Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen, Adun antara penerima vaksin fasa pertama

PUTRAJAYA, 16 FEB: Ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan menjadi antara penerima vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memandangkan ahli parlimen dan Adun biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju ahli parlimen dan Adun tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan pengerusi bersama JKJAV.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Feb ini dan perdana menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Muhyiddin berkata beliau meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi Covid-19 berkenaan.

Ditanya mengenai permintaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya petugas media dan guru turut dimasukkan sebagai penerima vaksin Covid-19 fasa pertama, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempertimbangkan permintaan daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

“Jika kami dapati mereka berisiko sekiranya tidak divaksin, maka kami akan mempertimbangkan mereka sebagai antara penerima pertama program vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan memperuntukkan 300,000 dos untuk petugas barisan hadapan kakitangan perubatan dan kesihatan dalam fasa pertama program vaksinasi manakala 200,000 dos untuk barisan hadapan daripada kalangan anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan ahli politik.

Sebelum ini dilaporkan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam tiga fasa menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma.

Fasa pertama bermula Februari hingga April untuk 500,000 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat pembangkang gesa kerajaan laksana semula moratorium

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sekumpulan ahli parlimen pembangkang hari ini meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 ahli parlimen, inisiatif enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.

“Dengan cara itu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan serta menggalakkan mereka mengekalkan (pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut mereka industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.

Mereka turut mencadangkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM600 setiap pekerja dinaikkan dan diberi kepada individu yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 serta melanjutkannya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Subsidi upah bagi enam bulan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga pertengahan tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai,” menurut kenyataan itu.

Antara ahli parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Darell Leiking (Penampang); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Hannah Yeoh (Segambut); Yeo Bee Yin (Bakri); Baru Bian (Selangau); Datuk Rozman Isli (Labuan); dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen dikuarantin perlu pakai PPE jika hadir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tiga ahli parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata ahli parlimen berkenaan akan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

“Saya difahamkan pagi ini terdapat tiga orang meminta kebenaran datang (Parlimen). Kalau mereka ingin mengundi perlu memakai PPE dan akan masuk melalui pintu Galeri Awam Dewan Rakyat.

“Undi akan diambil daripada mereka dan penghitung serta pemerhati terpaksa memakai pelindung muka,” katanya selepas Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan isu kehadiran ahli parlimen yang sedang menjalani kuarantin ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata selepas mengundi, ahli parlimen terlibat perlu meninggalkan Galeri Awam bagi mengehadkan pendedahan dengan semua orang di Parlimen.

Azhar berkata beliau tidak mengubah SOP tetapi pematuhan itu ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya perlu minta kebenaran ketua pengarah kesihatan iaitu kalau dibenarkan, mereka (ahli parlimen) perlu mengikut SOP ditetapkan beliau, bukan daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berpendapat perkara itu perlu ditetapkan supaya ahli parlimen mematuhi perintah yang dibuat.

Media hari ini melaporkan tiga ahli parlimen berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan; dan P Prabakaran (PH-Batu).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan: Anwar minta lebih ramai ahli parlimen dibenar ke sesi penggulungan

SHAH ALAM, 23 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan lebih ramai ahli parlimen menyertai perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 yang bermula hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata cadangan tersebut memastikan ahli parlimen mendengar sendiri jawapan diberikan menteri berhubung isu dibangkitkan mereka dalam sesi terdahulu.

“Jumlah dibenarkan hanyalah 80 ahli parlimen, kita minta kelonggaran lebih lagi bagi memastikan mereka dapat mendengar sendiri jawapan diberikan menteri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata pihaknya akan berbincang dengan ketua whip berhubung cadangan ketua pembangkang.

“Kita mungkin meminta ketua whip memastikan ahli parlimen yang berkaitan dengan sesuatu isu dibenarkan masuk dalam kalangan 80 orang ketika penggulungan,” katanya.

Pada 5 November, Azhar berkata seramai 80 ahli parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat susulan penularan Covid-19.

Katanya, pecahan pembahagian ahli parlimen adalah 41 dari pihak kerajaan dan 39 lagi adalah pembangkang serta bebas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Potong elaun ahli parlimen untuk Tabung Covid-19 dibahas di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) yang memasuki hari keenam di Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada pelbagai isu, antaranya berkaitan pemotongan elaun wakil rakyat, skim subsidi upah bersasar dan pemandu e-panggilan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) menyatakan keyakinan sekiranya dana operasi pejabat dan komuniti Pusat Khidmat Rakyat Parlimen diberi sama rata kepada semua ahli parlimen, wakil rakyat pembangkang tidak keberatan memotong 10 peratus elaun mereka untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

Bagaimanapun, semua ahli parlimen kerajaan juga perlu tertakluk kepada pemotongan sama, kata bekas timbalan perdana menteri itu semasa membahaskan rang undang-undang tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya elaun dan yuran ahli parlimen yang menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikurangkan sebanyak 50 peratus dan disalurkan kepada Tabung Covid-19 sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Berpandukan ‘kepimpinan melalui teladan’, Dr Wan Azizah turut mencadangkan potongan 10 peratus ke atas gaji perdana menteri, menteri kanan, menteri dan timbalan menteri.

Sementara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus kontraktor tempatan terlibat dalam pelaksanaan projek mega di negara ini bagi memastikan rakyat dapat berkongsi kemakmuran tanpa mengira bangsa.

“Kerajaan memperuntukkan berbilion-bilion, projek-projek besar untuk dilaksanakan namun kebanyakan kontraktor yang dilantik ialah kontraktor besar… bumiputera tak ada kontrak besar, kontraktor kecil.

“Saya nak kerajaan pastikan sekurang-kurangnya 70 peratus diberi kepada lokal dan daripada 70 peratus itu kita bahagikan kepada kontraktor Cina, India, Melayu,” katanya.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) dalam perbahasannya pula mencadangkan kerajaan menambah baik skim subsidi upah bersasar, khusus bagi sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan dengan menaikkan kadar subsidi hingga 50 peratus daripada gaji bulanan dengan siling gaji RM4,000.

“Kerajaan boleh memberikan keutamaan misalnya kepada anak kapal dalam pengambilan pekerja kontrak dalam inisiatif MyStep yang menawarkan 35,000 peluang pekerjaan sementara seperti jururawat dan pegawai perubatan.

“Mereka yang bekerja sebagai kru kabin sebenarnya sangat terlatih dalam rawatan kecemasan (dan) sudah tentunya boleh ditempatkan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) pula meminta Kementerian Pengangkutan berunding dengan pengendali e-panggilan untuk mengurangkan caj yang dikenakan ke atas keuntungan diperoleh pemandu syarikat berkenaan.

Katanya, langkah itu dapat meningkatkan pendapatan pemandu e-panggilan yang beralih kepada pekerjaan tersebut setelah kehilangan punca pendapatan susulan penularan Covid-19 di negara ini.

“Sebagai contoh, jika sebelum ini syarikat e-panggilan mengenakan caj 20 peratus daripada hasil keuntungan pemandu bagi setiap perjalanan, mereka boleh kurangkan kepada 10 hingga 15 peratus dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 80 ahli parlimen dibenar masuk Dewan Rakyat bermula esok

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk melakukan beberapa penyelarasan bagi urusan persidangan Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi memastikan kelancaran persidangan susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Antara perubahan yang diputuskan ialah tempoh harian persidangan adalah dari 10 pagi hingga 2 petang dan bilangan Ahli Parlimen yang boleh berada di dalam dewan dihadkan kepada 80 orang untuk satu-satu masa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak Covid-19 yang diadakan semalam, yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.

Azhar berkata mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ahli-ahli mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan seperti perubahan waktu persidangan dan urusan mesyuarat mulai Isnin hingga 15 Disember ini.

“Dewan Rakyat akan bersidang bermula 10 pagi hingga 2 petang. Selain itu, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan bagi jawab lisan ialah selama 55 minit dari 10.05 pagi hingga 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan itu mestilah seringkas yang boleh,” katanya dalam pemasyhuran oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada persidangan hari ini.

Teks pemasyhuran itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon sebaik persidangan bermula hari ini.

Beliau berkata Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari 10 pagi iaitu Ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama.

Ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA

“Soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil ketetapan untuk perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu pada 9 hingga 12 November dan 16 hingga 19 November, manakala jawapan menteri di peringkat dasar kekal tiga hari iaitu 23 hingga 25 November.

“Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu 26 November, 30 November, 1 hingga 3 Disember, 7 hingga 10 Disember dan 14 serta 15 Disember.

“Jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga ini boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember sekiranya diperlukan,” katanya.

Azhar berkata jika Dewan Rakyat bersidang sehingga 5.30 petang dengan susunan Aturan Urusan Mesyuarat seperti sedia ada, maka selama 89 jam dan 30 minit diperuntukkan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk berbahas (termasuk oleh menteri) dalam mempertimbangkan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Beliau berkata dengan peraturan baharu itu, maka tempoh perbahasan dalam mempertimbangkan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa adalah selama 66 jam.

“Walaupun terdapat pengurangan dari segi tempoh perbahasan dan jawapan itu namun Ahli-ahli Yang Berhormat masih mempunyai tempoh mencukupi untuk mempertimbangkan Belanjawan 2021,” katanya.

Berhubung kehadiran Ahli-ahli Parlimen sepanjang tempoh Mesyuarat Ketiga ini, ianya dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat (termasuk ahli yang akan berbahas) dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas.

Azhar menjelaskan bahawa penentuan Ahli Parlimen yang boleh berada di dalam dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

“Setiausaha Dewan Rakyat pula akan memberikan kad khas kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli-ahli Backbenchers…manakala di pihak pembangkang kad khas itu akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran ahli pembangkang dan Bebas,” katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta Ahli-ahli Parlimen mengambil perhatian berhubung rekod kehadiran iaitu 80 Ahli Parlimen yang diberikan kad khas boleh merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing seperti kebiasaan.

Ahli Parlimen yang tidak diberikan kad khas pula boleh merekodkan kehadiran di Pintu 3 Blok Utama dan pintu masuk Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan bantuan Bentara yang ditugaskan di kedua-dua pintu itu untuk mencatat kehadiran mereka.

Bagi proses pengundian belah bahagian, Azhar berkata loceng akan dibunyikan selama dua minit diikuti penempohan selama 10 minit dan kemudian loceng akan dibunyikan selama dua minit lagi seperti yang dilakukan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14.

“Untuk proses ini kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat dibenar untuk berada di dalam dewan,” katanya.

Pada akhir pemasyhurannya, Azhar menjelaskan kesemua langkah-langkah yang diambil itu adalah untuk tempoh sementara demi mengimbangkan tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen di dalam dewan dengan kepentingan menjaga kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong seru ahli parlimen pamer kematangan, jiwai masalah rakyat

SHAH ALAM, 16 OKT:  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan wakil rakyat mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda juga mahu ahli politik memahami dan menjiwai keluh kesah rakyat serta tidak mengabaikan kesejahteraan mereka.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata baginda turut menasihati rakyat, khususnya ahli politik untuk bermuhasabah supaya negara tidak lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Ahmad Fadil menjelaskan negara ketika ini masih berdepan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar susulan ancaman Covid-19.

Peralihan kerajaan menjadi topik perbincangan utama susulan dakwaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan.

Dakwaan ini diperkuatkan dengan kenyataan Umno yang ingin mempertimbang semula sokongannya terhadap kerajaan persekutuan yang dikuasai Perikatan Nasional.

Ia muncul setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat sidang media dengan mendakwa beliau mendapat sokongan lebih 120 ahli parlimen.

Hari ini, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah memfail usul tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat yang bermula pada awal November. Sidang itu dianggap penting berikutan Belanjawan 2021 akan dibentang. Jika belanjawan gagal diluluskan, bermakna Muhyiddin hilang sokongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghadang lut sinar dipasang, pisahkan ahli parlimen di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Dalam usaha mewujudkan jarak pemisah dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, penghadang lut sinar dipasang di antara tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pemasangan penghadang itu juga membolehkan sebahagian ahli parlimen yang sebelum ini duduk di tempat pegawai di sebelah kiri dewan, dapat duduk semula di blok utama Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun masih terdapat sebahagian ahli Yang Berhormat yang perlu duduk di tempat duduk pegawai di sebelah kiri dan kanan, dan kerana hanya sebahagian penghadang lut sinar yang dapat dipasang dalam tempoh terdekat ini.

“Oleh demikian saya memohon kesabaran ahli Yang Berhormat sehingga perkara ini dapat diselesaikan,” katanya sambil menjelaskan semua ahli parlimen dijangka dapat duduk di blok utama Dewan Rakyat pada minggu depan selepas kesemua penghadang lut sinar itu siap dipasang.

Azalina berkata pemasangan penghadang lut sinar itu diharapkan dapat memberi keselesaan dan kemudahan seperti yang dinikmati ahli Parlimen sebelum ini.

Ketika berucap sebelum sesi pertanyaan bagi jawab lisan itu, Azalina turut mengingatkan kewajipan ahli parlimen memakai pelitup muka pada setiap masa di Dewan Rakyat dan hanya dibenarkan membuka alat pelindung diri tersebut ketika hendak berucap.

“Ahli Yang Berhormat hendaklah menarik (keluar) penghadang (lut sinar) semasa duduk di dalam dewan untuk memastikan jarak pemisah antara ahli Yang Berhormat dan tiada kontak rapat antara ahli Yang Berhormat,” katanya.

Azalina turut mengingatkan ahli Parlimen agar berhati-hati ketika menarik atau menolak penghadang tersebut memandangkan pemasangan alat itu hanya untuk sementara waktu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen dilarang guna perkataan hasutan, rasis dan biadab

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Semua ahli Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan berlangsung.

Yang Dipertuanya, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sesi persidangan pagi ini berkata, beliau dan timbalannya akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan sedemikian masih digunakan oleh ahli parlimen.

Azhar berkata beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil whip parti semalam bagi membincangkan perkara itu dan semua yang hadir menyatakan komitmen dalam memastikan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan.

“Adalah diharapkan semua ahli-ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Yang Berhormat semua dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di sini memberi tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat pada kita semua,” katanya.

Mereka yang hadir pada perjumpaan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan ketua whip kerajaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (wakil Barisan Nasional), Datuk Seri Hamzah Zainudin (wakil Bersatu), Datuk Takiyuddin Hassan (wakil PAS), Datuk Seri Fadillah Yusof (wakil GPS) dan Datuk Johari Abdul (wakil KEADILAN).

Turut hadir, Alice Lau Kiong Yieng (wakil DAP), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (wakil Amanah), Ahmad Hassan (wakil Warisan), Dr Maszlee Malik (wakil bebas) dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbencher) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Dalam pemaklumannya, Azhar turut berharap semua ahli parlimen berbahas dengan tertib dan sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela serta kesucian Dewan Rakyat sentiasa dijaga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong adakan pertemuan dengan 222 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Ahmad Fadil berkata sesi temu bual pada hari ini dijadual bermula pukul 2.30 petang.

Ahmad Fadil berkata, kesemua Ahli Parlimen yang hadir tidak akan dibahagikan mengikut parti masing-masing kerana ia melibatkan individu.

“Semuanya akan dipanggil. Tiada yang terkecuali. Lepas itu, mereka akan dipanggil seorang demi seorang.

“Saya percaya ini yang pertama kali berlaku dalam peringkat Persekutuan. Seri Paduka Baginda ingin melaksanakan temuduga ini secara telus supaya media tidak membuat sebarang spekulasi. Kita akan berkongsi (maklumat perkembangan terkini) dari semasa ke semasa,” katanya.

“Apa yang dipraktikkan oleh Seri Paduka adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Artikel 43 (2) menyatakan Baginda perlu mendapat kepercayaan, keyakinan seseorang yang telah dipilih dan ia adalah menerusi temu bual ini,” katanya.

Kepada soalan sama ada Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir pada sesi temuduga itu, Ahmad Fadil berkata : “beliau telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, jadi saya rasa itu tidak perlu”.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut bertitah bahawa keadaan negara ketika ini aman dan proses keamanan ini akan terus terjamin di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar: “Jangan doakan Ahli Parlimen meninggal”

Oleh NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, tidak wajar mana-mana pihak berharap ada Ahli Parlimen meninggal dunia bagi membolehkan beliau bertanding, di kerusi terbabit.

Anwar berkata, pada masa ini terdapat Ahli Parlimen menawarkan diri untuk mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan beliau bertanding, di peringkat Parlimen.

“Maknanya, jika secara ‘neutral’ nak tunggu Ahli Parlimen mati?

“Ini pandangan tak baik yang saya pernah dengar. Apa yang saya tahu, pandangan konsesus dari awal bahawa peralihan kuasa berlaku dalam tempoh terdekat melalui penyertaan saya dalam Parlimen.

“Jangan kita mendoakan orang mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Merchant Square, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pada masa ini beliau terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerajui kerajaan.

Anwar juga tidak menolak bahawa beliau akan menyertai Dewan Rakyat sebagai penyokong kerajaan terlebih dahulu dalam tempoh peralihan kuasa nanti.

Ketika menjawab soalan berhubung keadaan kesihatannya, Anwar memberitahu, keadaan bahunya beransur pulih.

“Sakit bahu sikit sedangkan ada (Ahli Parlimen) yang sakit otak, sakit jantung, buah pinggang dan ramai yang lebih serius. Tak apa, ini satu teguran membina supaya saya rajin buat fisio,” katanya.

Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen angkat sumpah 16 Julai

KUALA LUMPUR 23 JUN: Semua ahli Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas yang akan bermula pada 16 Julai depan selama 20 hari.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata, majlis angkat sumpah itu akan dilakukan selepas pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Istiadat pembukaan sidang Parlimen akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 17 Julai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mesyuarat pertama bagi penggal ini akan dimulakan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja selama dua minggu diikuti dengan sesi penggulungan oleh menteri-menteri pada minggu ketiga.

“Urusan minggu keempat dan kelima adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.