Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Sidang khas bukan seperti titah Raja-Raja Melayu, Agong

SHAH ALAM, 26 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sidang khas di Dewan Rakyat hari ini bukan sidang yang dititah Raja-Raja Melayu dan Yang diPertuan Agong.

Turut mencadangkan kertas putih dikeluarkan, Ahli parlimen Langkawi menyifatkan sidang itu hanya sesi majlis penerangan kerajaan, bukan perbincangan bagi mengatasi isu pandemik di negara ini.

“Lima hari kita akan dengar menteri jelaskan pelan mereka dan pelan ini sudah tentu tak berkesan. Kita perlu kepada perbahasan berkenaan dengan penderitaan rakyat.

“Penerangan tidak perlu diadakan melainkan dengan cara keluarkan kertas putih,”katanya dalam sidang khas Parlimen hari ini.

Tegas Dr Mahathir, tindakan itu jelas kerajaan tidak hirau titah supaya diadakan sidang Parlimen secepat mungkin sedangkan banyak nyawa telah hilang dan ramai rakyat tertekan akibat pandemik Covid-19.

“Ini yang dihadapi tiap hari, 200 orang akan meninggal. Sampai bila? sampai tunggu 1,000 mati baru kita nak bertindak nak bercakap berkenaan perkara untuk atasi masalah ini?

“Tetapi ini tidak ditumpukan dalam persidangan ini yang bukan sebenarnya sidang dewan Parlimen tapi ia adalah majlis penerangan,”katanya.