Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita PAKATAN Selangor sedia isi kuota 30 peratus ahli majlis

SHAH ALAM, 9 DIS: Pemimpin wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor bersedia mengisi kuota 30 peratus ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sesi 2021-2022.

Menerusi kenyataan bersama, ketua wanita gabungan tiga parti itu berkata seramai 84 calon menepati kriteria untuk menyandang jawatan tersebut.

“Kami yakin justifikasi ini mengambil kira rujukan polisi Kerajaan Negeri yang ditetapkan pada 2013 berhubung penglibatan wanita.

“Polisi ini menyediakan garis panduan kepada PBT untuk sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor Rodziah Ismail, Ketua Wanita DAP Selangor Lee Kee Hiong dan Ketua Wanita AMANAH Rawiyiah Zakaria.

Mereka turut merakam penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar yang komited melaksanakan polisi tersebut selain peruntukan RM71.3 juta untuk pembangunan wanita dalam Belanjawan 2021.

Pada 2 Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hampir 25 peratus wanita negeri ini memainkan peranan sebagai pembuat dasar dan keputusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Categories
EXCO SELANGOR

Ahli majlis baharu PBT dilantik bermula Januari 2021

PUCHONG, 5 DIS: Seramai 279 ahli majlis baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilantik pada 1 Januari tahun depan.

EXCO kerajaan tempatan berkata pelantikan membabitkan 122 individu dari Parti Keadilan Rakyat, DAP (97) dan Parti Amanah Negara (60).

“Tempoh perkhidmatan sehingga 31 Disember 2022 dan saya berharap semuanya berjalan lancar,” kata Ng Sze Han selepas mengagihkan kalendar 2021 kepada orang ramai di pasar pagi Puchong Jaya hari ini.

Beliau turut berpuas hati terhadap prestasi ahli majlis PBT pada penggal lalu dan memaklumkan kebanyakan perkhidmatan mereka disambung tahun depan.

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis MPK diminta didik masyarakat perangi denggi

KLANG, 30 JULAI: Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa kerap turun ke kawasan masing-masing bagi mendidik orang ramai menjaga persekitaran dalam memerangi kes denggi.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata masyarakat dilihat semakin lupa bahaya penyakit itu kerana mereka lebih tertumpu kepada Covid-19.

“Sebelum ini memang banyak kempen dan program dijalankan kepada komuniti, tetapi kes (denggi) masih tinggi. Ini bermakna didikan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan lagi.

“Jadi, kita minta Ahli Majlis untuk berkomunikasi dengan komuniti mereka terutama di kawasan strata yang berisiko tinggi kes denggi berbanding rumah teres,” katanya.

Beliau menambah Ahli Majlis perlu memanfaatkan peruntukan Kerajaan Negeri dengan memperbanyakkan kempen dan program pencegahan seperti semburan kabus di kawasan seliaan masing-masing.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sebanyak 33,382 kes demam denggi direkodkan di negeri ini membabitkan 32 kematian sehingga 25 Julai lalu, menurun 21.8 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Lima daerah utama mencatat kes demam denggi tertinggi ialah Petaling (11,869 kes), Hulu Langat (6,279 kes), Klang (6,049 kes), Gombak (4,791 kes) dan Sepang (1,863 kes).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tamat khidmat ahli majlis sah, tiada ‘dendam politik’

SHAH ALAM, 8 MEI: Penamatan khidmat beberapa ahli majlis di negeri ini sah dan tiada unsur dendam politik, tegas setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar.

Borhan Aman Shah berkata tindakan menurut seksyen 10(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bergantung kepada beberapa faktor termasuk kuota pelantikan berdasarkan syor parti politik.

“Maka dalam konteks ini, pelantikan mana-mana ahli majlis adalah prerogatif sepenuhnya parti politik yang sudah pasti berteraskan kepada perkembangan dan keperluan semasa.

“Sejak bermulanya keriuhan politik awal Mac 2020 adalah tidak benar wujud sebarang usaha atau tindakan intimidasi yang bernuansa dendam politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap semua pihak berhenti memainkan sentimen politik mangsa berlebih-lebihan, sebaliknya terus bekerja memenuhi aspirasi rakyat atas kapasiti sedia ada.

Semalam, laporan sebuah media tempatan mendakwa pemecatan ahli majlis di Selangor dibuat berdasarkan dendam politik.

Categories
PBT SELANGOR

Zamri dilantik Ahli Majlis MBPJ

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYAM 27 FEB: Zamri Mohammad secara rasmi dilantik sebagai Ahli Majlis Zon 23 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bagi sesi 2018-2020, hari ini.

Majlis mengangkat sumpah dan lafaz ikrar diadakan di hadapan Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, di Tingkat 1, Dewan Bunga Tanjung, Ibu Pejabat MBPJ.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan perlu menggalas tanggungjawab sebagai penggubal dasar selari dengan dasar Kerajaan Negeri.

“Selain itu, Ahli Majlis perlu menggerakkan masyarakat untuk membabitkan diri secara langsung dalam program dianjurkan dan menjadi perantara antara MBPJ dengan warga Petaling Jaya,” katanya.

Beliau turut berharap Ahli Majlis dapat bekerja keras dan menjalin hubungan lebih akrab dengan masyarakat di kawasan zon pentadbirannya tanpa mengira kaum.

“Ia bagi membantu Petaling Jaya mencapai sasarannya dan mengalakkan masyarakat untuk turut sama ke arah merealisasikan hasrat MBPJ sebagai bandar raya Peneraju, Dinamik dan Lestari,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis muda sumbang idea ‘new skool’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Pembabitan satu pertiga golongan muda sebagai ahli majlis di Pihak Berkuasa Tempatan mampu membawa kepada idea dan landskap baru.

Ketua Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kamarudzaman Sanusi berkata, idea ditonjolkan mereka juga dianggap sebagai ‘new skool’ dan mampu berfikir di luar kotak.

“Kita cukup berpuas hati dengan kumpulan yang baru ini dan kita menerima kerjasama baik dengan pentadbiran majlis.

“Idea yang ditonjolkan mereka agak kreatif, bukan lagi ‘old skool’, sekali gus pemikiran baru,” katanya kepada SelangorKini.

Kamarudzaman turut menyifatkan kumpulan ahli majlis kali ini yang terbaik pernah disertainya.

Pada masa sama, beliau berkata, sejak penubuhan bandar raya Shah Alam 18 tahun lalu, MBSA kini memacu pembangunan menyeluruh dan rancak.

“Semua kawasan di pusat bandar dan Seksyen 7 rancak membangun yang turut menjalar di beberapa kawasan berhampiran.

“Ia bukan sahaja perkhidmatan berkualiti tinggi, malah cekap dan proaktif kepada komuniti tanpa meminggirkan alam sekitar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengalaman Ahli Majlis MBPJ jadi ‘senjata’ Halimey tawan Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Pengalaman sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mematangkan Halimey Abu Bakar.

Ia sekali gus menjadikannya sebagai ‘senjata’ bagi pertempuran merebut kerusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kali ini.

Halimey yang berusia 46 tahun itu berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBPJ sejak 2008 lagi.

“Sebagai anak tempatan, pelbagai masalah sebelum ini turut ditangani dan ketika Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin masih ada, saya turut bekerjasama membantunya dalam beberapa isu,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon bagi PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.

Beliau yang pernah memegang jawatan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kelana Jaya itu turut berpengalaman menyelesaikan isu penduduk di sekitar Petaling Jaya.

Antaranya, menyelesai dan memindahkan perniagaan pasar malam PJS 10 ke PJS 8 Mentari pada 2009, kemudiannya pada 2010 beliau turut membantu bagi mempercepatkan proses pembinaan Masjid Al- Islamiah PJS 6 Kampung Lindungan.

Terbaru, pada 2018, Halimey turut berjaya membina semula kiosk di PJS 8 untuk peniaga-peniaga kecil.

Halimey berkata, fokus utama beliau sekiranya memenangi DUN Seri Setia ialah memfokuskan isu perumahan kos rendah.

“Saya juga akan cuba melihat isu kemiskinan bandar, PAKATAN akan terus memikul tanggungjawab membantu masyarakat dengan bantuan rakan-rakan parti komponen,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL harap Ahli Majlis beri khidmat terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 1 OGOS: Setiap Ahli Majlis dilantik diharap dapat menyumbang komitmen bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seiring misi dan visinya.

Yang Dipertuannya, Mohamad Zain A Hamid berkata, setiap ahli majlis perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai peranan MDKL bagi meneruskan dasar kerajaan dalam mensejahterakan penduduk.

“Ini kerana Ahli Majlis adalah individu paling hampir dengan rakyat dan pengantara antara MDKL dengan penduduk setempat.

“Setiap daripada mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai dasar, peraturan dan undang-undang MDKL dan ia akan memudahkan urusan apabila ahli majlis bertemu dan mendengar mengenai permasalahan penduduk,” katanya di sini, hari ini.

Majlis pelantikan Ahli Majlis membabitkan 24 individu dengan 12 daripadanya adalah muka baharu manakala satu kekosongan yang tinggal akan diputuskan Kerajaan Negeri selepas ini.

Upacara pelantikan itu dketuai Mohamad Zain dengan lafaz pengakuan menerima jawatan Ahli Majlis diikuti Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun.

Tempoh perkhidmatan bagi semua Ahli Majlis MDKL itu berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 nanti.

Di samping itu, Mohamad Zain berkata, MDKL juga mahu setiap ahli majlis mampu menjadi satu pasukan kuat bagi memastikan hasrat menjadikan MDKL bertaraf Majlis Perbandaran dalam masa terdekat.

Katanya, semua jabatan, bahagian dan unit di MDKL turut digerakkan untuk bekerja keras kearah itu.

“Semua perkara ini memerlukan kerjasama jitu daripada setiap warga kerja serta kombinasi muka lama dan baharu ahli majlis agar dapat memperkukuhkan pentadbiran MDKL.

“Ia seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Kuala Langat sebuah perbandaran maju, dinamik, lestari dan terbilang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Haniza sokong cadangan wanita penuhi 30 peratus kuota Ahli Majlis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Pelaksanaan 30 pelaksanaan kuota wanita sebagai Ahli Majlis adalah satu pengiktirafan kepada kemampuan wanita yang mampu memberi impak dalam pelbagai bidang dan aspek.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, beliau menyokong penuh cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk wanita memenuhi kuota itu.

Katanya, saranan itu menjadi komitmen Kerajaan Negeri terutamanya selepas Selangor di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menunjukkan teladan baik dengan kejayaan melantik 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Cadangan ini juga selari dalam mengangkat martabat dan peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Wanita kini harus diberikan peluang bagi memenuhi potensi untuk memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan di peringkat kerajaan tempatan.

“Sebagai contoh, pelantikan saya sebagai Ahli MMKN yang memegang portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar merupakan satu amanah dan kepercayaan besar kepada wanita,” katanya dalam kenyataan.

Haniza berkata, dengan pelantikannya itu, membuktikan wanita tidak lagi hanya dilihat mampu memegang portfolio berkaitan wanita dan keluarga sahaja.

“Saya zahirkan komitmen memastikan setiap PBT di Selangor mencapai 30 peratus kuota wanita dalam pelantikan Ahli Majlis yang kini dalam proses pelantikan baru,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jawatan Ahli Majlis semua PBT ditamatkan 30 Jun ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Semua ahli majlis yang memegang jawatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan ditamatkan serta merta pada 30 Jun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, semua jawatan itu juga tidak akan dilanjutkan, ia berikutan terdapat khabar angin tempoh jawatan tersebut akan dilewatkan sehingga Disember akan datang.

Katanya, pilihanraya untuk memilih ahli majlis yang baru akan berlangsung pada Ogos tidak lama lagi.

“Semua parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu mengemukakan nama calon ahli majlis mereka dalam minggu ini berikutan mesyurat eksekutif majlis akan dijalankan pada hujung Jun.

“Dijangkakan ahli majlis yang baru akan mula menjalankan tugas masing-masing pada Julai 2018,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han berkata, pihaknya menggalakkan supaya semua pucuk kepimpinan parti termasuk KEADILAN, AMANAH, BERSATU dan DAP mencalonkan lebih banyak wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) juga wanita.

“Kita berharap supaya bilangan ahli majlis wanita mencapai sasaran sehingga 30 peratus secara keseluruhannya.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berhak menolak nama calon yang dirasakan tidak bersesuaian dan pada masa ini pengisytiharan aset tidak terpakai ketika memilih ahli majlis tempatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tempoh perkhidmatan Ahli Majlis dilanjutkan ke 30 Jun 2018

OLEH LIZAWATI MADFA

SERDANG, 31 OKT: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bakal tamat pada 31 Disember ini, ke 30 Jun 2018.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 20 September lalu.

Katanya, ia melibatkan seramai 283 Ahli Majlis di kesemua 12 PBT di seluruh Selangor.

“Ahli majlis yang terlibat adalah wakil parti KEADILAN seramai 100 orang, DAP (93), PAS (67) dan Amanah (sembilan).

“Wakil lain termasuk daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan lima orang, Orang Besar Daerah (sembilan) dan lima lagi yang masih kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti DAP Serdang, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, MMKN juga membuat keputusan melanjutkan tempoh perkhidmatan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Bagan dan Tersusun.

Katanya, mesyuarat pada 4 Oktober lalu, memutuskan tempoh perkhidmatan yang tamat pada 22 Oktober dan 31 Disember 2017 dilanjutkan ke 30 Jun 2018.

“Ia termasuk pelantikan JKKK biasa seramai 74 orang yang dijadual tamat tempoh pada 31 Disember ini, sementara tiga lagi merupakan projek perintis yang tamat pada 22 Oktober lalu,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: Pemilihan Ahli Majlis berasas kelayakan

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 20 FEB: Pemilihan Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah dilantik berdasar kelayakan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelantikan itu bukab berasaskan kepada balasan politik seperti didakwa sesetengah pihak.

mb markshort -web4“Saya gembira kerana semua parti seperti KEADILAN, PAS, DAP dan AMANAH menghantar nama yang baik, orang yang baik untuk dilantik sebagai calon Ahli Majlis.

“Mereka sudah berkhidmat dengan baik, jadi teruskan, ini bukan ‘political reward’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan perayaan Chap Goh Mei, di Bangunan Persatuan Hokkien, di sini.

Mohamed Azmin berkata fokusnya adalah meneruskan kecemerlangan Kerajaan Negeri bersama anggota exco bagi memastikan faedah kepada rakyat.

“Lebih saya baik saya teruskan kecemerlangan dan membawa Selangor lebih ke depan. Itu perkara lebih elok daripada bercakap perkara ini,” katanya.

EZY