OLEH NORHAYATI UMOR
KLANG, 16 JUN: Penganjuran pertandingan bola keranjang ‘Streetball 3 On 3 Challenge’ merancakkan perhubungan sosial selain aktiviti sihat dalam kehidupan seharian.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, hal itu kerana ramai anak muda termasuk pelajar banyak menghabiskan masa dengan gajet.
Katanya, lebih teruk mereka ‘bersukan’ melalui permainan video di telefon pintar mahupun komputer.
“Bila saya tanya pelajar adakah mereka bersukan, mereka menjawa ya tetapi di telefon. Mereka meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam sehari untuk itu.
“Bersukan menggunakan telefon tidak melahirkan rakyat Malaysia yang sihat. Mereka ini perlu dididik menjadi masyarakat yang sihat dan hubungan sosial mereka bersama masyarakat perlu ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian ‘Streetball 3 On 3 Challenge’ di Galeri Jualan Gravit8, di sini.
Charles berkata, memberi gajet seperti telefon pintar dan tablet menjadi kelaziman bagi kebanyakan ibu bapa atau penjaga masa kini.
Katanya, penggunaan berlebihan akan menyebabkan banyak kesan buruk termasuk penyakit mental.
“Pastinya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, perkara ini jika tidak dibendung akan lebih buruk, justeru saya menyarankan semua ibu bapa supaya mendidik anak mereka melakukan aktiviti bersukan atau mengeratkan hubungan sosial antara satu sama lain.
“Asas utama adalah perhubungan dengan manusia, bukan dengan teknologi atau gajet. Jangan perjudikan nasib anak-anak,” katanya.