Categories
NASIONAL

Selesaikan segera masalah KITAS pelajar Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kementeri Luar Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi diminta menyelesaikan segera masalah Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS) membabitkan pelajar Malaysia di Indonesia.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pelajar Malaysia terpaksa membayar RI5 juta untuk setiap kali pembaharuan malah difahamkan dikenakan denda RI100,000 untuk sehari jika tempoh KITAS tamat.

“Adakah Duta Besar Malaysia di Indonesia pernah ajukan masalah ini kepada kementerian?

JOHARI ABDUL“Jika belum, kementerian mesti membuat kajian bagaimana satu persefahaman dapat dicapai antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia supaya pelajar kita menikmati kemudahan sama seperti yang kita berikan kepada pelajar Indonesia di sini,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika sesi Kamar Khas bersama Johari memaklumkan, kementerian mengakui perkara itu berlaku dan ia dijangka dibawa pada persidangan Joint Commission for Bilateral Cooperation (JCBC) Ogos ini.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dijadualkan bertemu Presiden Indonesia, Jokowi Widodo dalam Persidangan Konsultasi Tahunan November ini.

Jelas Johari, kos pembaharuan KITAS yang tinggi sedikit sebanyak mengganggu fokus pelajar Malaysia di sana dan diharapkan kementerian mampu bertindak segera.

Categories
NASIONAL

Jangan sampai penjawat awam dilabel ‘kaki rasuah’ – Johari Abdul

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 19 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran memperhebatkan lagi usahanya menjejaki penjawat awam yang membudayakan rasuah sekali gus menahan mereka terlibat tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dato’ Johari Abdul berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana golongan perasuah ini hanya akan menyebabkan keseluruhan penjawat awam tercemar dan dipandang serong.

”Kakitangan awam yang mengamalkan rasuah sememangnya tidak produktif dan langsung tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

JOHARI ABDUL“Jika mereka terbukti bersalah, perkhidmatan mereka harus ditamatkan. SPRM harus bertindak tegas ke atas penjawat awam yang sering melanggar peraturan dan korup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang mengakui sektor awam kini menghadapi masalah integriti.

Pada 2016 sehingga Februari 2017 sahaja, sebanyak 665 kertas siasatan dibuka melibatkan penjawat dengan 548 kakitangan kerajaan ditahan dan 63 kes dihadapkan ke mahkamah.

Malah menurut kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Bahari Mohd Jamil, 46 peratus daripada 414 individu ditahan atas pelbagai kesalahan merupakan kakitangan awam.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib dahulu projek kroni berbanding Jeti Kuala Kedah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mendahulukan kerja menaik taraf Jeti Kuala Kedah berbanding dua projek mewah St Regis Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam kenyataannya berkata, Jeti Kuala Kedah itu kerap mengalami kesesakan luar biasa hingga menyusahkan orang ramai dan pelancong asing.

Menurutnya, masalah itu diakui sendiri Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dalam laporan media tempatan.

“Perkhidmatan feri pula tidak mencukupi setiap kali musim cuti sekolah hingga ada yang tidur di terminal jeti.

JOHARI ABDUL“Pada akhir tahun 2015 pula, ribuan pelancong terkandas di Jeti Kuala Kedah dan Langkawi.

“Sebaliknya, Najib lebih mementingkan kroni apabila sanggup melabur RM380 juta kepada dua projek mewah demi kawan baiknya, Tan Sri Peter Sondakh,” katanya.

Johari menjelaskan, Kerajaan Persekutuan hanya memiliki pegangan 60 peratus walaupun membayar 90 peratus bagi kedua-dua projek mewah itu.

Sebaliknya Sondakh selaku peneraju Kumpulan Rajawali yang melaksanakan projek mewah St Regis Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) itu cuma berbelanja RM41 juta untuk mendapatkan pegangan 40 peratus.

Beliau mendakwa ia suatu pembaziran kerana dana sebesar itu boleh mengatasi masalah kesesakan jeti Kuala Kedah dengan melakukan kerja naik taraf, mengatasi masalah perkhidmatan feri dan sebagainya.

“Kerajaan membayar 90 peratus dalam kedua-dua projek itu manakala Sondakh cuma mengeluarkan RM41 juta untuk mendapatkan pegangan 40 peratus.

“Persoalannya mengapa Najib lebih berminat membantu Sondakh sedangkan pembangunan untuk rakyat di Kedah tidak diberi keutamaan,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

PR muafakat pertahan kemenangan DUN Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.

Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.

Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno ketandusan pemimpin, ‘kitar’ semula individu rasuah

umno retakSHAH ALAM 21 OGOS : Umno semakin ketandusan pemimpin bersih dan berkaliber untuk diketengahkan sehingga terpaksa mengitar semula pemimpin yang sudah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan salahlaku.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, berkata ramai pemimpin Umno yang ‘bersih’ sukar untuk naik disebabkan tidak mempunyai kekuatan kewangan dalam persaingan dalam politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam Umno.

Beliau berkata, hasrat Tan Sri Mohd Isa Samad yang menawarkan diri untuk Naib Presiden dalam pemilihan Umno merupakan bukti bahawa parti itu tidak mampu menawarkan pemimpin yang lebih bersih.

“Bukan mudah untuk mana-mana individu menaiki tangga dalam tampuk kuasa Umno kerana mungkin dia tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kedudukan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata apabila individu yang rasuah ini menang dalam pemilihan Umno maka mereka ini akan memegang jawatan penting dalam kerajaan dan ia akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Ramai pemimpin kerajaan yang datang dari laluan ini akan lebih bermasalah dengan korupsi dan jenayah.

“Ini akan mendedahkan negara dan rakyat kita kepada kesengsaraan, rakyat yang akhirnya akan rugi dengan apa yang berlaku dalam Umno,” kata beliau.

Sebelum ini, Mohd Isa pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Namun Lembaga Disiplin Umno melucutkan jawatan beliau kerana didapati terlibat politik wang.

Sebelum itu pada pemilihan tahun 2000 beliau bertanding jawatan Naib Presiden tetapi tewas.

Kemasukan Isa dijangka akan menghangatkan lagi persaingan jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.

– mza

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demokrasi ‘Mati’ dalam Umno

johari abdul-umno

SHAH ALAM, 19 OGOS – Kesediaan Umno untuk membuat perubahan dalam pemilihan agung parti Oktober ini dilihat tidak mampu diterjemahkan memandangkan masih ada permintaan ahli untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Keadaan ini nyata meletakkan Umno ditakuk lama meskipun melaungkan agenda perubahan parti agar terus kekal relevan dalam politik tanah air.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, peraturan baru pemilihan Umno yang menetapkan sesiapa ingin bertanding perlu mempunyai pengalaman menjawat jawatan tertinggi di dalam sekurang-kurangnya tiga penggal boleh menggagalkan usaha menaikkan calon berwibawa.

“(Keadaan ini) sekaligus mematikan proses demokrasi dalam parti tersebut kepada pendatang baru yang tidak boleh bertanding seperti anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir,” katanya kepada Tv Selangor.

Sebelum ini beberapa tokoh akademik membuat saranan agar dua jawatan tertinggi Umno tersebut dipertandingkan bagi membuktikan parti tersebut benar-benar demokrasi.

Namun isu tersebut cuba ditenggelamkan dengan kenyataan balas beberapa pemimpin Umno yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ini disebabkan bimbang berlakunya perpecahan dalam parti.

Menurut Johari, sikap pemimpin-pemimpin Umno yang tidak berani membawa perubahan dalam parti membuktikan parti tersebut semakin berundur kebelakang.

“Ini membuktikan Umno tidak mempunyai apa-apa agenda besar untuk membawa perubahan terhadap parti tersebut selain tidak memberi ruang kepada muka baru menerajui parti itu.” kata Johari

Umno dijangka akan mengadakan pemilihan pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi (MT) pada 19 Oktober ini.

Kali terakhir dua jawatan tinggi tersebut dipertandingkan ialah pada 2009 lalu.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tetap Mahu Najib Panggil Sidang Parlimen

johari-abdul

PETALING JAYA, 6 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat(PR) tetap dengan pendirian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas parlimen bagi menjawab persoalan penting dan penerangan kerajaan berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana terlalu banyak persoalan berhubung kesediaan anggota keselamatan dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan sempadan negara.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, satu penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan keadaan di Sabah.

Situasi ini mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara dan adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi.

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya perkara ini tidak boleh dilengahkan memandangkan parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan sepenuhnya.

Turut hadir sama dalam sidang media di Ibupejabat PKR adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Chin Tong turut menjelaskan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanyakan mengenai perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz namun segala keputusan terletak di tangan Najib.

Sementara itu, Khalid Samad menjelaskan perkara ini perlu dibincangkan sebagai satu gabungan bagi mencari jalan penyelesaian kerana melibatkan isu keselamatan negara selain rakyat mendapat penjelasan sebenar.