Categories
AGENDA NASIONAL

Ratusan rumah rosak dibadai ribut, puting beliung di Ipoh

IPOH, 30 JAN: Ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya didiami masyarakat Cina menzahirkan rasa sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.

Menurut seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, beliau terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira pukul 6 petang.

“Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin.

“Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi…bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Yong Chee Fong, 35, berkata beliau bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

“Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.

“Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.

“Kita anggarkan ratusan rumah yang terlibat di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.40 petang dan segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi terlibat.

Beliau berkata bencana itu turut menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang dan kerosakan rumah penduduk namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen belum terima dos penggalak disuntik esok

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada ahli parlimen yang belum menerimanya diadakan esok untuk sesi ketiga di klinik Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pemberian vaksin itu akan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi Datuk Dr Murugesu Raju di klinik Parlimen untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat janji temu bagi penerimaan dos penggalak tersebut,“ katanya dalam pemakluman sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemberian dos penggalak kepada ahli parlimen pada 2 dan 11 Nov lepas.

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Okt lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen belum dapat dos penggalak terima suntikan esok

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada ahli parlimen yang belum menerimanya akan diadakan esok di klinik Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pemberian vaksin itu akan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi klinik Parlimen untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat janji temu bagi penerimaan dos penggalak itu,“ katanya dalam pemakluman sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemberian dos penggalak kepada Ahli Parlimen pada 2 November lepas.

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Oktober lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli Parlimen diberi dos penggalak mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada Ahli Parlimen bermula esok.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam pemakluman berkata sesi pemberian dos penggalak akan bermula 9.30 pagi di dewan bankuet Parlimen.

“Bagi melindungi Ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai tanggungjawab untuk kerap bersama rakyat dan berisiko mendapat jangkitan Covid-19, maka KKM akan memberikan dos penggalak kepada Ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya sambil menambah tarikh pemberian dos penggalak seterusnya akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, sempena sambutan Deepavali pada Khamis, Mohd Rashid berkata adalah dicadangkan supaya mesyuarat Dewan Rakyat pada Rabu bersidang berterusan dari 10 pagi hingga 2 petang.

“… Ini bagi membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat pulang awal ke kawasan masing-masing menyambut perayaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin bangkit mencadangkan usul berhubung perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1).

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1), saya mohon mencadangkan mesyuarat pada hari Rabu, 3 Nov 2021 bersidang dari pukul 10 pagi hingga 2 petang,” katanya dan usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat boleh berbaju batik ke Parlimen setiap Khamis

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Jawatankuasa Dewan telah bersetuju cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap hari Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membacakan syor itu di Persidangan Dewan Rakyat berkata cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri itu bertujuan mendukung warisan negara.

“Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan di sini hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Sabtubong turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).

“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” katanya.

Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.

Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan jangan rahsia data Covid-19, kongsi bersama ahli Parlimen – Azalina

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan digesa supaya lebih telus dalam berkongsi data Covid-19 bersama ahli Parlimen supaya usaha pemulihan dan menangani wabak dapat dijayakan bersama.

Ali Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan data terbabit tidak boleh dirahsiakan berikutan maklumat itu dapat membantu kerajaan dan setiap ahli Parlimen mengetahui hala tuju serta merangka strategi lebih tepat.

“Saya ingin tegur kerajaan tentang isu data Covid-19, saya melihat bahawa setiap ahli Parlimen dalam berhadapan dengan isu Covid dan vaksin pada mulanya, kita tidak mempunyai data mencukupi.

“Saya ingin cadangkan kepada kerajaan, dalam usaha untuk merealisasikan segala strategi pemulihan, perlu diberikan data yang mencukupi kepada setiap ahli Parlimen,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau setiap ahli Parlimen daripada mana-mana parti politik berhadapan dengan cabaran besar Covid-19, terutamanya masalah bekalan vaksin.

“Kerajaan boleh kata hari ini berjaya tangani Covid-19, namun peranan banyak dimainkan petugas hadapan dan sukarelawan yang dibantu ahli politik.

“Walaupun kerajaan kata imuniti kelompok tidak diperlukan lagi, tapi kita tahu dengan varian baharu, kita berdepan dengan cabaran yang kita tidak tahu apa akan berlaku pada esok hari, bulan depan atau tahun depan.

“Itu sebabnya saya cadangkan pada kerajaan bahawa majlis tindakan daerah di setiap negeri membawa peranan yang dimainkan setiap ahli Parlimen supaya selari dengan kerajaan dalam pelan pemulihan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen BN, PAS antara tiba di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Istana Negara terus menjadi tumpuan hari ini, tiga hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lepas.

Bas membawa ahli parlimen Umno dilihat memasuki pintu dua Istana Negara pada pukul 10.38 pagi, diikuti lebih 10 kenderaan lain.

Difahamkan, ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS juga antara yang dijadual tiba di Istana Negara antara pukul 11 pagi hingga 4 petang ini.

Pada pukul 4 petang semalam, tamat tempoh untuk ahli parlimen menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Notis itu yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kepada 220 ahli Dewan Rakyat, bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh, Isnin lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen diarah namakan calon PM kepada Agong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan semua ahli parlimen menamakan calon perdana menteri baharu secara bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya jam 4 petang esok.

“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi perdana menteri yang kesembilan,” notis Datuk Azhar Azizan Harun dipetik.

Notis beliau bertarikh 17 Ogos yang diedarkan kepada semua ahli parlimen tersebar di media sosial. Selangorkini mengesahkan kandungan surat tersebut dengan wakil rakyat.

Seseorang ahli Dewan Rakyat hanya dibenar memilih seorang calon untuk diserah kepada Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, setiausaha sulit kanan kepada Baginda, melalui e-mel, faksimili atau aplikasi WhatsApp.

Semua ahli parlimen diarah menjaga kerahsiaan kandungan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berdasarkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu melantik seorang wakil rakyat yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti.

“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara (tersebut),” kata Azhar dalam notis itu.

Menurut dokumen tersebut, beliau memaklumkan mana-mana surat akuan yang tidak mematuhi syarat tidak akan diambil kira, termasuk tidak boleh diserahkan dengan tangan.

Syarat-syarat lain antaranya pengenalan diri wakil rakyat yang jelas, penyataan sokongan yang cukup terang, tandatangan, tarikh dan cop rasmi pengamal undang-undang.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Parlimen ditangguh lagi, dua didapati positif Covid-19

SHAH ALAM, 29 JULAI: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini sekali lagi ditangguhkan sehingga 5.15 petang bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis ketika itu memaklumkan ia susulan terdapat dua kes positif terbaharu dikesan seperti pemakluman terkini oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kes pertama ialah seorang petugas yang hadir sejak 26 Julai hingga 28 Julai manakala kes kedua dikesan positif hari ini semasa ujian saringan kendiri di Parlimen menggunakan RTK-Ag Saliva.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes itu dikhuatiri telah berada di sekitar Parlimen,” katanya.

Mohd Rashid berkata semua yang berada di bangunan Parlimen termasuk Ahli Parlimen, pegawai dan pekerja perlu menjalani ujian saringan dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu sehingga keputusan ujian diperoleh.

Penangguhan itu adalah yang keempat untuk hari ini selepas Mesyuarat Khas itu ditempohkan kali pertama pada 12.30 tengah hari susulan kenyataan Istana Negara berkenaan Proklamasi Darurat.

Malaysia hari ini mencatatkan 17,170 kes baharu positif COVID-19 menjadikannya dua hari berturut-turut negara merekodkan kes melebihi 17,000.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker: Kebanyakan ahli parlimen lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Kebanyakan ahli parlimen telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 35 ahli parlimen sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selain itu, empat ahli parlimen belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu, bagaimanapun mereka tetap dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

“Semua ahli parlimen dibenarkan datang ke Dewan walaupun tidak divaksin tetapi kami menasihatkan mereka yang tidak divaksin ini berhati-hati, kerana kita tidak boleh menahan mereka daripada menunaikan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi sidang media secara maya bagi memperincikan persiapan Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin.

Azhar berkata sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang bersetuju supaya semua petugas Parlimen divaksin dan setakat ini 90 peratus petugas Parlimen telah lengkap dua dos suntikan.

Mengulas mengenai persiapan persidangan itu, Azhar berkata pihak Parlimen menetapkan “house rule” antaranya memastikan setiap individu yang datang ke Parlimen termasuk pekerja kontraktor, kakitangan kementerian dan pegawai pengiring menteri telah divaksin terlebih dahulu.

“Kami akan periksa di luar sebelum mereka dibenarkan masuk… kalau belum divaksin, kami akan halang daripada memasuki Parlimen,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan juga, Azhar berkata setiap individu seperti ahli parlimen, pegawai bertugas, kakitangan Parlimen, petugas media, pekerja kontraktor, pemandu dan pengawal keselamatan peribadi perlu menjalani ujian saringan.

Seramai 1,008 orang menjalani ujian saringan Rabu lepas manakala kesemua ahli parlimen disaring semalam.

Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Sementara itu, Azhar dalam kenyataan memaklumkan seramai 72 pengamal media dibenarkan hadir di bangunan Parlimen dan kehadiran yang terhad adalah sebagai langkah membendung dan mengurangkan risiko penularan Covid-19 semasa sidang khas itu.

Selain itu, Parlimen turut menambah baik persidangan dengan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

“Sidang media dan temu bual secara maya ini akan dapat memberi peluang kepada semua pengamal media yang tidak dapat hadir secara fizikal di bangunan Parlimen untuk mengambil bahagian pada semua sidang media ataupun temu bual yang mungkin diadakan oleh mana-mana ahli parlimen ketika sidang khas diadakan,” katanya.

Bagi tujuan itu, Azhar berkata Parlimen akan menyediakan satu bilik khusus yang menempatkan dua komputer berserta kelengkapan audio visual dengan pautan Zoom khas dan pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen jika ingin mengadakan sesi interaktif bersama Ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, Azhar berkata liputan sidang media secara langsung melalui YouTube Live Stream di pusat media pada kali ini akan melalui pembaharuan yang membolehkan wartawan yang berada di luar bangunan Parlimen turut serta secara maya dengan capaian aplikasi Zoom.

Sementara itu, semua gambar penting semasa persidangan akan dirakam oleh jurugambar rasmi Parlimen bersama jurugambar Jabatan Penerangan Malaysia.

“Saya harap pendekatan pengurusan media yang baharu ini dapat membantu mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 khususnya dalam kalangan pengamal media di Parlimen Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Bukan sebelah pihak, pembangkang boleh beri pendapat

KOTA BHARU, 18 JULAI: Ahli parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka pada persidangan khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung lima hari mulai 26 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada semua ahli parlimen menerusi notis pemberitahuan sidang khas bertarikh 15 Julai.

“Di dalam notis itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat juga benarkan ahli-ahli parlimen untuk meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa penerangan (daripada menteri) nanti.

“Jadi tidak timbul penerangan sebelah pihak atau hanya dengar taklimat sahaja, itu tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

Takiyuddin berkata tiga urusan mesyuarat ditetapkan pada persidangan khas Dewan Rakyat iaitu Proklamasi Darurat bertarikh 11 Jan 2021 serta Ordinan-Ordinan Darurat yang akan dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Agenda kedua (ialah) membentangkan Proklamasi Darurat yang dibuat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

“Agenda ketiga ialah penerangan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri berkaitan Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata selepas pembentangan itu, ahli parlimen dengan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka.

“Macam mana kaedah, seperti berapa lama tempoh, terpulang kepada speaker (untuk) tentukan,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah persidangan khas Dewan Rakyat akan dilaksanakan itu, Takiyuddin berkata pada dasarnya ia akan diadakan secara fizikal.

“Semua boleh hadir tetapi bergantung kepada tatacara operasi piawai (SOP), ini belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya sambil memberi contoh situasi semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang menyaksikan kehadiran ahli parlimen secara fizikal dalam Dewan Rakyat dihadkan kepada 80 orang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MP Petaling Jaya sedia hotline bantu individu mahu divaksin

SHAH ALAM, 11 JUN: Ahli Parlimen Petaling Jaya melancarkan kempen hotline Vaksin Covid-19 bagi menarik masyarakat terutama warga emas untuk divaksinasi.

Kempen inisiatif Maria Chin Abdullah itu terbuka kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Taman Medan dan Seri Setia.

Orang ramai boleh menghubungi talian dinyatakan sekiranya memerlukan bantuan daftar suntikan vaksin, periksa janji temu dan memberi jawapan kepada persoalan berhubung vaksin.

Selain itu, masyarakat yang sukar mendapat akses pengangkutan ke pusat vaksin juga boleh memanfaatkan inisiatif sama.

Berikut talian hotline untuk dihubungi atau WhatsApp ;
Sesi siang (9 pagi – 5 petang)
011-7278 7334
011-7278 7335
011-7278 7336

Sesi malam (6 petang – 9 malam)
011-7278 7331
011-7278 7332