Categories
SELANGOR

UPEN pantau ahli majlis PBT

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MAC: Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bertindak selaku pemantau dan urusetia dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata proses pelantikan ahli majlis bermula dari pencalonan diterma urusetia dari parti komponen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ean Yong Hian Wah“Semua calon ini akan melalui tapisan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (Insolvensi).

“Senarai ini seterusnya dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan dan disahkan sebelum watikah pelantikan dihantar kepada PBT berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, pelantikan ahli majlis PBT adalah berdasarkan Peruntukan Akta 171, akta Kerajaan Tempatan dan perlu memenuhi kriteria ditetapkan dalam Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) PBT:SPBT Bil 2/2013.

DNS 2016“Antara lain laiah kefasihan bertutur Bahasa Kebangsaan, berpengalaman kerja dalam bidang tertentu yang boleh memberi manfaat kepada jawatankuasa berkenaan serta mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam sesuatu bidang.

“Ahli majlis mempunyai latar belakang pendidikan tertentu disyorkan menganggotai jawatankuasa bersesuaian seperti sijil, diploma, ijazah berlatarbelakangkan kewangan untuk jawatankuasa kewangan,” katanya.

Selanjutnya, beliau berkata, penempatan ahli majlis mengikut portfolio jawatankuasa dibahagikan dengan seimbang mengikut latar belakang parti atau NGO masing-masing.

“Bagi syarat tambahan pula, ahli majlis menganggotai jawatankuasa kewangan sebutharga atau jawatankuasa tender tidak boleh menganggotai jawatankuasa audit dan pengurusan korporat dan sebaliknya,” katanya.

-nR-