Categories
NASIONAL

Parlimen kecam penculikan dan rampasan Kapal Al-Awda

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Parlimen Malaysia konsisten mengecam kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza dan tindakan menahan serta memenjarakan aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Mohd Afandi yang menyertai misi flotila ke Gaza ‘Just Future for Palastine’ (JFP).

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun Mohd Afandi bersama rakan dalam Kapal Al-Awda selamat pulang ke negara masing-masing, namun misi pembebasan Gaza daripada kepungan zalim Israel perlu diteruskan.

“Halangan dalam misi ini bukanlah satu kegagalan tetapi ia usaha berterusan rakyat antarabangsa memecah kepungan Gaza, lebih 11 tahun.

“Kami dimaklumkan ini adalah misi ke-17 dan kapal ke-33. Kepungan ini bertentangan dengan Artikel 33 dan 55 Konvensyen Geneva Keempat.

“Gaza mempunyai hak untuk hidup bebas seperti wilayah lain. Menyekat Gaza dari dunia luar bukan jalan menuju perdamaian dan keamanan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Mohd Afandi ditahan dan dipenjarakan secara haram oleh rejim Israel, pada 29 Julai lalu apabila Kapal Al-Awda ditahan di perairan antarabangsa selain 22 orang anak kapal serta kru dicederakan.

Selain kapal, bantuan perubahan dan barang peribadi dibawa peserta misi turut dirampas.

Nurul Izzah berkata, beliau sudah mengemukakan satu usul bagi mengutuk kekejaman Israel, pada 23 Julai lalu tetapi dibawa ke Kamar Khas.

Katanya, beliau akan terus membawa isu itu untuk dibahaskan ke Dewan Rakyat supaya Parlimen dapat mengecam tindakan zalim Israel secara kolektif.

Dalam sidang media sama, Mohd Afandi berharap suara Malaysia akan terus kehadapan bagi mengutuk tindakan Israel dan berharap lebih banyak pihak tampil untuk meneruskan misi membebaskan Gaza.

“Kezaliman Israel turut mendapat tekanan daripada negara luar. Rakan yang menyertai misi seperti dari Sweeden dan Denmark, mereka lantang mengutuk tindakan kekejaman itu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar stabil, tunggu proses akhir pulang ke Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JUL : Keadaan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan stabil selepas menerima rawatan intensif di Turki.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun berkata, Anwar masih belum dibenarkan pulang ke Malaysia, berikutan beberapa prosuder rawatan yang perlu dilalui bapanya.

“Pihak keluarga merasakan adalah perlu untuk kami tidak memberikan sebarang tekanan dan desakan bila beliau akan pulang ke Malaysia.

“Memberi desakan hanya akan merunsingkan beliau kerana keutamaan kami adalah aspek kesihatan Anwar Ibrahim.

“Namun, apabila doktor di sana memberi kelulusan untuk beliau pulang, pastinya beliau akan pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau diminta mengulas keadaan kesihatan Anwar yang kini berada di Turki bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan kecederaan bahu kanan.

Anwar kini dilapor berada di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

Terdahulu, Nurul Izzah bercakap kepada pemberita pada sidang media Program Sinar Harapan dan Majlis Menandatangani Program MyHeart Siri 3 di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Majlis berkenaan menyaksikan persefahaman memorandum antara Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation bagi siri ketiga sebagai inisiatif membantu pesakit jantung yang memerlukan dan bagi tujuan perubatan dan kos logistik.

Yayasan MyPrihatin diwakili Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan dan IJN diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Raja Mansor.

 

Categories
NASIONAL

IJN kekal hab kesihatan terbaik negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan Institut Jantung Negara (IJN) akan terus berfungsi sebagai institusi kesihatan terbaik, di negara ini.

Beliau berkata, semua aspek pembangunan dan operasi institusi itu diyakini akan terus menyumbang kepada perkembangan hab kesihatan di Malaysia.

“Kita mempunyai komitmen untuk memastikan kelangsungannya bukan sahaja daripada segi dana tetapi mengekalkan institusi ini sebagai hab kesihatan, di Malaysia.

“Jadi, sememangnya ia harus diambil kira untuk pastikan IJN terus konsisten dan berperanan sebagai pusat yang bukan sekadar memberikan perkhidmatan tetapi mampu menjana keuntungan secara berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sinar Harapan dan Majlis Menandatangani Program MyHeart siri ke-3, di Wad Pediatrik IJN, pagi tadi.

Majlis berkenaan menyaksikan Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation menandatangani memorandum penubuhan program Myheart bagi membantu pesakit jantung.

Yayasan MyPrihatin diwakili Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Manakala IJN diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Zuraida Raja Mansor.

Menerusi program ini, seramai 447 pesakit kronik jantung kanak-kanak sudah dibantu menerusi pembiayaan kos rawatan dan logistik ahli keluarga.

Sementara itu, orang awam boleh menyalurkan bantuan di bawah program itu menerusi akaun bank Maybank, 564801648485 atas nama Yayasan MyPrihatin.

Categories
NASIONAL

KPWKM tubuh tabung Palestin depani tekanan AS

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 JUL: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik semula dana sejumlah US$300 juta daripada Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi tekanan kepada lebih 5 juta penduduk Palestin khasnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Tabung Derma Palestin melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Inisiatif mulia ini sudah tentu bakal menyuntik semangat penduduk Palestin yang amat menghargai bantuan makanan, kebajikan, pendidikan dan keperluan asas.

“Saya turut menyeru warga Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan secara terus untuk memastikan sekolah-sekolah seliaan UNRWA di Gaza mampu memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada hari kedua Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 2018 berlangsung di Bangunan Parlimen, semalam.

Nurul Izzah berkata, UNRWA memaklumkan bahawa setiap RM92 yang disumbangkan dapat membantu penyediaan kit persekolahan untuk seorang kanak-kanak pelarian Palestin, RM151 untuk bekalan makanan asas sekeluarga dan hampir RM900 bagi memastikan sebuah keluarga pelarian Palestin mendapat tempat tinggal bagi tempoh sebulan.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan derma masing-masing ke akaun bank Alliance Islamic Bank bernombor akaun 1601-4001-0011-300.

Categories
NASIONAL

Maszlee pilih Izzah perkasa TVET

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Pendidikan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Malaysia (TVET) yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, jawatankuasa itu berperanan bagi menyediakan sebuah laporan untuk memperkasakan dan menaik taraf TVET.

“Saya amat berbesar hati menghalu-alukan Nurul Izzah sebagai pengerusi jawatankuasa pemerkasaan TVET ini.

“Kerana beliau merupakan salah seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan beliau telah berbincang dengan saya bagaimana TVET mampu membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan juga keusahawanan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Maszlee berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sedar pentingnya aliran teknikal dan vokasional.

Selaras dengan manifesto, Maszlee berkata, pihaknya komited membangunkan aliran TVET setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua.

“Di peringkat kementerian juga kita mensasarkan satu hari nanti bidang TVET ini mampu diangkat setaraf dengan pendidikan TVET di Austraila dan Jerman yang terkenal dipersada dunia,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan khas Datuk Seri Dr Wan Azizah

Oleh: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT, di atas kurnia-Nya, memberi kemenangan kepada calon  KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil P.44 Permatang Pauh yang berlangsung hari ini, 7 Mei 2015.

Kemenangan hari ini adalah bukti bahawa rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Permatang Pauh, mahukan sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.

Kemenangan ini, bukan hanya kemenangan KEADILAN sahaja. Tetapi ianya adalah kemenangan rakyat, yang menentang kezaliman Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar Ibrahim dan ianya merupakan suatu referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan terhadap rasuah dan salahguna kuasa.

Dalam Pilihan Raya Kecil ini, kita menyaksikan peningkatan undi kepada KEADILAN sekitar 4 hingga 5 peratus daripada kalangan masyarakat Melayu, khususnya anak-anak muda.

Ternyata pemenjaraan bermotifkan politik oleh Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar, menzahirkan  simpati yang tinggi dan ianya adalah bukti bahawa beliau masih relevan kepada rakyat.

Menerusi Pilihan Raya Kecil ini menterjemahkan manifestasi kepada kekecewaan rakyat terhadap kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dipenuhi dengan pelbagai ketirisan, kemewahan  pemimpin dan pelbagai skandal, terutamanya skandal 1MDB, yang terkini terpaksa menggunakan dana dari Tabung Haji.

Pilihan Raya Kecil ini adalah pencetus dan pemberi inspirasi kepada sebuah gerakan rakyat yang lebih besar untuk menuntut suatu perubahan yang total, bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh kepimpinan serta pendukung Pakatan Rakyat, daripada KEADILAN, PAS dan DAP yang sejak awal-awal lagi bertungkus lumus membantu kita memenangi pilihan raya ini.

Walaupun saya, Saudara Anwar dan KEADILAN difitnah menerusi media arus perdana setiap hari, walaupun mereka berusaha sedaya upaya memburukkan prestasi saya di Kajang, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memecah belahkan kesatuan kita dengan pelbagai isu, namun ternyata segala tohmahan mereka tidak berkesan.

Terima kasih kepada pegawai SPR dan polis yang bertugas untuk memastikan Pilihan Raya Kecil ini berjalan lancar.

Bagi pihak KEADILAN, insya Allah segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat sepanjang Pilihan Raya Kecil ini, akan kami tangani seberapa segera. Untuk itu juga kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang sudah membuat pengumuman untuk membantu kita di Permatang Pauh ini.

Terima kasih rakyat Permatang Pauh yang sudi menerima Kak Wan untuk kembali berbakti. Reformasi! Hidup Rakyat!

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 # Datuk Seri Dr Wan Azizah adalah Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh

Categories
SELANGOR

Rezab Selangor Cecah RM3 Billion – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 05082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Laporan kewangan terkini dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab Kerajaan Negeri Selangor terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada hampir RM3 bilion.

2. Program pemberian kupon membeli belah bernilai RM100 bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan diperkemaskan lagi bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan mendapat manfaat dari program ini.

3. Peguam Negara digesa melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung satu dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, pendakwa raya dan badan kehakiman negara.

4. Biro Undang-undang DAP akan meneliti lebih 200 laporan dan rencana dalam Utusan Malaysia yang menyerang parti itu sejak Januari lalu untuk mengemukakan beberapa saman terhadap akhbar Umno itu.

Categories
NASIONAL

Lambakan Kesalahan Pilihan Raya SPR Harus Jawab

Anwar PC

PETALING JAYA 6 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung lambakan isu kesalahan pilihan raya yang dikesan di kebanyakan tempat pengundian siang tadi.

Bercakap dalam satu sidang media awal pagi ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian-kejadian berkenaan, bukannya satu tuduhan liar dan kosong.

“Selagi SPR tidak menjelaskan perkara ini, kita tidak dapat menyatakan sebarang tindakan.

“Tidak adil untuk membuat sebarang keputusan dalam keadaan pilihan raya yang dijalankan secara tidak bersih,” jelasnya kecewa.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah sepanjang perjalanan proses pengundian, terdapat banyak insiden tangkapan pengundi asing seperti warga Bangladesh berjaya dilakukan.

Antaranya, di Parlimen Pandan di mana calon PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung cubaan mengundi dibuat oleh pengundi ragu di kawasan yang berjaya dimenanginya itu setelah tamat pengiraan.

Selain itu, cubaan untuk memanipulasi jumlah undi juga berjaya dikesan di  kawasan Parlimen Lembah Pantai di mana polis didapati cuba membawa kotak peti undi yang diragui ke tempat pengiraan undi.

Menyifatkan SPR sebagai sebuah badan yang gagal mengendalikan suatu proses pilihanraya yang telus, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga meluahkan keraguannya mengenai pengiraan undian awal dan undi pos yang dijalankan.

“Bukan sahaja kita tidak dibenarkan memantau, tetapi lebih meragukan, undian-undian ini secara majornya menyebelahi BN sedangkan trend undian pengundi adalah sebaliknya,” katanya lagi.

Selain itu, turut dipersoalkan ialah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya boleh dihilangkan dengan mudah, tidak sepertimana didakwa SPR sebelum ini bahawa kononnya tidak akan hilang sehingga lima hari.

Mengulas pembentukan Kerajaan BN yang baru, Anwar sekadar berkata beliau masih menanti keputusan penuh sebelum sebarang ulasan dapat diberikan.