Ahli Majlis yang dilantik ini berfungsi sepenuhnya, mencapai prestasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Hian Wah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (Keadilan-Ijok) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri mempunyai beberapa mekanisme menilai prestasi Ahli Majlis termasuk sama ada Ahli Majlis terbabit ada mewujudkan pejabat perkhidmatan di zon yang diwakili.
Setakat ini, Kerajaan Negeri masih menggunakan sistem lantikan mengikut parti komponen dan bukan dipilih masyarakat setempat.
-nR-